suria

Masakan buat orang terliur, ramai tertunggu-tunggu resipi daripada pemuda ini... tak sia-sia rajin tolong ayah masa kecil

Pemuda ini sering berkongsikan resipi masakan di TikTok, antara yang terkini adalah Garlic Green Bean.

TIDAK mempunyai latar belakang berkaitan seni kulinari bukanlah alasan untuk pemuda ini memendamkan minatnya dalam bidang masakan dan berkongsi resipi sajian menyelerakan di media sosial.

Anak jati Kedah ini berkata, sejak kecil, dapur boleh diibaratkan seperti rumah kedua apabila dia sering membantu ayahnya menyediakan hidangan untuk keluarga.

Adli Juraidi, 24, yang kini mempunyai lebih 100,000 pengikut di TikTok menggunakan akaun @hichizarai1 sentiasa membuatkan pengikutnya ternanti-nanti perkongsian resipi terbaharu daripadanya.

Adli bersama hidangannya yang viral baru-baru ini.

"Saya start buat content masakan ini dari bulan puasa tahun lepas, saya share resepi juadah berbuka, jadi dah hampir setahun juga saya berjinak dalam dunia TikTok ni.

"Cuma yang menariknya, cara akaun TikTok saya 'meletup' dan mula dikenali ramai adalah kerana kecaman netizen. Waktu tu saya ingat lagi, video pertama saya yang dapat sejuta views, resepi masak lemak ayam Negeri Sembilan.

"Dalam video tu saya ada tulis, resepi original masak lemak ayam Negeri Sembilan, tapi tak pasti dekat mana saya silap, waktu tu ramai betul orang Negeri Sembilan datang serbu ruang komen, cakap saya salah.

Adli mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang masakan.

"Rasanya part yang mereka marah tu sebab saya letakkan daun kunyit dan asam keping, sebetulnya untuk masak lemak ayam kena masukkan belimbing buluh," kata Adli yang juga merupakan seorang pekerja pasar raya.

Mengimbas semula memori lalu, Adli menceritakan bapanya merupakan seorang guru tetapi menguasai hampir kesemua masakan Melayu.

"Kalau masakan Melayu memang banyak yang diturunkan dari ayah saya. Sambil saya tolong dia, sambil itu juga saya belajar. Kalau menu western dan lain-lain, itu saya banyak belajar dari YouTube.

"Dan kalau dilihat dalam video TikTok saya, cara saya persembahkan hidangan saya macam berseni kulinari, itu pun saya belajar dari YouTube juga. Saya banyak follow YouTuber.

Kreativiti Adli dalam memasak diperoleh daripada ayahnya dan YouTube.

"Lagi satu saya memang dah lama simpan hasrat untuk bergelar content creator, jadi apabila saya viral bulan puasa tahun lepas, saya rasakan ia seperti pucuk dicita ulam mendatang, saya teruskan impian saya," ujar Adli.

Kini tatkala Ramadan menjelma, video Adli sekali lagi berjaya memasuki For Your Page (FYP) di TikTok apabila dia berkongsikan resipi juadah kacang hijau.

"Tak sangka menu Garlic Green Bean yang saya share tu tengah viral dekat China dan Amerika Syarikat, sekali bila saya post dapat sambutan juga daripada orang kita.

"Orang kita pun ramai yang dah tahu tentang makanan ni, itu yang bila saya upload dekat TikTok terus boom," cerita Adli.

chef 1

Adli berbesar hati kerana perkongsian resepinya di TikTok diminati ramai.

Seperti rata-rata pempengaruh dunia masakan di media sosial, Adli juga mempunyai hidangan yang sering dikaitkan dengan namanya di kalangan warga maya.

"Kita panggil ini sebagai signature dish, macam untuk saya, orang kalau sebut nama saya mesti akan teringat kepada Enoki Mushrooms.

"Saya ada share lima menu yang berasaskan Enoki Mushrooms, dan kelima-lima video memang dapat sambutan hangat, semua sejuta views ke atas. Sampai ada yang panggil saya sebagai 'King of Enoki Mushrooms'.

"Saya ada buat masakan tomyam Enoki, Enoki butter dan beberapa lagi hidangan lain yang menggunakan Enoki Mushrooms," kata Adli

Resepi yang dikongsikan Adli semuanya mudah-mudah belaka dan boleh dicuba sendiri.

Adli mengatakan dia sememangnya tidak mempunyai pendedahan awal mengenai aspek pengurusan dan produksi media sosial tetapi memberanikan diri untuk mempelajarinya semua sendiri.

"Saya buat ini pun atas minat saya untuk memasak, jadi saya tak terasa terbeban untuk belajar. Sekali lagi, guru saya adalah dari YouTube, saya tengok dan saya try and error sendiri.

"Untuk equipment pula saya memang ada invest beli kamera Sony dan lighting untuk bantu saya buat video.

"Dan untuk suntingan pula, saya rakam video di kamera dan kemudian transfer ke dalam phone untuk saya edit di aplikasi CapCut.

"Saya juga nak ucapkan jutaan terima kasih kepada keluarga dan kawan-kawan saya, waktu awal saya start dulu, mereka selalu hadir tanda support, like, komen dan share semua video saya," kata Adli.

Hidangan murtabak maggi yang disediakan oleh Adli.

Bercakap mengenai perancangan masa depan, Adli berkata dia sedang mempertimbangkan untuk membuat kandungan video melancong di akaun TikTok miliknya.

"Kalau ke depan nanti, saya berminat nak buat video travel tapi masih dalam perbincangan. Saya minat melancong, siapa je kan yang tak suka bercuti.

"Negara pertama yang saya nak pergi adalah Maldives sebab pantai dia semua memang out of this world. Dan saya pun memang ada lesen scuba diving, peluang untuk saya buat content.

Hidangan salmon bites yang dihasilkan oleh Adli.

"Selain dari tu, saya ada berniat nak jual produk dari masakan saya sendiri macam sambal petai,sambil bilis dan sambal paru.

"Tapi ini mungkin lambat lagi sebab saya pun tak sampai setahun lagi buat video masakan ni," ujar Adli.

Sebagai penutup bicara, Adli menitipkan pesanan kepada mereka di luar sana untuk tidak berfikir dua kali dalam mengejar impian dan sentiasa mempercayai diri sendiri.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain