KEPUTUSAN nekad anak yang enggan meneruskan pengajian di universiti pastinya mengecewakan ibu bapa. Begitulah yang dirasai Asman Khamis selepas mengetahui anak sulungnya, Muhammad Afiq berhenti belajar selepas hampir setahun mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda. Juruteknik berusia 57 tahun itu mengakui pada awalnya terpaksa akur dengan tindakan drastik yang dilakukan Muhammad Afiq, meskipun berasa kecewa dan bimbang mengenangkan masa depan anaknya itu. "Mula-mula tu memang rasa kecewa tapi saya tak boleh paksa sebab itu memang keputusan dia sendiri. "Ketika itu, saya cuba mendapatkan pandangan daripada rakan-rakan dan kebanyakannya menasihati saya supaya tidak memaksa anak," kata bapa kepada dua cahaya mata itu ketika dihubungi mStar. Menurut Asman yang menetap di Shah Alam, Selangor, dia juga cuba memujuk Muhammad Afiq supaya tidak berhenti separuh jalan dan menanam minat dalam jurusan yang diambil. Namun, usahanya memujuk tidak membuahkan hasil kerana anaknya tetap nekad dengan keputusan tersebut. Meskipun kecewa pada awalnya, sebagai bapa dia tetap memberi sokongan dan motivasi kepada anaknya untuk terus berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi. Muhammad Afiq mengasah kemahirannya dalam Akademi Dalam Industri (ADI). "Saya terkejut apabila satu hari, Afiq memaklumkan bahawa dia mahu bekerja di Seremban (Negeri Sembilan). "Walaupun bimbang, saya tetap menyokong tindakannya yang ingin berusaha mencari pekerjaan dan berusaha untuk masa depannya," luahnya lagi. Bercerita lanjut, Asman berkata, dia tidak menyangka anaknya akan berjaya mendapatkan pekerjaan dan mempunyai kemahiran berlandaskan minat serta pengetahuan yang dimiliki. Malah, dia turut meluahkan kebanggaannya apabila Muhammad Afiq menawarkan diri untuk mengikuti program bakat Akademi Dalam Industri (ADI) yang dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). "Masa dia maklumkan yang dia mahu sertai program ADI tu, memang saya rasa bangga sebab nampak dia sudah mula nak bina kehidupan dan dirinya sendiri. "Alhamdulillah, bersyukur sangat. Mungkin itu sudah tertulis rezeki dia dan saya nampak dia begitu bersemangat dengan kerja yang dilakukannya itu," ujar Asman yang berasa kagum dengan kemahiran dan pencapaian Muhammad Afiq dalam bidang automotif. Muhammad Afiq bersama rakan-rakan sekerjanya mengikuti kursus ADI. Sementara itu, Muhammad Afiq yang berusia 28 tahun itu turut meluahkan kegembiraan dan kesyukuran kerana terpilih mengikuti program ADI. Menurut anak muda itu, dia memilih untuk berhenti belajar kerana minatnya yang mendalam terhadap bidang berkemahiran seperti automotif. Tambahan pula, jurusan yang diambilnya selepas menamatkan pengajian di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) adalah teknologi maklumat. "Saya pada mulanya mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sehingga semester kedua, tapi kemudian sedar lebih berminat dalam kemahiran. "Jadi saya berhenti separuh jalan dan mengambil keputusan untuk bekerja di Seremban. "Hampir dua tahun berkhidmat di MAG Auto Garage Sdn Bhd, saya dimaklumkan tentang ADI ini dan tanpa berfikir panjang, saya terus menyertainya," kongsinya. Muhammad Afiq (kiri) bersama keluarganya. Berpuas hati dengan pilihan yang dibuat, ujarnya, pelbagai kemahiran diperoleh sepanjang tempoh mengikuti kursus ADI yang berlangsung selama enam bulan. Malah katanya, apa yang 'dimiliki' sejajar dengan seruan kerajaan yang ingin melahirkan ramai tenaga kerja mahir di negara ini. "Akademi Dalam Industri ini seolah-olah memberi saya nafas baharu dan berjaya naik satu langkah ke hadapan dan terus melangkah lagi. "Paling penting, saya dapat melakukan kerja yang saya minati dan diserap terus dalam syarikat automotif ni," tambahnya yang menyasarkan akan menjadi pengurus syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang. Dalam pada itu, Muhammad Afiq berkata, dia berharap program ADI dapat diteruskan pada masa akan datang dan diperkenalkan kepada generasi masa depan yang meminati bidang kemahiran sepertinya. Penglibatan Muhammad Afiq dalam bidang kemahiran seiring dengan Pelan Induk Perindustrian Baru (NIMP) 2030, yang merupakan strategi kerajaan untuk melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi di negara ini. Sasaran utama adalah mereka yang memiliki kemahiran Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube