BENARLAH kata orang, hasil tidak pernah mengkhianati usaha. Siapa sangka, bermula dengan hanya mengajar di platform media sosial, wanita ini mampu membuka pusat tuisyen sendiri. Debbie Soh Kim Lian atau lebih dikenali sebagai Cikgu Debbie di TikTok berkata, minat untuk mengajar sehingga pelajarnya mampu menguasai subjek Matematik timbul sejak dia menjadi guru ganti di sekolah lamanya iaitu Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya, Selangor. “Saya ceburi bidang pendidikan sejak umur 19 tahun masa tengah tunggu keputusan lepasan tingkatan enam. Masa tu guru sekolah minta saya mengajar sebagai guru ganti dekat sana. “Mula-mula saya mengajar pelajar tingkatan tiga hingga lima. Dari situ mula terdetik, rasa best la mengajar! Saya suka tengok pelajar senyum bila mereka faham apa yang dipelajari. “Lebih seronok apabila ada pelajar yang sebelum ni dapat gred gagal mampu kuasai Matematik sampai dapat A atau lulus. Dari situlah saya mula sedar yang kebolehan saya adalah mampu mengajar sehingga mereka rasa belajar itu mudah. Buka kelas tambahan Cerita Cikgu Debbie lagi, selepas mendapat pengalaman mengajar dia cuba membuka kelas tambahan dalam talian untuk pelajar terutama mereka yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dalam masa sama, guru berusia 37 tahun ini juga perlu membahagikan masa untuk menyambung pengajian sehingga berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh Sarjana Pengurusan Pendidikan di Universiti Malaya pada 2011. Cikgu Debbie pernah mengajar kelas tambahan sebelum ini. Setelah menamatkan pengajian, Cikgu Debbie mengambil peluang membuka sebuah pusat tuisyen di Shah Alam, Selangor bersama abang sulungnya. Cikgu Debbie mula membuka akaun TikTok pada 2020 untuk membuat kandungan (content) subjek Sains dan Matematik dengan caranya tersendiri. “Masa mula buat akaun (TikTok), saya cari macam-macam cara nak bagi menarik. Tapi pada masa tu juga saya cuba fokuskan pada subjek Matematik sahaja supaya orang lebih kenal saya sebagai guru Matematik. “Selepas beberapa bulan menggunakan TikTok, saya buat video jawab soalan mudah-mudah saja dan soalan yang susah tapi saya bagi nampak mudah. “Setelah banyak video saya viral, ramai cakap kenapalah zaman belajar dulu tak ada TikTok supaya mereka senang belajar macam pelajar zaman sekarang,” katanya. Mula dikenali di seluruh negara Menurut Cikgu Debbie, niat asalnya untuk membantu semua pelajar di seluruh negara membuahkan hasil apabila banyak content yang dibuat mula mendapat perhatian ramai. Malah, nota-nota yang dibuat khas untuk rujukan pelajar-pelajarnya turut diambil dan diimplimentasikan dalam pengajaran. Nama CIkgu Debbie mula dikenali selepas membuat kandungan di TikTok. Bukan itu sahaja, video-video dihasilkan di TikTok juga menjadi rujukan ibu bapa untuk mengajar semula anak mereka terutama sekali semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Ada pelajar yang memang guna video saya sahaja untuk panduan jawab soalan SPM. Mereka lulus dan ada yang dapat gred A. “Content yang saya hasilkan tu kalau semua orang manfaatkan betul-betul, mereka tak akan gagal. Memang sekurang-kurangnya akan lulus punya. Soalan dan bab yang saya buat video tu sama dengan soalan SPM. “Selain cikgu tuisyen, ada juga penerbit buku yang nak gunakan content saya. Dari situ saya sangat gembira apabila ramai gunakannya ke arah kebaikan,” ujarnya yang sudah berkahwin selama 10 tahun. Apabila namanya dikenali ramai melalui TikTok, Cikgu Debbie mula mendapat tawaran untuk mengajar di beberapa sekolah sebagai guru tetap, malah ada ibu bapa dari Dubai, Indonesia, Mesir membuat tawaran untuk mengajar anak mereka. Menyedari mengajar secara dalam talian melalui Zoom Meeting dan fizikal di pusat tuisyen cukup memenatkan, dia mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada kelas online sahaja. Cabaran kelas online “Apabila buat kelas online sahaja, saya boleh mendekati ramai lagi pelajar yang jauh dan tak dapat masuk kelas fizikal. Tapi ada beberapa cabaran lain. “Contohnya cara saya rapat dengan pelajar agak berbeza berbanding masa mengajar dulu sebab masuk kelas online. Apabila mula kelas saya ambil masa 10 minit untuk kenalkan diri pada semua orang. “Untuk buat content, adakalanya saya kena fikir cara menarik nak bagi orang ramai tengok video tu,” kata ibu kepada dua cahaya mata ini. Video-video yang dimuat naik Cikgu Debbie mengenai soalan-soalan subjek Matematik kini membuatkan dia memiliki lebih 567,000 pengikut di TikTok. Tenaga pengajar di bawah pusat tuisyen Cikgu Debbie. Usahanya ini membuahkan hasil apabila dia mampu membuka pusat tuisyen sendiri Debbie Soh Education Enterprise yang sudah beroperasi sekitar dua tahun. “Saya berterima kasih dekat TikTok sebab viralkan video-video saya. Beberapa video yang saya buat banyak yang ditonton lebih tiga hingga empat juta jumlah tontonan. “Disebabkan TikTok juga saya boleh keluar daripada buat partnership pusat tuisyen sebelum ni dengan abang sulung. Sekarang platform tuisyen saya terdiri daripada enam guru dan dua admin. “Saya bersyukur daripada orang Shah Alam saja kenal saya dulu tapi sekarang, boleh dikatakan seluruh Malaysia kenal saya. Tiktok memang banyak promosikan saya ke tahap tertinggi yang saya sendiri pun tak jangka dan tahu,” katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube