suria

Youtuber tinggal ibu, berkorban demi misi bantuan 17 hari di Afrika... Rasa insaf tengok kanak-kanak rebut makanan

Mar tidak beraya bersama ibunya kerana menyertai misi bantuan kemanusiaan di Afrika.

APABILA tibanya hari raya, berpusu-pusu anak perantau pulang ke kampung halaman untuk meraikannya.

Namun berbeza bagi Marham Mohd Yusof, 34, atau dikenali sebagai Mar kerana dia memilih untuk beraya di negara asing demi menjalankan misi bantuan membantu rakyat di Guinea, Afrika Barat sejak 20 Jun lalu.

Ujarnya yang aktif menghasilkan kandungan (content) di platform TikTok dan Youtube bersama ibunya, Asiah Ngah, 77, ini merupakan kali pertama dia tidak beraya bersama keluarga di kampungnya di Terengganu.

“Selama ni apabila tiba hari raya, adik-beradik saya akan pulang ke kampung untuk sambut dengan saya dan Mok (gelaran ibu Marham). Kami akan merewang masak banyak-banyak menggunakan dapur kayu macam kenduri. Memang meriah!

“Macam tahun-tahun sebelum ni, ibu akan lakukan ibadah korban setiap kali Hari Raya Aidiladha. Cuma raya kalini saya tak ada sebab sertai misi bantuan di Afrika.

“Misi saya bersama satu organisasi ni dijalankan selama 17 hari. Walaupun ibu suka saya buat misi bantuan ni, tapi berat hati saya nak tinggal dia. Sejak saya menetap di kampung tiga tahun lalu memang kami tak pernah berjauhan,” ujar anak bongsu daripada enam adik-beradik itu.

Bercerita lanjut mengenai misinya kepada mStar, ia bertujuan untuk membantu golongan susah yang warganegaranya terdiri daripada 90 peratus beragama Islam.

Bagaimanapun, warga maya mula mempersoalkan mengenai misi bantuan yang dilakukan di negara asing dan bukannya di Malaysia kerana turut mempunyai golongan asnaf.

Mar tinggal bersama ibunya di Terengganu sejak tiga tahun lalu.

“Saya memilih bantu warga Guinea untuk berikan mereka harapan baharu dan peluang membina masa depan lebih baik. Jadi saya nak sebarkan awareness dengan menghasilkan video tentang kehidupan mereka.

“Ia juga supaya rakyat Malaysia sama-sama belajar erti bersyukur dan lebih menghargai apa yang kita miliki. Walaupun jauh beribu batu saya merantau bantu rakyat negara asing bukanlah bermaksud lupakan orang susah di negara sendiri.

“Tetapi setelah dilihat dengan mata kasar, mereka lebih memerlukan ihsan dan secebis kasih sayang rakyat Malaysia. Kehidupan mereka seperti 70 tahun ke belakang daripada kita," katanya.

Tambah Mar, kehidupan rakyat di sana serba-serbi kekurangan.

"Mereka memasak menggunakan kayu api sepenuhnya. Rumah tiada elektrik. Kalau nak pakai air pun kena angkut dari sawah padi,” ujarnya.

Selain membantu membuka sekolah, Mar yang begitu teruja dengan misi bantuan ini turut membantu mereka mendapatkan sumber air bersih dan meraikan Hari Raya Korban.

Mar mengagihkan al-Quran bagi kanak-kanak di Afrika.

Luah Mar yang kerap menghasilkan kandungan (content) memasak menggunakan studio dapur kayu bersama ibunya ini, dia begitu terkesan apabila melihat keperitan hidup dihadapi warga Afrika.

“Sumber air yang mereka ada pun tidak bersih dan mendatangkan pelbagai wabak penyakit. Paling menyedihkan anak-anak kecil di Guinea tidak ke sekolah.

“Jadi kami ingin membuka sekolah di sana, sekurang-kurangnya dapat membantu mereka boleh mengenal huruf al-Quran dan tahu membaca kerana dengan pendidikanlah akan mengubah nasib mereka.

“Kami juga akan bantu mereka menggali telaga air bersih, supaya, kanak-kanak tidak lagi perlu bekerja keras untuk mengangkut air dari tempat yang jauh. Jadi mereka akan ada waktu untuk pergi belajar,” katanya lagi.

Walaupun terdapat pelbagai halangan dan rintangan dihadapi dalam melaksanakan misinya, namun semangat dan niat murninya membantu mengubah nasib warga Afrika tidak pernah pudar.

Jejaka ini tersentuh melihat keperitan hidup warga Afrika.

Bercerita mengenai pengalamannya di Afrika, Mar berkata dia dan rombongannya terpaksa meredah jalan tidak berturap selama 23 jam untuk menyalurkan bantuan ke kawasan pedalaman.

“Pengalaman saya berada di sana memang seronok sangat. Saya akan memasak bersama-sama warga Afrika untuk dihidangkan bagi orang makan.

“Tapi haritu masa makanan dihidangkan saya tengok anak-anak Guinea berebut dan bergaduh untuk makan. Memang mengalir air mata tanpa sedar. Masa tu terdetik di hati rasa syukur sangat dengan rezeki Allah kurniakan.

Misi bantuan berlangsung selama 17 hari di Afrika Barat.

“Saya belajar banyak perkara sejak mengikuti misi ni. Banyak peluang sebenarnya Allah hidangkan depan mata kita di negara sendiri. Berhenti merungut dengan masalah kecil-kecil dan kita kena sentiasa positif,” imbasnya lagi.

Dalam pada itu, Mar yang mengikuti program bersama badan kebajikan MyFundAction menyeru agar rakyat Malaysia berkongsi kasih sayang dengan memberikan bantuan sempena bulan Zulhijjah yang mulia ini.

Walaupun terpaksa berkorban hari raya bersama ibunya, Mar tetap bersyukur dengan peluang diberikan ini.

Ahli keluarga Mar.

“Saya harap kita dapat salurkan bantuan dengan wakafkan al-Quran sebab mereka tak mampu nak beli sendiri. Mereka hanya baca al-Quran yang ditulis atas kayu sahaja.

“Saya nak menyeru dan memohon agar kita berikan sedikit sumbangan untuk mereka. Saya juga tengah kumpul dana daripada semua pengikut (follower) untuk siapkan masjid di kampung Missamana yang tergendala sebab kekurangan dana.

“Tak apalah tak dapat beraya bersama dengan ibu pada Aidiladha kali ni. Dia bagi peluang dekat saya untuk merantau dan belajar menjadi manusia lebih baik dan memberi manfaat kepada manusia lain,” kata Mar menutupi kisah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain