suria

Basmi makhluk perosak dilabel ‘low class’, pemuda ini buktikan bukan kerjaya picisan... Aktif jadi sifu ‘pest control’ di TikTok

Lelaki ini berkongsikan mengenai kerjayanya sebagai pengendali kawalan makhluk perosak di TikTok.

SELAGI hayat dikandung badan, nikmatilah perjalanan hidup ini walaupun ada pahit dan manisnya.

Seperti lelaki ini, dia tidak berputus asa dalam mencari hala tuju hidup walaupun pada awalnya seperti terumbang-ambing dalam mencari makna kehidupan.

Khairun Naim Abu Bakar, 32, atau lebih dikenali sebagai Naim Pest Control di TikTok berkata, latar belakang pendidikan yang tidak tinggi menyebabkan dia harus berani mencuba perkara baharu.

Naim sedang menyediakan racun untuk kawalan makhluk perosak.

"Saya cuma ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja. Jadi seawal usia 16 tahun pada tahun 2010, saya mula berjinak-jinak dengan bidang kawalan makhluk perosak.

"Saya banyak terlibat dalam kerja di lapangan dan saya berjaya dapatkan lesen pengendali kawalan makhluk perosak. Sejak itu saya jatuh hati dengan bidang pest control ni.

"Jawatan pertama saya adalah sebagai seorang juruteknik di sebuah agensi kawalan makhluk perosak. Kerana kelulusan saya tidak tinggi, saya mula daripada bawah," ujar Naim yang kini berjawatan sebagai eksekutif pemasaran di agensinya.

Naim (duduk, kanan) mula menceburi bidang kawalan makhluk perosak pada tahun 2010.

Kongsi ilmu di TikTok

Menurut Naim, sudah menjadi lumrah iaitu di mana ada penempatan manusia, di situ akan wujud makhluk perosak.

Perkara itu yang mendorongnya untuk berkongsikan ilmu mengenai makhluk perosak di TikTok.

"Sebenarnya sejak dulu lagi saya buat perkongsian ilmu di Facebook mengenai pest control tapi tak dapat capaian audience yang meluas. Namun apabila pergi ke TikTok baru coverage saya 'boom'.

"Ramai lagi yang tak tahu mengenai industri kawalan makhluk perosak ni. Itu sebabnya saya berkongsi... untuk mendidik dan create awareness. Malah melalui perkongsian saya ini, ada anak muda yang berminat nak ceburi bidang ini.

"Industri ini sebenarnya luas dan tidak terhad kepada makhluk perosak semata-mata, dalam bidang ini juga ada kepakaran sains seperti biologi, kimia dan entomologi (kajian khusus mengenai serangga).

Naim (kanan) kini bergelar eksekutif pemasaran di sebuah agensi kawalan makhluk perosak.

"Setakat sekarang, saya perhatikan hanya saya seorang di TikTok yang kerap bercerita tentang pest control walaupun di luar sana ramai lagi yang lebih pakar tapi mungkin mereka kurang biasa dengan media sosial dan kekok nak berkongsi," kata Naim.

Risau masyarakat mengambil enteng mengenai makhluk perosak, Naim menekankan dalam perkongsian di TikTok bahawa isu tersebut berkait rapat dengan kesihatan.

"Makhluk perosak ini seperti tikus misalnya, ia boleh bawa penyakit yang berbahaya kepada manusia. Sebab itulah saya nak cuba berikan kesedaran kepada mereka.

"Saya ada bagi kaedah do-it-yourself (DIY) apabila berhadapan dengan masalah pest control. Mereka boleh buat kawalan makhluk perosak sendiri.

"Saya pun sering ingatkan dalam perkongsian saya mengenai pemilihan racun dan environment. Kalau tersilap pilih racun, boleh berikan kesan buruk kepada ekosistem, haiwan lain dan juga manusia.

"Tak semua racun boleh tangkap muat untuk dipakai bagi setiap masalah makhluk perosak," ujar Naim yang merupakan anak jati Kuala Lipis, Pahang.

Naim bersiap siaga memakai sut untuk bertugas.

Persepsi masyarakat

Dalam masa sama Naim juga menzahirkan rasa terkilan kerana bidang kawalan makhluk perosak ada kalanya dipandang sebelah mata oleh masyarakat.

Persepsi seperti itu masih menebal lebih-lebih lagi apabila ia dikaitkan dengan taraf akademik seseorang.

"Ada yang anggap bidang pest control ini sebagai last choice untuk mereka yang berkelulusan rendah. Jadi melalui TikTok juga saya cuba ubah stigma itu dan beritahu bahawa bidang ini juga punya masa depan yang luas.

"Janganlah pandang serong pada kami, bidang ini ada masa depan cerah untuk mereka yang berkecimpung di dalamnya.

"Pest control ini bukan hanya sekadar sembur racun sana sini, ia lebih besar daripada itu. Macam saya cakap tadi, dalam bidang ini kita ada ahli kimia, biologi dan entomologi.

"Kepakaran kami ini sentiasa diperlukan sebab masalah makhluk perosak akan ada di mana-mana sahaja," terang Naim.

Naim ketika melakukan proses kawalan makhluk perosak di atas kapal.

Memori yang terpahat dalam ingatan

Menerusi TikTok juga Naim berkongsikan mengenai kisah hidupnya sepanjang dia berada dalam industri kawalan makhluk perosak.

"10 tahun lebih saya ada dalam bidang pest control ni, kalau ikutkan... pengalaman saya banyak dapat apabila berurusan dengan manusia.

"Ini kita panggil sebagai human factor, ia melibatkan emosi dan ragam daripada pelbagai jenis manusia.

"Antara yang melekat dalam memori saya adalah apabila berurusan dengan warga asing, ada language barrier macam ayam dan itik. Dia tak faham apa kita cakap, kita tak faham apa dia cakap.

"Sampai terjadi misunderstanding. Perkara itu yang kita akan ingat dan mematangkan kita dalam kerjaya," ujar Naim mengakhiri bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain