SELEPAS menamatkan persekolahan, Sarah Mustafa mula bekerja di sebuah butik yang menjadi titik tolak kepada permulaan kerjayanya sebagai model. Lebih dikenali sebagai Ssrhmstfa di aplikasi TikTok, Sarah, 25, berkata dia sama sekali tidak menyangka dirinya akan terlibat dalam dunia peragaan, namun mengakui ia cukup serasi dengan jiwanya. "Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya mula bekerja di sebuah butik tudung. Saya ni jenis tak suka duduk rumah, suka cari duit sendiri untuk beli barang-barang yang saya mahukan. "Pada satu hari, bos saya tanya sekiranya saya pernah jadi model. Saya pula suka melawa. Itu kali pertama saya jadi model tudung. Memang berdebar, tapi pada masa sama saya rasa teruja. Sarah bergelar model sejak berusia 18 tahun. "Sejak detik itu, orang perlahan-lahan cari saya sekiranya ada job berkaitan. Saya juga aktif kongsi gambar di media sosial. Saya jadikan Instagram sebagai portfolio," ujarnya kepada mStar. Cabaran awal Menurut Sarah yang berasal dari Terengganu, minatnya itu pernah mendapat tentangan bapa, namun dia kini meraih sokongan keluarga selepas membuktikan kemampuannya dalam bidang peragaan. "Masa awal-awal dulu, ayah saya cakap 'tak payah la'. Dia takut saya tak boleh pergi jauh. Tambahan pula wujud stigma tentang masalah sosial dalam bidang ini. Mestilah keluarga risaukan saya. "Tapi saya buktikan pandangan itu salah. Lama-kelamaan, ayah mula tunjukkan sokongan selepas dia nampak apa yang saya usahakan mula membuahkan hasil," ujar Sarah yang kini menetap di ibu negara. Selain tentangan keluarga, model berhijab itu berkata dia juga berasa terganggu apabila tona kulitnya yang berwarna kuning langsat cuba diubah menjadi lebih cerah suatu masa lalu. Sarah dan suami kini mempunyai seorang cahaya mata. "Saya tak pernah rasa terhalang kerana hijab. Saya cuba nak buktikan bahawa model berhijab juga boleh pergi jauh. Setakat ini belum ada diskriminasi kerana saya bertudung. "Tapi bab tona kulit saya pernah kena. Saya mempunyai kulit warna kuning langsat. Dulu kalau boleh mereka nak model muka putih je. Ketika mekap, client minta kulit saya dicerahkan. "Saya rasa terganggu kerana warna kulit yang berbeza-beza perlu diraikan. Kita kena bangga dengan warna kulit sendiri. Tapi sekarang penerimaan tu dah berbeza. Orang dah tak obses untuk jadi putih," ujarnya lagi. Menurut Sarah, dia mahu menyampaikan mesej positif agar gadis di luar sana sentiasa yakin dengan diri sendiri dan mengelak untuk melakukan prosedur berbahaya demi mendapatkan kulit cerah. ARTIKEL BERKAITAN: Dulu cari pengikut, kini ‘buat duit’! Berbaloi MUA ‘menyelit’ buat content TikTok sambil jaga anak, dah mampu beli Honda ARTIKEL BERKAITAN: Awas, si comel garang di gelanggang! Fighter Muay Thai raih hadiah lumayan di Thailand, lawan rebah dalam 16 saat "Tona kulit kita bukan satu kekurangan. Sebaliknya, Allah jadikan kita cantik dengan cara tersendiri. Jadi kita kena terima diri kita. "Jangan obses untuk putih, tapi kita berusaha untuk dapatkan kulit yang lebih sihat. Kulit putih melepak tapi tak sihat tak boleh juga," ujarnya lagi. Bahagi masa demi anak Menurut Sarah yang mendirikan rumah tangga pada 2021, dia perlu bijak membahagikan masa kerana puteri sulungnya Luna Jasmine yang berusia lapan bulan menjadi keutamaan ketika ini. Selain bergelar model, Sarah juga mengusahakan bisnes bersama suaminya. Tambah Sarah, dia juga akan memberikan sokongan penuh sekiranya si comel itu mahu mengikuti jejak langkahnya suatu masa nanti. "Dulu tak ada anak, saya giat ke sana sini. Sekarang anak jadi keutamaan. Ada job yang saya perlu tolak. Saya nak berikan yang terbaik untuk anak. "Kalau suatu hari nanti dia nak jadi model, saya tak akan halang. Saya sendiri pun pernah lalui fasa sebagai remaja, jadi saya faham," ujarnya lagi. Bijak cari wang Sarah sebelum ini pernah berniaga makanan bersama seorang rakan dan kini mengusahakan bisnes pakaian muslimah bersama suaminya, Ahmad Tarmizi Zainudin Ariff. "Sekarang suami buat bisnes bersama saya. Kami usahakan bisnes fesyen. Kami jual abaya yang diambil khas dari Dubai. "Kami rancang untuk besarkan bisnes, tambah produk dan ada showroom suatu hari nanti. Sekarang kami buat dari rumah saja," ujarnya yang memiliki hampir 100,000 pengikut Instagram. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube