suria

Ada master tapi jadi penjaga rumah orang tua, gaji kurang RM1,000! Kedai makan dikenali selepas paksa diri kongsi kisah di TikTok

Mimi kini mengusahakan sebuah kedai makan di Seksyen 13, Shah Alam.

DEMI menggapai impian dan kejayaan, banyak liku perlu ditempuhi wanita ini.

Menurut Syamimi Omar, 34, yang turut dikenali sebagai Dikara Kitchen di aplikasi TikTok, dia berdepan pelbagai dugaan ketika bergelar pelajar universiti dan ia tetap berterusan selepas dia menamatkan pengajian.

Mengimbas permulaan titik gelap hidupnya pada 2018, dia terpaksa pulang ke kampung halaman di Alor Setar, Kedah selepas kecewa apabila usaha kerasnya menyiapkan tesis berakhir dengan sia-sia.

"Pada tahun 2018, rumah saya dipecah masuk. Masa tu laptop dicuri. Tesis master saya memang tak back up langsung. Jadi dah tak ada tesis dah. Saya ambil keputusan untuk balik kampung cari kekuatan.

mimi3

Mimi bersama adik-beradiknya yang banyak memberi sokongan selama ini.

"Di Kedah saya tak kerja. Jadi saya buat bisnes online sambil buat kuih dan jual untuk tampung kehidupan. Lagipun nak buat tesis memerlukan duit. Pada tahun 2019 saya ambil keputusan untuk pindah balik ke Kuala Lumpur.

"Masa tu saya dah depresi sikit-sikit, tapi masih in denial. Saya juga apply kerja dengan 30 ke 50 syarikat, hanya satu panggilan interview yang saya dapat iaitu sebagai pegawai sains. Itu pun saya tak dapat kerja," ujarnya memulakan cerita.

Kerja bersilih ganti

Selepas berjaya melengkapkan pengajian master pada tahun 2020, dia turut berdepan kesukaran untuk mencari pekerjaan yang bersesuaian sehingga terpaksa mencuba pelbagai bidang lain.

"Saya dapat kerja sebagai penjaga rumah orang tua. Kemudian saya kerja part time di sebuah kafe di Shah Alam dengan gaji kurang RM1,000 sebulan.

mii4

Mimi bersama sahabatnya Najwa memulakan perniagaan makanan ketka Ramadan tahun lalu.

"Selepas itu saya berhenti dan memulakan kerja sebagai customer service. Itu titik permulaan saya bangkit. Tapi saya hanya kerja dalam empat bulan, selepas itu saya berhenti sebab ada masalah," ujarnya yang senang disapa Mimi.

Rezeki Ramadan 2022

Biarpun sedih dan tertekan dengan situasi yang dihadapi, Mimi berkata dia sekali lagi bangkit ketika bulan Ramadan pada tahun lalu dengan memulakan perniagaan makanan.

Siapa sangka, berbekalkan dua menu sahaja, Mimi dan rakannya, Najwa, tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan yang mana detik itu dianggap sebagai rezeki Ramadan terindah buatnya.

"Waktu itu, saya mula berniaga dari rumah. Saya buat mi kari, resipi warisan mak dari tahun 1987. Pada masa sama, saya buat tomyam. Saya berniaga dengan seorang lagi rakan.

mmi5

Dua menu ini membawa rezeki buat Mimi ketika dia mula-mula berniaga.

"Kami buat khidmat penghantaran. Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan. Orang order dari Semenyih pun kami hantar. Bayangkan sebab terlalu sibuk, kami berbuka puasa jam 10 malam," ujarnya yang menetap di Shah Alam.

Hasil kejayaan itu membuka langkah baharu buat Mimi sehingga dia mampu menyewa lot kedai dalam medan selera di sebuah pasar raya di Shah Alam.

Namun katanya, dia sekali lagi diuji apabila perniagaan di lokasi itu hanya mampu bertahan selama enam bulan sebelum ditutup akibat masalah kewangan.

Sinar 2023

Tahun 2023 nampaknya bermula dengan tuah buat Mimi apabila dia berjaya memperoleh sebuah lot kedai di Seksyen 13, Shah Alam, membolehkannya meneruskan semula perniagaan makanan tersebut.

mimi7

Mimi berharap perniagaannya akan terus maju dan semakin dikenali ramai.

Mula beroperasi secara rasmi pada 5 Januari lalu, kedai Mimi yang baharu bukan sahaja mengekalkan dua menu lama, malah turut diserikan dengan variasi juadah seperti siakap mango Thai, nasi hantu sambal, cencaru sumbat dan macam-macam lagi.

"Alhamdulillah, sekarang dah masuk minggu ketiga, saya rasa penerimaan makin okay. Kita memang buat menu masakan Thai. Kedai ini dibuka setiap hari bermula 11 pagi hingga 10 malam.

"Adik dan ibu saya juga ada membantu operasi kedai ini. Harapnya perniagaan saya makin dikenali. Saya juga harap dapat membuka peluang pekerjaan untuk orang tempatan kerana saya tahu bagaimana susahnya nak cari kerja. Itulah impiannya," ujar anak sulung daripada empat beradik itu.

Rezeki TikTok

Peka dengan dunia media sosial pada hari ini, Mimi juga turut aktif berkongsi video hasil masakannya menerusi TikTok.

Malah, kisah perjalanan Mimi sejak zaman belajar yang dikongsi menerusi TikTok turut meraih lebih 120,000 tontonan, baru-baru ini.

mimi6

Antara menu lain yang turut dijual di kedai Mimi.

Kata Mimi, dia bersyukur apabila menerima sokongan pelayar TikTok termasuklah yang sanggup datang untuk menjamu selera di kedainya.

"Dulu saya pergi satu kelas bisnes sebab saya tak ada ilmu. Dari situ guru saya cakap kita kena sentiasa post di media sosial. Jadi saya cuba paksa diri post setiap hari.

"Alhamdulillah, kini saya juga dapat pelanggan baharu yang kenal saya melalui TikTok. Mereka datang membeli dan maklumkan mereka tengok saya di TikTok. Jadi saya rasa TikTok banyak bawa manfaat positif.

"Kalau kita fokus benda baik, pasti kita akan dapat yang baik. Saya juga dapat banyak ilmu menerusi TikTok. Antaranya boleh tonton ceramah agama, tip doktor dan banyak lagi," ujar Mimi mengakhiri bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain