suria

Musim harumanis dah tiba, peguam muda bijak buat duit tepi... Buka but kereta jual mangga Perlis di Bukit Jelutong

Aidil merupakan seorang peguam dan peniaga harumanis.

MENGEJAR dua impian berbeza pada satu masa bukanlah perkara yang mustahil untuk dicapai.

Ia dibuktikan oleh Muhammad Aidil Akmal Sharidan, 26, seorang peguam yang turut aktif menjadi peniaga mangga harumanis di negara ini.

Bercerita kepada mStar, dia yang senang disapa Aidil berkata perniagaan buah berkenaan diusahakan oleh ibu bapanya, Sharidan Dali dan Rosnita Kamis di Kampung Telok Jambu, Perlis, sejak tahun 2012.

Belajar sambil berniaga

Meskipun memilih haluan berbeza apabila melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang, Aidil tidak pernah melupakan rasa cintanya terhadap dunia perniagaan yang menjadi darah dagingnya sehingga ke hari ini.

aidil1

Aidil bersama ibu bapanya.

"Mak ayah mula bercucuk tanam pada tahun 2012. Kebun hanya di sebelah rumah kami, berkeluasan kira-kira satu hektar yang menempatkan 250 pokok mangga harumanis. Saya juga turut terlibat menanam pokok-pokok itu suatu masa lalu.

"Ketika sambung belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada tahun 2015, saya mula berniaga di kampus. Pensyarah pun ramai yang support perniagaan saya. Kiranya saya belajar sambil berniaga.

"Pasaran di Perlis dah terlalu banyak, sebab tu saya nak bantu mak ayah pasarkan harumanis di Kuala Lumpur," ujar anak kedua daripada tiga beradik itu.

Bahagi masa demi 2 kerjaya

Selepas menamatkan pengajian, Aidil yang memulakan kerjaya di sebuah firma guaman tetap meneruskan perniagaannya itu kerana harumanis biasanya hanya dijual sekitar bulan April sehingga Jun sahaja.

aidil3

Aidil terus berniaga meskipun telah bergelar peguam sejak tiga tahun lalu.

Ujar Aidil, di sebalik jadualnya yang padat, dia bukan sahaja melakukan jualan secara dalam talian, malah turut membuka but kereta di tepi jalan di kawasan Bukit Jelutong, Shah Alam.

"Harumanis ni bermusim, sama maca durian juga. Biasanya paling banyak antara April hingga Jun. Walaupun dah mula kerja, saya tetap terus berniaga. Sebenarnya agak dilema juga. Kerja hakiki saya ni banyak makan masa.

"Tapi biasanya saya akan mula berniaga selepas balik kerja waktu petang. Habis je kerja, saya akan cepat-cepat buat pembungkusan. Saya juga biasanya jual di tepi jalan di kawasan Petronas Bukit Jelutong.

"Selain itu, saya tetap buat postage. Saya juga ada ejen di Johor dan Negeri Sembilan.

aidil9

Harumanis mendapat permintaan luar biasa pada musimnya.

"Jadi, pelanggan saya juga makin bertambah. Dulu di kampus jual pada pensyarah, sekarang rakan-rakan dalam bidang guaman pun dah jadi pelanggan," ujarnya yang sudah tiga tahun bergelar sebagai peguam.

Harumanis mahal?

Mengulas persepsi segelintir individu yang menganggap harumanis sebagai buah-buahan yang mahal, Aidil berkata dia sebagai peniaga mempunyai alasannya yang tersendiri.

"Harumanis ini istimewa berbanding mangga biasa. Pertamanya, ia hanya ada di Perlis. Cuba tanam di negeri lain... tak berbuah. Kalau berbuah pun kualiti tak sama. Saya boleh andaikan faktor tanah, angin dan cuaca. Sebab Perlis negeri yang panas, ia jadi lebih segar di sana.

aidil4

Kebun harumanis yang diusahakan oleh keluarga Aidil.

"Kedua, ia juga melalui banyak proses. Ia memerlukan vitamin, racun, proses untuk basuh, penghantaran lagi. Kalau beli di Perlis, sudah tentu harganya lebih murah jika nak dibandingkan dengan harga di Kuala Lumpur.

"Selain itu, harumanis merupakan buah bermusim seperti durian. Sama macam durian juga, ramai orang sanggup bayar harga yang tinggi untuk makan beberapa ulas sahaja," ujarnya lagi.

Kongsi ilmu di media sosial

Menyedari kelebihan dunia moden hari ini, Aidil juga menggunakan platform media sosial untuk menjalankan perniagaan dan pada masa sama menyebarkan ilmu undang-undang kepada netizen.

aidil8

Uqasha Senrose antara selebriti yang pernah merasai sendiri keenakan harumanis keluarkan kebun keluarga Aidil.

"Media sosial sangat memainkan peranan. Platform yang paling membantu adalah Twitter dan TikTok. Selain membuat hebahan tentang perniagaan harumanis, saya juga buat perkongsian tentang isu undang-undang.

"Antaranya saya buat perkongsian video TikTok tentang hak orang awam sekiranya mereka ditahan polis dan sebagainya. Saya berpendapat kesedaran ilmu undang-undang masih kurang kerana tiada subjek tersebut di sekolah.

"Jadi saya mahu berkongsi supaya orang ramai tahu apa hak mereka dan sebagainya. Saya cuma nak kongsi ilmu dan bersedia meneruskan perkongsian sebegini pada masa akan datang," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain