JANGAN sudah terhantuk baru terngadah. Begitulah apa yang cuba diketengahkan wanita berusia 40 tahun ini apabila dia sering membuat perkongsian bagi memberi kesedaran tentang sistem perundangan untuk rakyat Malaysia. Nur Aminahtul Mardiah yang memiliki firma perundangannya sendiri, Chambers of Aminahtul Mardiah kini kerap memberikan penjelasan berkenaan undang-undang di akaun TikTok miliknya. Aminahtul (kiri) sebagai pengamal undang-undang. Aminahtul memulakan kerjaya sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam undang-undang jenayah pada 2007 dan kemudian bergelar majistret hingga tahun 2019. "Permulaan saya di media sosial adalah di Twitter, saya banyak kongsikan tentang kes-kes jenayah yang pernah berlaku. Dari situ saya perasan ramai yang cetek pengetahuan tentang perundangan. "Pada waktu itu, saya cuba jelaskan hak-hak asasi dalam perundangan contohnya kalau kita ditahan apa yang boleh diminta sebagai hak kita dan apa prosedurnya. "Sejak itu saya dapat banyak soalan yang nak tahu dengan lebih lanjut tentang hak mereka di bawah undang-undang. "Soalan yang popular antaranya adalah mengenai proses saman, isu-isu ejen, isu stokis dan isu berkaitan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup," katanya ketika dihubungi mStar. Aminahtul kerap berkongsi ilmu perundangan kepada orang ramai di TikTok. Walaupun niat baik untuk mendidik masyarakat mengenai undang-undang, Aminahtul mengakui dia juga tidak terlepas daripada kecaman warga maya. "Saya ada ketuai satu badan bukan kerajaan (NGO) Love Yourself First Association yang membela nasib kanak-kanak dan wanita daripada penderaan dan gangguan seksual. "Ada sekali tu saya dikecam teruk apabila saya cuba melindungi kanak-kanak berumur 13 tahun yang diugut rogol dan jadi mangsa jenaka lucah ketika bermain permainan video Mobile Legends. "Saya bantu dia report polis. Saya kemudian bawa perkara itu ke TikTok sebagai perkongsian dan peringatan, tapi komuniti gamers yang lain ramai datang kecam saya. "Saya diserang di semua platform media sosial, dimaki dan dicaci. Dan yang paling menyedihkan mereka semua ini kanak-kanak," kata Aminahtul yang juga mempunyai anak angkat berusia 10 tahun. Aminahtul di Rumah Perlindungan dan Pemulihan Darul Wardah. Selain itu, Aminahtul juga sering mengulas tentang isu-isu semasa dan ternyata perkara tersebut tidak digemari segelintir netizen. "Kenyataan yang saya berikan itu realiti tetapi orang kita sukar nak terima pendapat, apa yang dia nak percaya, itu sahajalah yang dia nak dengar. "Itu pun kena kecam teruk. Kalau keadaan dah terlampau 'panas', saya akan berehat sekejap dari media sosial dalam dua minggu macam tu bagi cool down sedikit. "Kita dalam dunia ni tak akan dapat nak puaskan hati semua orang. Apa yang saya buat ni benda baik untuk bagi kesedaran, jadi kalau ada kata-kata negatif, saya akan buat tak hirau je. "Apa-apa komen orang yang nak menjatuhkan kita tu, saya buat-buat tak nampak je," kata Aminahtul teguh dengan pendiriannya. Aminahtul memberikan ceramah berkaitan kempen anti buli di sebuah sekolah menengah. Aminahtul bagaimanapun bersyukur kerana orang di sekelilingnya sering memberikan semangat tanpa henti tatkala dirinya dihujani tohmahan. "Mak saya sokong apa yang saya lakukan untuk kongsikan pengetahuan di TikTok tapi hati dia semestinya luluh apabila tengok anak dia jadi mangsa kecaman. "Adik-beradik saya ada 10 orang dan saya anak kedua, mereka selalu datang ke TikTok saya untuk pertahankan saya daripada netizen yang mulutnya lancang mengecam. "Tapi saya minta mereka hentikan sebab kalau dilayan, benda ni akan jadi lagi besar, kita jangan lawan api dengan api," ujar Aminahtul yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan. Animahtul memperoleh banyak pengajaran ketika berkecimpung dalam bidang perundangan. Terlibat secara langsung dalam sistem perundangan negara, Aminahtul berkongsikan pengalaman melihat kesusahan marhaen yang menyebabkan dia bermuhasabah diri. "Apabila saya jadi Timbalan Pendakwa Raya, saya nak pastikan orang yang didakwa itu meringkuk dalam penjara. Tapi apabila saya masuk ke majistret, saya dapat tengok sisi lain iaitu struggle rakyat. "Ada satu kes ni kanak-kanak berumur 15 tahun masuk mahkamah sebab curi Milo untuk bagi adik dia makan, walaupun jenayah mencuri tapi niatnya bukan jahat. "Satu lagi kes ni remaja berumur 20 tahun lahirkan anak luar nikah tapi kemudian bayinya meninggal, dia didakwa kerana menyembunyikan kelahiran. "Sebab saya nampak dia pelajar yang mempunyai masa depan cerah, dia cuba selamatkan bayi tu, saya bagi dia bon berkelakuan baik dua tahun walaupun ramai yang mengecamnya atas kesilapan dia," kata Aminahtul. Animahtul ketika bergelar majistret di mahkamah. Aminahtul menggesa orang ramai untuk tidak cepat menghakimi mereka yang didakwa kerana masing-masing ada kisah di sebaliknya. "Di penghujung hari, documentation dan bukti-bukti semua kita (pengamal undang-undang) yang tengok, gambaran dan cerita sebenar yang orang luar tak nampak," kata Aminahtul. Sebagai penutup bicara, Aminahtul menitipkan pesanan agar masyarakat sentiasa peka dengan hak undang-undang mereka. "Sebagai orang awam, kita kena cakna kita punya hak apabila ditangkap, ditahan, disiasat dalam rakaman percakapan oleh pihak polis. "Apabila kita tahu hak kita dalam undang-undang, kita akan dilindungi dari penyalahgunaan kuasa seperti police brutality dan kematian dalam lokap. "Kita boleh bersuara apabila lalui legal process dan tidak biarkan diri kita ditandas," kata Aminahtul. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube