suria

Nazmi calon pengadil Malaysia ke Piala Dunia 2026! Ini 10 fakta tentang dirinya

Pengadil Malaysia, Muhammad Nazmi Nasaruddin beraksi di atas padang. -Foto FAM

PENGADIL diperlukan dalam arena bola sepak bagi memastikan perlawanan dapat berlangsung dengan saksama untuk kedua-dua pasukan yang bertanding.

Namun, karier seorang pengadil bukanlah mudah, dengan satu kesilapan boleh menyebabkan mereka menjadi mangsa cacian dan makian penyokong yang tidak berpuas hati.

Justeru hanya mereka yang terbaik sahaja boleh terpilih untuk mengadili perlawanan di peringkat berprestij.

Baru-baru ini, pengadil kelahiran Malaysia, Muhammad Nazmi Nasaruddin melakar sejarah apabila terpilih sebagai calon pengadil utama dalam kejohanan Piala Dunia 2026.

Pencapaian itu berjaya dirangkul selepas Nazmi dan dua lagi pembantu pengadil iaitu Zairul Khalil Tan dan Arif Shamil Abd Rasid mempersembahkan prestasi cemerlang ketika mengadili saingan Piala Asia yang melabuhkan tirai pada Sabtu lalu.

Lebih memberangsangkan, Nazmi turut mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Antara saringan yang perlu dilalui Nazmi adalah kursus calon pengadil utama Piala Dunia yang bakal diadakan bermula 25 hingga 29 Februari di Qatar.

Selain itu, Nazmi juga akan terus diuji melalui beberapa siri kursus anjuran Fifa dan AFC, termasuk perlawanan-perlawanan di bawah Fifa dan AFC sebagai syarat pemilihan secara merit ke Piala Dunia 2026.

Jadi siapakah Nazmi ini sebenarnya? Seorang pengadil tempatan yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, ayuh kita kenalinya dengan lebih dekat.

Nazmi Nasaruddin (tiga dari kanan) antara pengadil Malaysia terawal dilengkapi dengan pengetahuan mengenai VAR.

Berikut disertakan fakta berkaitan Muhammad Nazmi Nasaruddin:

1) Menurut transfer.markt.co.id, Nazmi dilahirkan di Kuala Lumpur.

2) Berumur 33 tahun, dilahirkan pada 26 Februari tahun 1990.

3) Kerjaya Nazmi dalam dunia bola sepak bermula seawal usia 16 tahun. Pada 2011, Nazmi dilantik menjadi pengadil dalam Liga Premier dan Liga Super.

4) Menurut laman sesawang Harimau Malaya, pada tahun 2023, Nazmi merupakan pengadil Malaysia pertama yang dijemput untuk mengadili Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan menggunakan sistem video assistant referee (VAR).

5) Perlawanan sulung Nazmi menggunakan sistem VAR di peringkat antarabangsa melibatkan pasukan dari Thailand, Buriram United menentang pasukan China, Zhejiang Professional FC.

6) Keputusan akhir 4-1 memihak kepada pasukan tuan rumah, Buriram United. Dalam perlawanan itu, Nazmi melayangkan empat kad kuning dan menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-22 permainan.

7) Nazmi memiliki lesen pengadil VAR yang diperoleh menerusi program latihan VAR di Arab Saudi. Nazmi adalah pengadil Malaysia pertama yang diiktiraf Fifa sebagai pengadil VAR.

8) Nazmi juga pernah dijemput mengadili beberapa perlawanan di Liga Arab Saudi.

9) Melalui temu bual dengan Nadi Arena yang merupakan program televisyen kendalian Astro Arena pada tahun 2016, Nazmi menyuarakan impiannya untuk mengadili perlawanan dalam kejohanan Piala Dunia.

10) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melabelkan mutu pengadilan yang ditampilkan Nazmi di Liga Super Malaysia sebagai penanda aras yang perlu menjadi ikutan pengadil tempatan lain.

11) Malaysia belum pernah mempunyai pengadil utama di Piala Dunia, paling hampir adalah Subkhiddin Mohd Salleh sebagai pengadil keempat bagi Piala Dunia 2010. Nazmi Nasaruddin berpotensi untuk mencipta rekod baharu negara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain