suria

“Masa tu saya tiada ilmu penyusuan” - Guru Kimia tukar kerjaya, jadi kaunselor susu ibu selepas kehilangan anak usia 3 minggu

Nurun Nadia memilih kaunselor laktasi sebagai kerjaya.

PERNAH melalui detik hitam dalam hidup mendorong seorang guru Kimia beralih profesion selepas 13 tahun berkhidmat di sekolah kerajaan.

Mengimbau memori sedih itu, Nurun Nadia Masrom berkata, dia kehilangan anak pertamanya selepas tiga minggu dilahirkan.

Ia berpunca daripada dirinya sendiri yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentang teknik penyusuan bayi ketika itu.

"Anak pertama saya adalah pra-matang dan pada masa itu saya tiada ilmu penyusuan... susu ibu adalah yang terbaik untuk anak pra-matang ni.

Golongan bapa turut menyertai kelas penyusuan bagi mengetahui asas yang sebenarnya.

Golongan bapa turut menyertai kelas penyusuan bagi mengetahui asas yang sebenarnya.

"Masa tu saya campurkan susu formula dengan susu ibu dan anak saya alami alahan, saya kehilangan dia dalam tempoh tiga minggu," ujarnya kepada mStar.

Dia yang kini bergelar kaunselor laktasi (penyusuan susu ibu) bertauliah berkata, sejak kejadian tersebut dia memulakan kerjaya sebagai kaunselor penyusuan secara sambilan.

"Setelah terlibat dalam dunia ini selama tujuh hingga lapan tahun di samping keinginan untuk menghasilkan peralatan penyusuan yang berkualiti... saya pilih untuk terus serius menceburi bidang ini," luahnya lagi.

Baginya bidang tersebut tidak ubah seperti kerjayanya sebagai pendidik kerana turut memberikan ilmu kepada masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu bayar model mahal, anak sendiri jadi testimoni bengkung... Ibu tunggal syukur hero sulung peneman susah senang

Malah katanya, matlamat utama adalah untuk membantu para ibu mengetahui teknik penyusuan yang betul di samping penggunaan peralatan yang sepatutnya.

"Lagipun, saya sudah mendapat kepuasan sebagai cikgu selain mendapat banyak achievement.

"Jadi saya nak tumpukan tentang penggunaan peralatan penyusuan yang betul memandangkan saya mempunyai master dalam bidang kimia dan jarang ada orang kongsikan ilmu secara berilmiah tentang ini.

"Pada masa sama, saya dapat aplikasi apa yang saya belajar serta dalami kepada penggunaan harian," jelasnya yang 'bertukar angin' kerjaya.

Para ibu didedahkan tentang teknik penyusuan dan lekapan yang sebetulnya.

Para ibu didedahkan tentang teknik penyusuan dan lekapan yang sebetulnya.

Menyedari kerjayanya bukanlah bidang popular seperti profesion yang lain, Nurun Nadia berkata, mereka yang ingin terlibat perlulah mempunyai tahap kesabaran serta minat yang tinggi dan bukanlah mementingkan jumlah pendapatan bulanan.

Tambahnya, berdasarkan pengalaman bertemu dengan para ibu di klinik kesihatan, kira-kira enam daripada 10 orang tidak mempunyai ilmu penyusan meskipun kita sudah berada di tahun 2023.

Bukan itu sahaja, ramai yang menyangkakan penyusuan susu ibu adalah fitrah dan naluri.

"Sedangkan ia memerlukan elemen penyusuan seperti cara untuk memegang bayi kerana daripada situlah baru para ibu mengetahui lekapan bayi adalah betul dan tidak menyakitkan.

Nurun Nadia pernah berkhidmat sebagai guru kimia selama 13 tahun.

Nurun Nadia pernah berkhidmat sebagai guru kimia selama 13 tahun.

"Apabila berhadapan dengan ibu-ibu yang tidak tahu ini, kita kena galakkan mereka dan bukannya mengajar kerana manusia tidak suka diajar tetapi diajak.

"Jadi saya mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu jawatan kuasa bidang laktasi ini berikutan kakitangan di Pusat Laktasi Kebangsaan tidak dapat menampung jumlah ibu di seluruh Malaysia," tambahnya.

Wanita berusia 37 tahun itu juga menyatakan, sebagai kaunselor, dia perlu memahami situasi kenapa para ibu enggan menyusukan bayi dan pada masa sama tidak mengadili golongan tersebut bagi mengelakkan mereka berasa 'menyampah'.

Dia turut berkongsikan tiga teknik yang dilakukan ketika berdepan dengan para ibu yang tidak mempunyai pengetahuan tentang ilmu penyusuan.

1- Tidak menilai seseorang ibu itu jika mereka tidak ingin meneruskan penyusuan.

2. Memberi galakan dan memberi sokongan tentang apa saja keputusan yang diberikan

3. Berkongsi pilihan tentang bagaimana untuk ibu memulakan penyusuan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain