suria

Komunikasi guna kanvas, pemuda autisme ini pamer bakat melukis... Ibu bapa cungkil bakat sejak usia 15 tahun

Antara karya seni yang dihasilkan Vishaka.

MENGAMATI lukisan yang penuh dengan keharmonian dan kemesraan dalam kekeluargaan pasti membuatkan hati terasa tenang.

Namun pasti ramai tidak menyangka ia adalah hasil tangan pemuda yang mengalami gangguan spektrum autisme (ASD).

Menerusi pameran seni Vishaka's Magic On Canvas di Brickfields, Kuala Lumpur baru-baru ini, Vishaka Jivan, 25, berjaya membuka mata ramai pihak tentang kemampuan dan kebolehan unik penghidap autisme.

Dia yang mempunyai autisme sederhana dan pertuturan terhad menjadikan seni sebagai medium komunikasi.

Pada pameran tersebut, ibunya Dr Sunitha Sivakumaran, 55, mempamerkan 20 karya seni yang dihasilkan anaknya.

Vishaka mula mengikuti pelajaran seni sejak usia 15 tahun.

Vishaka mula mengikuti pelajaran seni sejak usia 15 tahun.

Merentas pelbagai medium seperti akrilik dan cat air pada kanvas dan kadbod, lukisan Vishaka juga menggambarkan haiwan, burung dan bunga.

"Melihat dia mengekspresikan dirinya melalui seni adalah satu kegembiraan. Saya dan suami berasa bangga dengan kemajuan yang dicapainya.

“Pameran ini adalah peluang untuk kami berkongsi perspektif dia dengan khalayak yang lebih luas. Ia bukan sekadar mempamerkan kebolehan artistiknya tetapi untuk menggalakkan pemahaman dan penerimaan autisme dalam kalangan masyarakat.

Kami mahu memastikan dia mempunyai sumber dan sokongan yang diperlukan untuk masa depannya.

DR SUNITHA SIVAKUMARAN

IBU

"Vishaka memulakan pelajaran seni ketika dia berumur 15 tahun,” kata Sunitha.

Tambahnya, pilihan tersebut dibuat selepas mencuba beberapa perkara termasuk memperkenalkan muzik pada Vishaka.

“Pada mulanya, saya memperkenalkan dia kepada muzik kerana mempunyai piano di rumah. Namun, minatnya tidak terletak di situ.

"Jadi saya memutuskan untuk meneroka perkara lain,” kata Sunitha yang juga pengetua di pusat kanak-kanak berkeperluan khas di Petaling Jaya, Selangor.

Sunitha menyedari minat anaknya lebih kepada seni lukisan.

Sunitha menyedari minat anaknya lebih kepada seni lukisan.

Melihatkan kegembiraan yang ditunjukkan anaknya semasa berada dalam kelas mendorong dia untuk terus menghantar Vishaka mengikuti pelajaran seni.

Malah katanya, ia juga sebagai persiapan untuk anak bongsunya itu menjalani kehidupan secara berdikari.

“Kami mahu memastikan dia mempunyai sumber dan sokongan yang diperlukan untuk masa depannya. Kami mahu memberikan Vishaka peluang terbaik untuk berkembang maju,” kata Sunitha.

Ibu kepada dua anak itu menambah, Vishaka sedang menjalani latihan kemahiran di sebuah pusat untuk golongan dewasa muda berkeperluan khas di Cheras. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain