suria

“Kaki tak sampai nak pijak pedal” - juara Hyundai N Cup Amer Harris buka cerita lama, ikut bapa main go kart sejak usia 8 tahun

Amer terlibat dalam sukan permotoran sejak usia lapan tahun.

PERCUBAAN pertama pelumba negara, Amer Harris Jefry menyertai kejohanan Hyundai N Cup di Zhuhai, China pada 20 Oktober lalu membuahkan hasil apabila dia dinobatkan juara perlumbaan pusingan empat.

Berkongsi cerita dengan mStar, anak kelahiran Kuala Lumpur ini berkata, minatnya dalam sukan permotoran bermula sejak kecil lagi.

Malah latihan pertama disertai semasa usianya baru menginjak lapan tahun.

Amer raih kejuaraan dalam percubaan pertamanya.

Amer raih kejuaraan dalam percubaan pertamanya.

Tambah Amer, dia mula serius dalam sukan berkenaan selepas dia turut mendapat dorongan dan galakan daripada bapanya yang juga peminat motorsport.

“Saya jadi minat sebab ayah pun minat motorsport, dulu-dulu setiap Sabtu dan Ahad mesti ikut dia pergi main go kart dengan kawan-kawan dia.

“Memang sejak kecil lagi saya dah berangan nak bawa kereta lumba walaupun masa tu, kaki pun tak sampai nak pijak pedal,” ujarnya yang menjadikan Pelumba Thailand Sasakorn Chaimongkol sebagai idola.

Amer bersama barisan pemenang Kejohanan Hyundai N Cup.

Amer bersama barisan pemenang Kejohanan Hyundai N Cup.

Menurut pemuda berusia 21 tahun ini, langkahnya sebagai pelumba profesional bermula pada usianya 11 tahun iaitu sekitar tahun 2014.

Latihan konsisten di samping keyakinan diri yang tinggi membuatkan anak sulung daripada tiga beradik ini terus mara dalam perlumbaan go-kart di peringkat Asia seperti RotaxAsia Max, X30 SEA, RokCup dan AKOC.

Antara kejayaan awal yang diraih adalah muncul juara keseluruhan kejuaraan berkenaan pada tahun 2016.

Selain kejuaraan Hyundai N Cup, dia turut beraksi dalam beberapa lagi kejuaraan antaranya Thailand Super Series Supercar GT4 pada tahun ini.

Kereta yang dipandu Amer semasa kejohanan.

Kereta yang dipandu Amer semasa kejohanan.

Dalam pada itu, Amer turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada ibu bapanya kerana tidak lekang memberi sokongan termasuk daripada segi kewangan.

Maklumlah, sukan permotoran terkenal dengan kos yang tinggi.

“Ibu bapa Amer memang support sejak awal. Daripada segi kewangan khususnya, sokongan ni memang banyak membantu terutamanya masa pertama kali menyertai go kart dulu.

“Mungkin mereka betul-betul nampak yang bidang permotoran adalah hala tuju Amer sejak kecil lagi,” tambahnya yang turut menerima ucapan penghargaan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu perlumbaan anjuran divisyen prestasi Hyundai itu berlangsung sempena perlumbaan lasak Shanghai 8 Hours di Litar Antarabangsan Zhuhai, China.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain