KELINCAHAN tangan pemuda ini 'mencetak' punten sambil berceloteh dalam siaran langsung (live) di media sosial membuatkan rata-rata penonton ralit dan terpaku. Bukan hanya disebabkan kemahirannya membuat kuih tersebut hingga videonya meraih jutaan tontonan di TikTok, tetapi yang pastinya sajian air tangan pemuda ini membuatkan ramai menelan liur. Siapa sangka, dalam tempoh kurang dua bulan sahaja, sambutan orang ramai terhadap punten istimewa Danial Misban begitu di luar jangkaan! "Sebenarnya saya mula buat punten masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, bersama-sama dengan kuih bahulu. Saya bermula dengan open order hujung minggu saja. Orang ramai beratur untuk membeli punten Danial di premisnya di Jalan Kebun. "Kemudian apabila saya keluar berjualan di tapak niaga, jualan semakin meningkat. Makin rancak, pada bulan Disember lalu sebab sambil berjualan, saya fokus buat live. Daripada situ ia makin naik. "Saya bermula dekat tapak niaga pasar harian di Putrajaya. Waktu tu saya bawa seperiuk saja, kira-kira dapat 25 pax. Itu pun kadang tak habis. "Namun rezeki Allah tak dijangka, sambutan terhadap makanan berasal dari Jawa ini begitu rancak. Sekarang anggaran 40 kilogram beras setiap hari dimasak untuk buat punten," ujar pemuda berusia 30 tahun ini. ARTIKEL BERKAITAN: Cipta menu vegan Malaysia, content masak-masak dapat perhatian Asia... Rupanya Cef Dave suka sorok pisau Menurut Danial, disebabkan sambutan di luar jangkaan itu, dia lebih memfokuskan jualan punten di lokasi premis yang dinamakan Dapur Selasih di Jalan Kebun, Shah Alam. "Orang ramai yang nak beli punten boleh walk-in di HQ kami di Jalan Kebun, setiap hari kecuali Isnin, manakan Ahad dibuka separuh hari. "Saya hanya berjualan di tapak niaga pada setiap hujung bulan, iaitu di pasar komuniti Jalan Kebun dan Pasar Agro Green dekat Meru," katanya yang juga merupakan bekas atlet memanah. Danial bersama isteri, Nor Aina Adibah Mohamad ketika dijemput sebagai tetamu undangan untuk menyediakan punten oleh TV3. Bercerita mengenai keistimewaan punten air tangannya, Danial berkata ia adalah resipi yang diperturunkan daripada ibu mentuanya, Nor Fadilah Johari, yang berketurunan Jawa. "Saya separuh saja berdarah Jawa iaitu sebelah ayah, ibu saya Minang. Tapi belah keluarga ibu mentua saya memang pure Jawa. "Sama je resepi punten ini dengan keluarga Jawa lain, tapi keistimewaannya terletak pada sambal. Punten memang dimakan bersama sambal hijau ikan bilis. "Bagi saya, bahagian paling sukar masa belajar punten adalah part mencetak. Memang kena training. Tapi apabila dah makin lama, kita boleh mencetak punten dengan laju dan mengikut bentuk yang sekata," katanya lagi. Selain punten, Danial turut berniaga kuih bahulu yang juga hasil air tangannya. Tidak menyangka puntennya mendapat sambutan hangat dalam tempoh kurang daripada dua bulan, Danial melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada orang ramai yang memberikan sokongan kepada bisnes kecilnya. "Apa yang membuatkan saya lebih gembira adalah apabila orang lain pun turut merasai tempiasnya. Contohnya, apabila saya berjualan di luar, pengunjung yang datang nak beli punten pun dalam masa yang sama membeli daripada peniaga lain. "Dalam pada itu, dek kerana punten ini makin viral, ramai peniaga lain pun turut sama mencari rezeki berniaga juadah ini. Saya gembira kita sama-sama cari rezeki. "Apa yang saya harapkan, kalau boleh punten ni bukan sekadar kuih bermusim. InsyaAllah kami akan kekalkan. "Kalau kita boleh makan nasi lemak hari-hari, mengapa tidak dengan punten juga kan?," akhirinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube