suria

Momen paling ‘sweet’ dapat jadi pilot suami pergi Langkawi! Juruterbang wanita ini kongsi perjalanan kerjaya awan biru

Wanita bijak membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga.

PERJALANAN beribu batu bermula dengan satu langkah.

Begitulah kisahnya bagi wanita besi ini yang akhirnya berjaya menggapai cita-citanya dalam bidang penerbangan.

Bermula sebagai seorang jurutera pesawat di hangar AirAsia, kini Puteri Anggia Hamzah, 35, megah menggalas tanggungjawab mengemudi kapal terbang menyusuri awan biru.

Puteri (kiri) sebagai pembantu juruterbang bersama kapten pesawat.

Berpengalaman lima tahun sebagai pembantu juruterbang, Puteri berkata dia membuat pertukaran haluan hidupnya kerana timbul minat yang membuak-buak untuk berada di dalam kokpit pesawat.

"Sebagai jurutera pesawat, skop tugasan saya dipanggil sebagai technical service engineer, saya menguruskan sebarang modifikasi ke atas kapal terbang, saya orang tengah di antara AirAsia dan Airbus.

"Jadi apabila saya kerap bekerja rapat dengan pesawat ini, tiba-tiba datang rasa macam nak terbangkan pesawat itu sendiri, saya nak jadi the first-hand user.

"Apabila saya dah fikir masak-masak dan yakin, saya sertai program kadet juruterbang AirAsia. Syukur sebab orang sekeliling termasuk ayah saya bagi sokongan yang memberangsangkan.

"Tunang saya pun bagi lampu hijau untuk teruskan. Apabila saya dah kahwin baru saya masuk ke sekolah penerbangan. Fast forward, di sinilah saya hari ini," kata Puteri yang merupakan anak jati Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Puteri bangga dengan kerjayanya sebagai seorang juruterbang wanita.

Walaupun tugas seorang juruterbang sinonimnya dipikul oleh kaum Adam, Puteri menyatakan kini semakin ramai wanita yang berani untuk menceburi bidang penerbangan.

"Ramai sedia maklum yang apabila jadi juruterbang, kita bawa beratus-ratus nyawa di belakang kita. Satu bidang yang demanding dan juga memerlukan komitmen serta fokus tinggi.

"Mungkin skop tugasan dilihat seperti mencabar, tetapi perkara itu tidak dijadikan pematah semangat untuk saya. Di Kumpulan AirAsia sekarang, saya boleh katakan ada anggaran 150 orang juruterbang wanita seperti saya.

"Lebih ramai berbanding dulu. Wanita hari ini sedang mengubah norma. Tetapi antara kesemua juruterbang itu, hanya saya dan seorang lagi juruterbang wanita sahaja yang baru bergelar ibu.

"Kira kami ini agak rare juga," kata Puteri yang pernah melanjutkan pengajian tinggi dalam jurusan kejuruteraan elektrik dan elektronik di Jepun di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Puteri ketika masih berkecimpung dalam bidang kejuruteraan.

Berbicara mengenai pembahagian masa antara keluarga dan kerjaya, Puteri mengakui ada cabarannya yang tersendiri memandangkan dia perlu bertugas di perbatasan.

"Saya jadi ibu kepada anak kecil yang baru berusia satu setengah tahun, saya masih breastfeed dia. Itulah antara cabarannya. Saya perlu bijak uruskan masa sebab setiap saat itu berharga dengan jadual saya yang padat.

"Jadi kalau waktu dalam kokpit, susu dah penuh dan perlu dikeluarkan, saya akan minta izin daripada kapten untuk pergi pam dekat belakang. Syukur zaman sekarang dah moden, pam itu tak ada bunyi kuat sangat, jadi tak rasa awkward.

"Susu itu saya akan letakkan dalam cooler yang saya bawa dan bekukan. Apabila saya dah pulang ke pangkuan anak, susu itu saya akan defrost, panaskan dan berikan kepada dia.

"Semua kapten yang saya pernah terbang bersama sangat memahami situasi saya dan tak ada yang pandang pelik," ujar Puteri.

Puteri berada di lapangan sebagai jurutera pesawat dikelilingi kaum lelaki.

Puteri juga bersyukur kerana mempunyai ibu mentua yang memahami dan sudi membantu mengasuh anak ketika ketiadaannya memandangkan suaminya bekerja di sebuah firma perubatan.

Meskipun dibelenggu kerjaya, Puteri mengatakan dia tetap mengutamakan anaknya dan lega kerana AirAsia membenarkannya untuk berbuat sedemikian.

"Alhamdulillah AirAsia adalah sebuah syarikat penerbangan yang bagus untuk saya. Jadual kerja saya tak ada night stop dan setiap hari boleh balik ke rumah selepas bekerja. Macam pekerjaan biasa boleh balik hari.

"Jadi saya ada masa yang boleh diluangkan dengan anak. Setiap penerbangan saya adalah short-haul, maksudnya perjalanan sehala dalam empat jam sahaja.

"Apabila sampai di destinasi, 25 minit macam tu berhenti sekejap, kami panggil sebagai turnaround time dan lepas tu kami akan berlepas semula pulang ke Malaysia.

"Saya cover flight domestik dan international yang dalam lingkungan empat jam contohnya India, China dan Taiwan termasuk semua negara Asean," kata Puteri.

Puteri mencipta kenangan indah ketika melancong bersama suami dan anaknya.

Menggilap semula memori, antara momen yang diiingatinya adalah ketika diberi kepercayaan untuk menerbangkan pesawat Airbus A320.

"Kalau ikutkan kenangan manis itu banyak sebenarnya tapi yang masih segar di ingatan saya adalah apabila berjaya mendaratkan pesawat A320 buat pertama kalinya.

"Ia adalah satu aset yang sangat menakjubkan dan saya bersyukur saya mendapat peluang yang sebegitu.

"Yang keduanya apabila suami saya naik kapal terbang yang diterbangkan oleh saya, rasa special waktu tu sebab saya tengah bawa orang tersayang on-board.

"Waktu tu saya dan suami kebetulan nak ke Langkawi atas urusan kerja, jadi kami rancang untuk gerak sekali," cerita Puteri.

Puteri bersama rakan sejawatnya dalam jabatan kejuruteraan.

Dalam pada itu Puteri sempat menitipkan pesanan kepada wanita berkerjaya untuk menjaga kesihatan mental mereka.

"Apa-apa pun jangan push diri lebih daripada kemampuan. Fleksibel dalam kita punya personal life sebab apa yang penting adalah masa dengan anak.

"Macam saya, kalau tak larat nak masak, saya akan beli luar sahaja daripada restoran. Tak ada kewajipan untuk setiap hari masuk dapur.

"Satu lagi komunikasi dan kesefahaman dengan pasangan juga penting sebab kita tak akan mampu nak buat semuanya sendiri, kita kena bantu-membantu antara satu sama lain.

"Yakin dengan diri sendiri, jangan ragu-ragu dan teruskan mengejar impian," ujar Puteri menoktahkan bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain