suria

Dah la kacak, pemurah pula! Jadi juara 26 kali, pelari dedah rahsia kerap sumbang wang kemenangan untuk kebajikan

Pam tak lokek berkongsi hadiah kemenangannya untuk tujuan kebajikan.

USAHA tidak mengkhianati hasil.

Begitulah pegangan Pam Zhen Shen, 24, yang aktif menyertai acara larian jarak jauh sejak di bangku sekolah lagi.

Sepanjang penglibatannya dalam sukan itu, dia yang senang disapa Pam telah menyertai ratusan acara larian sehingga merangkul gelaran juara sebanyak 26 kali.

pam3

Pam bersyukur mendapat sokongan keluarga dalam bidang itu.

"Saya bermula sejak umur 16 tahun. Saya mula terlibat selepas tak sengaja dapat juara dalam acara merentas desa ketika di sekolah menengah pada tahun 2015.

"Saya juga dapat anugerah olahragawan daerah Segamat pada tahun 2016 selepas setahun berlatih. Paling jauh saya pernah sertai larian 35 kilometer je, tak pernah masuk maraton.

"Saya dah sertai lebih 140 pertandingan kalau tak silap dan kira sekali dengan sukan lain juga. Gelaran juara pula dah 26 kali," ujarnya.

Cabaran

Mengimbas perjalanannya sebagai pelari jarah jauh, anak jati Johor itu mengakui awal penglibatannya tidaklah semudah yang disangka.

Selain kekurangan teknologi pada waktu itu, dia juga berdepan kesukaran kerana tiada sesiapa yang dapat memberi bimbingan khusus buatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak lengkap pakej jika badan je cantik! Pemuda baiki 8 gigi rongak, labur untuk skincare... tahun 2022 5 kali jadi juara

"Dulu rasa stres sikit masa mula berlari sebab ramai pesaing dari sekolah lain dan saya kena menang dalam pertandingan daerah supaya tak memalukan sekolah saya.

"Kemudian, masa baru training saya tak tahu apa-apa. Tiada jurulatih yang boleh ajar saya. Tak ada kawan yang pakar dalam larian. Cikgu sekolah pun tak tahu bidang lari jarak jauh.

pam1

Sebahagian medal yang pernah dimenanginya.

"Pada masa itu, GPS watch yang boleh tengok distance dan pace larian juga tak ada. Jadi saya cuma boleh dapat maklumat daripada Google. Apa-apa saya akan Google search.

"Tapi dulu kan tak banyak info yang boleh dapat daripada internet. Banyak info kena bayar juga terutamanya training plan. Kena bayar dulu baru dapat," imbasnya.

Seperti pelari-pelari lain, Pam juga berdepan banyak halangan ketika mengikuti pertandingan, namun dia tidak pernah sesekali berputus asa untuk sampai ke garisan penamat.

pam4

Pam mula menyertai acara larian pada tahun 2015.

"Dulu pernah sakit banyak kali sebab tak tahu cara betul nak lari. Jadi selalu kena jumpa doktor. Cara training itu penting, kalau salah mesti cedera.

"Saya juga pernah hampir pengsan masa menyertai Nilai Charity Run 2017. Hari sebelum pertandingan dah rasa kepala berat sangat dan rasa demam sikit.

"Tapi tetap nak join. Lepas tu pengsan pula semasa lari. Saya kena bayar hospital sampai RM400 lebih kerana kejadian ini," ujarnya berseloroh.

Tak lokek kongsi hadiah kemenangan

Pernah merangkul ratusan medal sepanjang terlibat dalam sukan itu, Pam juga wajar dipuji kerana sikap pemurahnya yang kerap mendermakan wang kemenangan buat rumah kebajikan.

Imbas Pam, dia awalnya merahsiakan perkara itu, namun kini terbuka untuk berkongsi demi memberi inspirasi kepada orang di luar sana untuk terus melakukan kebaikan.

pam7

Pam memasang impian untuk mewakili Malaysia suatu hari nanti.

"Biasanya saya dermakan cash prize, dah banyak kali dah. Setiap kali saya menang wang tunai tu, paling kurang pun saya akan derma 50 peratus untuk kebajikan.

"Dulu tak cerita pada sesiapa, tapi pada suatu hari, saya terfikir bahawa melalui cara ini, ia dapat memberi impak untuk orang ramai buat kebajikan juga," ujar anak sulung daripada empat beradik itu.

Sokongan dan harapan

Menurut Pam lagi, dia bersyukur apabila minatnya mendapat sokongan keluarga, sekali gus meniup semangat untuk mencapai target yang lebih besar pada masa akan datang.

pam5

Pam juga pernah bergelar juara acara merentas desa ketika zaman sekolah.

"Keluarga banyak bagi sokongan dalam bidang larian sebab mereka rasa saya sangat berdisiplin. Setiap hari saya bangun awal untuk training dan saya dapat banyak anugerah dalam bidang larian.

"Sudah tentu ada yang pandang rendah pada sukan larian. Ramai yang kata larian ni membosankan, cuma lari je, apa-apa pun tak perlu buat, tak macam sukan lain seperti bola yang memerlukan strategi dan rakan sepasukan untuk bersaing secara berkumpulan.

"Tapi, sebagaimana atlet-atlet lain yang serius dalam bidang larian jarak jauh, saya juga ada impian untuk bersaing dan mewakili Malaysia," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain