MENJAWAB peperiksaan ketika berada hospital bukanlah penghalang untuk kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ini memperoleh keputusan cemerlang bagi Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2023. Nur Iman Syahirah Zul Fakhri mencatatkan 'mumtaz' (cemerlang) bagi semua mata pelajaran yang diambil termasuk Bahasa Arab. Berkongsi cerita, guru penyelaras tahun 6 di Kafai Nurul Ain Telok Gadong Klang, Selangor, Muhammad Sazli Zainal Kamaruddin berkata, muridnya itu merupakan seorang anak yatim selepas bapanya meninggal dunia pada 2021 akibat Covid-19. Dia dibesarkan oleh ibunya sendirian bersama tiga lagi adik-beradik dengan mencari rezeki menjual bantal secara kecil-kecilan. Nur Iman merupakan murid terbaik dan rajin membantu guru "Rekod kehadiran Nur Iman ke sekolah kurang memuaskan sejak tempoh peperiksaan percubaan lagi. "Tak sangka pula, seminggu sebelum peperiksaan bermula, dia akan ditahan di wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah, akibat serangan asma serta jangkitan kuman di paru-paru. "Pada hari peperiksaan berlangsung, dia terpaksa menjawab soalan dengan branula di tangan," katanya. Menurutnya lagi, keadaan yang dialami Nur Iman itu membuatkan para guru berasa bimbang. Murid cemerlang PSRA 2023 Kafai Nurul Ain Telok Gadong Klang. Namun tanpa disangka, cabaran yang dialami itu tidak mematahkan semangatnya untuk tampil cemerlang. Tambah Muhammad Sazli, anak murid yang berasal dari Klang itu juga seorang yang ringan tulang dan sentiasa membantu para guru. "Dia juga selalu bertanyakan soalan di dalam kelas sekiranya tidak memahami subjek yang diajar terutama bahasa Arab. "Ustaz dan ustazah sentiasa mendoakan semoga Nur Iman berjaya dan terus cemerlang menjadi permata puteri solehah untuk ummah," katanya. Dalam pada itu, Nur Iman menyatakan dia ingin meneruskan pembelajaran dalam aliran agama bagi mencapai cita-citanya menjadi seorang ustazah. Permohonan ke sekolah-sekolah agama di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) telah dihantar bagi merealisasikan harapan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube