suria

Tunjuk minat bidang pastri, remaja Sindrom Down mampu jana duit poket sendiri... Masak nasi goreng sosej pun boleh!

Anak Sindrom Down ini sangat meminati bidang masakan. -Foto AZLINA ABDULLAH/The Star

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Gerard Veerasingam Nicholas adalah seorang insan yang sentiasa tekun menggulung doh tepung untuk membuat kuih, membentuknya mengikut acuan dan kemudiannya menabur kekacang sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar.

Remaja berumur 18 tahun ini menghidap Sindrom Down, tetapi tidak menjadikannya itu sebagai halangan untuk berdamping dengan hobinya iaitu membuat kuih-muih di dapur.

Gerard bersama gurunya sedang belajar memasak di dapur. AZLINA ABDULLAH/The Star

Dipantau oleh guru pendidikan khas bernama Jessie Lim, dia memberitahu walaupun Gerard memerlukan jangka masanya sendiri untuk menyiapkan tugasan tetapi hasilnya sentiasa memuaskan.

Lim setia berada di sesi Gerard untuk membantunya menambah baik kemahirannya dalam memasak dan membuat kuih-muih sekali gus mengembangkan kemahirannya.

"Gerard sangat menyukai makanan dan sentiasa bersemangat untuk menyertai sesi masak-masak dan membuat kuih dengan saya. Gerard suka mencedok dan menguli doh tepung.

"Walaupun dia agak perlahan dalam kerjanya tetapi dia menyempurnakannya dengan teliti dan kemas, satu persatu dibuat sehingga mencapai kesempurnaan," kata Lim yang berumur 47 tahun dengan penuh kebanggaan.

sindrom 7

Lim membimbing Gerard untuk memasak nasi goreng.

Sebagai makluman, Lim dan pasangannya Wong Pik Yee merupakan pengasas Learn To Grow, pusat jagaan dan latihan individu berkeperluan khas di Petaling Jaya, Selangor.

Di sini mereka melatih golongan istimewa seperti Gerard untuk berdikari dalam menjaga diri dan memberikan terapi pemulihan pertuturan bahasa kepada kanak-kanak dan remaja yang memerlukan.

Apa itu Sindrom Down?

Sindrom Down ialah penyakit keturunan disebabkan oleh kromosom tambahan pada kromosom nombor 21 yang terdapat pada seorang kanak-kanak.

Mereka yang menghidap Sindrom Down akan mengalami kelewatan perkembangan kognitif yang boleh dikategorikan dari ringan hingga ekstrem.

Ada yang membesar kelak akan mampu menjalani kehidupan harian dengan sendirinya dan ada juga yang masih memerlukan bantuan orang di sekeliling.

Pesakit Sindrom Down akan menghadapi kesukaran untuk memahami dan mempertimbangkan situasi semasa yang sedang dilaluinya.

Bapa Gerard sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk anaknya.

Walaupun memerlukan sedikit masa, mereka masih berkebolehan untuk mempelajari kemahiran baharu yang penting dalam kehidupan seperti bersosial, berbual dan berjalan.

Sindrom Down akan kekal dengan seseorang itu hingga ke akhir hayatnya, maka adalah sangat penting agar bimbingan diberikan seawal mungkin agar mereka dapat meniti kehidupan yang selesa dan bermakna.

Liku-liku kehidupan Gerard

Sasaran yang ingin dicapai oleh Lim adalah untuk membantu Gerard memiliki kemahiran yang boleh membantunya berdiri di atas kakinya sendiri dalam kehidupan.

"Gerard sudah berada dengan kami di pusat ini sejak dia berumur lapan tahun.

"Menghidap Sindrom Down bukannya bermaksud tiada lagi harapan untuk kehidupan yang normal, melalui latihan vokasional yang relevan, banyak perkara boleh dicapai oleh mereka," terang Lim.

Sejak tahun 2018, Lim menjual kek buah, kek bulan, scones dan biskut yang dihasilkan oleh pelajar pendidikan khas di bawah bimbingannya menerusi platform e-dagang yang dinamakan sebagai 'Made by Special Hands".

Segala keuntungan disalurkan semula kepada pelajarnya sebagai duit poket mereka.

Bapa Gerard merasai masakan anaknya.

Selain mengajar untuk membuat kek dan kuih, Lim juga memastikan pelajar istimewanya sentiasa berdisiplin untuk mengemas dapur dan membasuh semula peralatan memasak selepas setiap sesi.

"Setiap pelajar saya ada bidang berbeza-beza yang diminati mereka, kami dedahkan mereka dengan setiap satu untuk lihat apa yang sesuai. Kami ada bagi Gerard cuba melukis, mewarna dan membuat barang kemas.

"Dan berdasarkan pemerhatian kami, Gerard sangat meminati tugasan menggoreng sosej dan memasak nasi goreng. Dia boleh membuat semua tugasan ini di bawah pengawasan kami.

"Setelah kemahiran dia bertambah baik, kami mula bagi dia cuba tugasan yang lebih kompleks seperti mengadun bahan masakan dan menghias kek cawan," kata Lim.

Lim memberitahu Gerard memperoleh pulangan hampir RM400 daripada hasil kulinarinya yang dijual pada musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Natal.

Fintan dan isteri sangat berbangga dengan pencapaian Gerard berjaya menamatkan pengajian sekolah rendahnya.

"Jelas terpampang riak kegembiraan di wajah Gerard apabila dia menerima pujian daripada pelanggan, guru-guru dan ahli keluarganya mengenai juadah masakannya yang cukup lazat.

"Setakat hari ini, kami sedang cuba untuk berkolaborasi dengan kedai serbaneka agar produk air tangan Gerard dan rakan-rakannya sentiasa mempunyai permintaan.

"Jika permintaan meningkat, Gerad pastinya akan lebih bersemangat untuk masuk ke dapur dan wang sakunya juga akan bertambah, ia adalah satu bentuk motivasi kepada dia juga.

"Gerard akan menjadi sebahagian daripada komuniti dan dapat menyumbang sesuatu, a sense of accomplishment, memastikan hidupnya dirasakan ada maknanya dan bukannya disisihkan," ujar Lim.

Gerard intan permata ibu bapanya

Bapa Gerard yang juga merupakan seorang ahli perniagaan, Fintan Romuald Inbaraj Nicholas, 52 mengakui hatinya berbunga-bunga apabila melihat penanda aras yang berjaya dicapai anaknya itu.

Walaupun sukar untuk menerima hakikat anaknya menghidap Sindrom Down sejak lahir, Fintan berkata di sebalik awan mendung, pasti ada pelangi yang menanti.

Kini anaknya mempunyai peluang kedua dalam kehidupannya, terima kasih kepada usaha keras Lim dan pasukannya.

"Ketika Gerard dilahirkan dan menjadi sebahagian daripada kehidupan saya dan isteri, kami sangat risau tentang masa depannya. Kami tidak tahu-menahu tentang apa itu sebenarnya Sindrom Down.

Gerard (kanan) sentiasa mendapat sokongan dan kasih sayang dari keluarga serta abangnya, Luke Bastianraj Nicholas.

"Kami takut apa yang akan terjadi kepadanya. Kami memutuskan untuk memasukkannya ke dalam program intervensi awal.

"Gerard melalui proses fisioterapi, terapi pemulihan carakerja dan terapi pertuturan di Kiwanis Down Syndrome Foundation. Ketika dia berumur tujuh tahun, dia menghadiri Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya di Bangsar, Kuala Lumpur.

"Ia adalah di bawah program integrasi pendidikan khas. Pada tahun 2018, Gerard memasuki Sekolah Menengah Bangsar di Kuala Lumpur. Tiga hari seminggu dia akan menyertai Lim di pusat Learn To Grow," cerita Fintan.

Fintan menzahirkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana mutu kehidupan anaknya semakin bertambah baik dari hari ke hari, sesungguhnya ada sinar di hujung terowong.

Selain itu, Fintan dan isterinya ada menyatakan hasrat untuk membuka kafe yang akan diusahakan oleh anaknya.

Bersempena dengan Hari Sindrom Down Sedunia yang disambut pada 21 Mac, aayuh kita tingkatkan kesedaran masyarakat agar mengenali individu seperti Gerard supaya mereka juga turut diberi peluang yang sama dalam perhubungan kekeluargaan, pendidikan, pekerjaan dalam komuniti. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain