suria

Berat ujian! Nasib pemuda OKU, ada yang ambil kesempatan... MyFutureJobs bawa sinar baharu

Muhammad Razin tidak pernah berputus asa walau berdepan ujian berat.

SEGELINTIR masyarakat masih tidak menyedari bahawa golongan orang kurang upaya (OKU) perlu menempuh pelbagai cabaran dan kesukaran dalam kehidupannya.

Namun tidak dapat dinafikan kesedaran masyarakat terhadap nasib golongan OKU ketika ini adalah jauh lebih baik berbanding sedekad lalu. Perkembangan yang positif ini disambut baik, pun begitu, tetap wujud ruang untuk penambahbaikan.

Pada masa sama, begitu ramai yang belum mampu membezakan antara autisme dengan autistik. Justeru, perkataan itu kadang-kadang digunakan secara tidak tepat, lalu menyebabkan kekeliruan semakin bercambah.

Kisah seorang anak istimewa, Muhammad Razin Al-Hakimi yang bakal berusia genap 21 tahun pada akhir Mac ini mendapat perhatian.

Bapa kepada Muhammad Razin iaitu Muhammad Al Abror Mohd Yusuf berkongsi cerita mengenai liku-liku perjalanan yang dilalui anak istimewanya itu.

Muhammad Razin memperoleh harapan baharu dengan sokongan PERKESO.

Diagnosis autistik

Muhammad Al Abror berkata, sejak sebelum bersekolah, Muhammad Razin dibawa ke beberapa tempat untuk mendapatkan kepastian terhadap 'keganjilan' pada anaknya itu.

Sehinggalah semasa Muhammad Razin berusia 14 tahun, apabila anak lelakinya itu didiagnosis autistik yang berfungsi tinggi (high functioning autism), susulan diagnosis yang dijalankan di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Selayang, Selangor.

“Berita itu kami terima dengan perasaan agak berbaur, selama ini kami mengejar kebenaran, kini ia adalah realiti anak kami.

“Walau apapun yang berlaku, kami akan tetap berikan yang terbaik untuk Muhammad Razin. Selain cabaran semasa remaja, debaran yang lebih besar juga sudah tentu dialami apabila dia mula melangkah ke dunia di luar pagar sekolah.

“Mempersiapkan Muhammad Razin dengan dunia sebenar yang semakin dewasa dan mencabar serta berdikari sudah tentu tidak mudah,” ujar Muhammad Al Abror yang reda dengan ketentuan Ilahi.

Karnival MYFutureJobs anjuran PERKESO.

Dunia pekerjaan

Menurut Muhammad Al Abror, pada suatu ketika harapan mereka sekeluarga agak tinggi apabila anaknya itu diterima sebagai perantis di sebuah restoran makanan segera.

Berbekalkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu yang diperoleh daripada Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Kuantan di Pahang, peluang itu membuka jalan untuk Muhammad Razin memperoleh pengalaman sekali gus sijil yang lebih tinggi.

“Sijil yang lebih tinggi bermakna peluang pekerjaan lebih baik, gaji lebih menjamin dan kehidupan lebih cerah. Namun dalam hidup ini, harapan tidak selalunya menjadi kenyataan.

“Tanpa asas pengurusan yang betul dan mungkin sikap prejudis yang tidak dibendung, Muhammad Razin tidak berasa betah bekerja di situ.

“Sempat jugalah dia bertahan selama lapan bulan sebelum kami putuskan dia tidak lagi perlu 'belajar' di bawah program rangkaian restoran makanan segera berkenaan,” katanya.

Brief Caption: Deputy Prime Minister Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (in blue) to officiate Karnival Kerjaya MYFutureJobs Bersama Hawa Malaysia “Perkasa Wanita dan Keluarga” at Pekarangan Dewan Millenium, Jalan Bertam 2 in Kepala Batas.( August 05, 2023 )— LIM BENG TATT/The Star.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Karnival Kerjaya MYFutureJobs pada Ogos 2023.

Pelajari ilmu

Kemudian satu pintu peluang terbuka lagi dan kali ini melalui Jabatan Anak Istimewa Selangor (Anis) yang membolehkan Muhammad Razin mempelajari ilmu pembuatan roti di rumah amal Cheshire Home di Selayang.

Muhammad Al Abror berkata, selama tiga bulan anaknya belajar di situ, termasuk selama beberapa minggu menjadi pelatih di sebuah restoran milik sepasang suami isteri warga Perancis di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Selesai belajar di rumah kebajikan itu, pengurus di situ memaklum keberadaan Muhammad Razin kepada Anis untuk dirujuk kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Pada 19 Jun tahun lalu, kata Muhammad Al Abror, seorang pegawai PERKESO Selangor menelefonnya untuk mendapatkan resume dan meminta Muhammad Razin didaftarkan bagi membolehkan anaknya dihubungkan dengan syarikat berpotensi untuk pengambilan pekerja.

“Ketika itulah kami baru tahu mengenai kewujudan dan bantuan yang ditawarkan oleh laman MyFutureJobs yang menawarkan pengalaman serba cekap, pantas dan berkesan,” katanya sambil menambah Muhammad Razin berdaftar di PERKESO Selangor di Petaling Jaya.

Susulan itu, mula menerima e-mel dan disapa oleh satu demi satu syarikat yang berminat dengan latar belakang anaknya.

“Beberapa minggu kemudian sebuah syarikat membotolkan minyak wangi berminat dan meminta Muhammad Razin datang ke pejabat mereka untuk ditemu duga.

“Selepas menceritakan suasana kerja dan apa yang mereka tawarkan, syarikat berkenaan berjanji untuk menghubungi kami bagi menentukan tarikh mula Muhammad Razin bekerja.

“Anak kami juga kelihatan bersemangat mendengar kata-kata tersebut. Namun, rezeki tidak menyebelahinya,” katanya.

Tawaran kerja

Pada 1 September tahun sama, Muhammad Al Abror berkata, mereka dihubungi oleh pegawai PERKESO Selangor yang bertanyakan sama ada berminat untuk membawa anaknya menghadiri satu sesi temu duga, di sebuah syarikat kawalan keselamatan di Petaling Jaya.

Dia mengakui pada awalnya berasa was-was kerana memikirkan risiko menjadi pengawal keselamatan namun mereka tetap menghantar Muhammad Razin untuk ditemu duga.

Namun dia lega apabila syarikat tersebut tidak sekadar menggaji pekerja untuk memegang senjata api bagi mengawal bank atau seumpamanya.

“Anak kami diterima bekerja sebagai ‘juruwang’ yang menguruskan wang-wang yang dibawa dari bank atau pusat komersial untuk disusun dengan baik sebelum dihantar sama ada ke Bank Negara atau lokasi lain,” katanya sambil menambah anaknya sudah berkhidmat di syarikat itu selama lima bulan.

Pengunjung Karnival Kerjaya MYFutureJobs.

OKU diberi peluang

Muhammad Razin bukanlah satu-satunya pekerja istimewa di situ kerana terdapat sekumpulan petugas dalam kalangan OKU turut diberikan peluang bekerja di syarikat itu.

Antara mereka termasuklah OKU fizikal, pendengaran dan pertuturan.

“Sesekali dapat juga kami mendengar cerita bagaimana Muhammad Razin melayan rakan setugasnya itu menggunakan bahasa isyarat.

“Sedikit sebanyak pengalaman dia bersekolah asrama OKU selama kira-kira dua tahun membantu dia menguasai sedikit ilmu bahasa isyarat,” jelas Muhammad Al Abror.

Sudah tentu perjalanan Muhammad Razin dan individu lain yang ditakdirkan menjadi OKU masih jauh, panjang dan berliku.

Muhammad Al Abror berkata, banyak perkara yang perlu dilakukan oleh semua pihak, termasuk pandangan dan libat urus kumpulan yang berkenaan boleh dilaksanakan agar golongan OKU mendapat pembelaan sewajarnya di bawah kerajaan Malaysia Madani.

“Ketika kami berharap lebih ramai memahami keperluan OKU yang sentiasa unik dan rencam, dapat memahami perbezaan asas di antara autisme dan autistik, ternyata MyFutureJobs sudah membawa perbezaan yang ketara.

“Semoga lebih ramai golongan OKU yang mendapat faedah daripada kemudahan disediakan PERKESO ini,” katanya lagi.

Karnival Kerjaya MYFutureJobs

Bagi menghargai golongan OKU khususnya, PERKESO menganjurkan karnival kerjaya iaitu Karnival MYFutureJobs OKU dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), pada 1 hingga 3 Mac ini.

Bertempat di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor, karnival bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Jangan lepaskan peluang ini, lebih 20,000 peluang pekerjaan membabitkan 100 majikan menanti anda.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang MyFutureJobs.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain