suria

Awas, si comel garang di gelanggang! Fighter Muay Thai raih hadiah lumayan di Thailand, lawan rebah dalam 16 saat

Jojo menganggap kesakitan yang dialami sebagai motivasi untuk dia terus bangkit meraih kejuaraan.

KEMUNCULAN petinju Muay Thai, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar menerusi laman TikTok meraih perhatian ramai sehingga dia mengumpul puluhan ribu peminat dalam masa singkat.

Lebih dikenali sebagai Jojo, anak jati Kuala Lumpur berusia 17 tahun ini bersyukur menerima banyak sokongan menerusi platform TikTok, sekali gus menjadi peniup semangat untuk terus beraksi cemerlang pada masa akan datang.

Di sebalik sokongan padu itu, Jojo berkata dia turut menerima usikan nakal di media sosial, namun menganggap ia sebagai lumrah yang perlu dihadapi apabila dirinya semakin dikenali.

jojo2

Seluruh ahli keluarga Jojo turut terlibat dalam sukan Muay Thai.

"Sebenarnya saya gembira kerana sekarang orang dah mula tunjukkan sokongan. Sebelum ni orang tak nampak usaha saya. Syukur apabila dapat kenalkan Muay Thai kepada lebih ramai orang di luar sana.

"Harapnya sukan ini terus membangun di Malaysia dan lebih ramai bakat baharu muncul. Sejujurnya saya bangga dapat jadi inspirasi. Rata-rata netizen di TikTok tunjukkan sokongan. Mungkin dalam 100 komen, ada satu atau dua sahaja yang kecam.

"Ada juga yang direct message (DM) pelik-pelik, baik lelaki atau perempuan. Yang baik-baik tu okay la, yang tak bagus tu saya abaikan. Pada masa sama, ramai juga minta saya buat video ajar Muay Thai di TikTok, tapi setakat ni belum sempat lagi," ujarnya kepada mStar.

Ahli keluarga Muay Thai

Mengimbas perjalanannya dalam sukan Muay Thai, Jojo yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata seluruh ahli keluarganya terlibat dalam sukan itu, termasuklah ibu bapanya, Zulfikar Mohd Ghazali, 47, dan Jennana Johnson, 45.

jojo3

Jojo menceburi sukan Muay Thai ketika berusia 10 tahun.

Jojo yang berdarah campuran Malaysia - Amerika Syarikat (AS) berkata dia menceburi sukan itu kerana mahu mengikuti jejak langkah ibu bapanya dan sama sekali tidak menyangka akan terlibat secara serius sehingga menjadi kerjaya.

"Saya bermula pada umur 10 tahun, ketika darjah empat. Saya boleh masuk dalam sukan ini pun sebab mak ayah saya juga fighter dulu. Mereka tak paksa, tapi mereka alu-alukan untuk saya jadi fighter juga. Bila dah cuba, saya mula minat.

"Selain mak ayah, kami empat beradik pun fighter juga. Saya ingat lagi masa awal-awal dulu, saya sertai sekadar untuk bersenam saja. Lepas tu coach tawarkan untuk berlawan. Jadi saya pun cuba. Tak sangka saya menang perlawanan pertama.

"Sejak detik itu, saya berikan komitmen 100 peratus. Tak pernah lagi saya rasa nak putus asa. Saya rasa inilah sukan yang saya idam-idamkan sampai sekarang," ujarnya yang berpindah ke Sarawak sejak berumur 15 tahun.

Korban masa remaja demi kerjaya

Menurut Jojo, dia kadang kala cemburu dengan rakan-rakan seusianya yang seronok menikmati masa muda manakala dirinya sibuk memberi fokus 100 peratus terhadap sukan yang diceburi.

jojo4

Kesakitan menjadi motiviasi terbesar Jojo untuk terus bangkit di gelanggang.

Namun katanya, pengorbanan itu terbalas dengan pencapaian yang diraih dan membuatkan dia terus bersemangat untuk terus melangkah jauh pada masa akan datang.

Paling menggembirakan, Jojo berjaya memenangi wang tunai AS$10,000 (RM45,000) ketika beraksi dalam kejohanan ONE Championship yang diadakan di Bangkok, Thailand, pada Mac.

"Peringkat paling tinggi setakat ini adalah saya jadi wakil Malaysia ke ONE Championship di Bangkok pada bulan Mac. Saya dapat bonus sebab menang menerusi pukulan ‘knockout‘ (KO) dalam 16 saat, dapat wang tunai AS$10,000. Ini adalah debut saya di kejohanan itu.

"Target akan datang, saya nak lawan lagi di ONE Championship seterusnya. Tapi kalau boleh, saya target nak dapatkan kontrak AS$100,000," ujarnya lagi.

Muay Thai tiada masa depan?

Bercerita lanjut, Jojo berkata dia juga tidak terlepas menerima pandangan skeptikal segelintir individu yang menganggap sukan Muay Thai tidak menjamin masa depan.

jojo5

Jojo juga rajin berkongsi video tentang Muay Thai di aplikasi TikTok.

"Mesti ada orang yang cakap Muay Thai tak boleh pergi jauh. Ada juga saya terima komen yang cakap sukan ni tak berbaloi, berisiko tinggi dan macam-macam lagi.

"Orang macam tu memang ada. Mereka tak faham sukan ini. Saya bersyukur sebab ada team yang berikan sokongan penuh. Saya tak kecil hati tapi anggap benda ni sebagai motivasi.

"Saya jadi bersemangat nak buktikan pada mereka yang saya boleh menang, nak buktikan pendapat mereka itu salah," ujarnya lagi.

Sanggup tahan sakit

Mengenai pengalamannya berdepan lawan di gelanggang, Jojo berkata dia pernah mengalami bermacam kecederaan, namun ia sama sekali tidak melunturkan semangatnya untuk terus bangkit dan memburu kejuaraan.

johan1

Johan pernah berdepan pelbagai kecederaan sepanjang sepanjang penglibatannya dalam Muay Thai.

Paling teruk kata Jojo, wajahnya pernah terkoyak akibat diserang lawan pada tahun lepas sehingga dia perlu menerima 18 jahitan.

"Kejadian tahun lepas saya rasa paling teruk sepanjang saya sertai Muay Thai. Muka saya koyak akibat terkena siku, saya terima 18 jahitan di muka. Walaupun cedera teruk, saya tetap menang dalam perlawanan itu.Setakat ini saya tak pernah lagi kalah menerusi pukulan ‘knockout‘ (KO).

"Pada saya, ketahanan ini atas individu juga. Macam saya, sakit tu jadi motivasi. Saya sanggup sakit sebab minat sukan ini. Kalau orang tumbuk, saya nak tumbuk balik. Kesakitan jadi motivasi untuk saya menang," ujarnya mengakhiri bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain