suria

Rancak buat ‘content’ tip jaga hati perempuan, TikToker Amirlala tiba-tiba jadi penasihat rumah tangga... Rupanya masih bujang!

Amir dengan Piqa berkolaborasi dalam video 'Tip Penjagaan Hati Perempuan'.

BERMULA sekadar suka-suka, siapa sangka percaturan lelaki ini untuk mengetengahkan kandungan atau konten berunsurkan panduan serta nasihat berkaitan perhubungan (relationship) benar-benar menjadi!

Dalam tempoh kurang dua bulan sahaja, video-videonya 'meletup' dengan kebanyakannya meraih melebihi sejuta jumlah tontonan di TikTok.

Berkongsi cerita dengan mStar, TikToker yang hanya mahu dikenali sebagai Amirlala berkata, idea untuk mengetengahkan konten 'Tip Penjagaan Hati Perempuan' tercetus secara spontan untuk mencari sedikit kelainan.

"Sejak membuka akaun TikTok pada 2018, saya banyak kongsi video-video random seperti mengenai rakan-rakan dan juga aktiviti kolej yang dilakukan memandangkan saya staf pemasaran di Kolej Yayasan Pelajaran Johor. Konten yang dihasilkan bertujuan untuk branding kolej juga.

"Konten 'Tip Penjagaan Hati Perempuan' tercetus selepas saya mengenali talent yang juga pelajar di kolej ini, Piqa. Kami berbincang dan saya usulkan idea tersebut, Piqa pun okay untuk collaborate.

amir baru

Video Amir dengan Piqa meletup sehingga meraih jutaan jumlah tontonan di TikTok.

"Tak sangka, video pertama untuk 'Tip Penjagaan Hati Perempuan' yang dimuat naik pertengahan Mac lalu boleh meletup sehingga hampir cecah enam juta jumlah tontonan," ujar pemuda berusia 25 tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu malu nak buka mulut, sekarang bukan main rancak berceloteh! Suri rumah cakap loghat Pahang ‘pekat’ sambil memasak buat ramai terhibur

Bercerita mengenai idea-idea untuk menghasilkan konten 'Tip Penjagaan Hati Perempuan', pemuda ini berkata ia adalah hasil perbincangan bersama antaranya dan Piqa.

"Kami cari idea yang boleh relate dengan situasi relationship dan juga wanita. Kebanyakannya adalah untuk memberi panduan dan tip kepada lelaki bagaimana nak handle sesuatu situasi ketika bersama pasangan, contohnya kalau wanita tengah merajuk dan sebagainya.

"Tak sangka selepas ketengahkan konten ini, followers semakin bertambah. Yang komen dan hantar DM untuk minta nasihat pun ada termasuk yang sudah berkahwin. Lucu juga sebab saya masih belum kahwin, tapi apa salahnya kongsi apa yang boleh.

Kami cari idea yang boleh relate dengan situasi relationship dan juga wanita.

AMIRLALA

"Para isteri pula siap tag suami masing-masing pada video. Banyak juga dapat komen daripada lelaki yang ucapkan terima kasih sebab beri tip dan panduan," ujarnya yang menjadikan TikToker Fendi Mojo sebagai idola.

Berjaya mengumpul pengikut melebihi 878,000 di TikTok sehingga kini, Amirlala berkata dia akan terus mengetengahkan konten dengan tema yang sama memandangkan ia menerima sambutan daripada warga maya.

"Melihatkan sambutan yang positif, kami akan teruskan dengan idea untuk teruskan konten tersebut.

amir talent

Amir bersama para talent Kolej Yayasan Pelajaran Johor.

"Team marketing kolej ini sebenarnya ada ramai talent lain dan terlibat juga untuk video-video berkaitan namun Piqa akan menjadi duo atau talent tetap untuk konten 'Tip Penjagaan Hati Perempuan'.

"Disebabkan itu, ramai juga salah faham dan bertanya sama ada kami berpasangan. Sebenarnya, Piqa hanya talent tapi disebabkan konten ini lebih berunsur relationship, orang nampak macam couple pula.

"Di kesempatan ini, saya nak ucapkan terima kasih kepada followers dan juga warga maya yang menyokong kami. Setiap maklum balas positif dan negatif, kami terima dan akan perbaiki untuk buat yang terbaik," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain