suria

Star Golden Hearts Award rai wira tak didendang, hargai sumbangan kepada masyarakat

Genap 10 tahun program Star Golden Hearts Award dijalankan.

SEBANYAK 10 organisasi dan individu menerima pengiktirafan Star Golden Hearts Award (SGHA) edisi kali ini atas dedikasi membawa perubahan sosial yang positif kepada masyarakat.

Penganjuran SGHA kali ke-10 ini lebih istimewa dengan pemenang ke-100 diangkat sebagai wira tidak didendang di Malaysia dan anugerah disampaikan dalam majlis gilang-gemilang di Cybertorium Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Untuk makluman, proses pencalonan bagi SGHA 2024 bermula seawal Jun dan ditutup pada 31 Julai, yang mana orang awam mencalonkan organisasi amal dan individu pilihan masing-masing.

Seterusnya barisan panel hakim berkaliber memilih 10 pemenang dari sekitar 500 pencalonan.

Pemenang bertuah tersebut adalah RIMAU, Reef Check Malaysia, Silatul Rahim Dahman, Pasukan Anti Pemburuan Haram Orang Asli WWF-Malaysia, Food Aid Foundation, Prof Dr Thong Meow Keong, APE Malaysia, Pasukan Pemuliharaan Hidupan Liar Sarawak WWF-Malaysia, Persatuan Pemuliharaan Penyu Malaysia serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Anjing Malaysia.

Organisasi serta individu ini bergiat aktif untuk mengemudi sektor sosial ke arah prospek lebih baik, selaras dengan slogan SGHA 2024 anjuran Star Media Group iaitu The Power of One, The Strength of Many.

Hasil usaha keras mereka berjaya membawa impak positif kepada kemandirian spesies haiwan terancam, perjuangan hak golongan minoriti, kualiti kehidupan masyarakat terpinggir serta pemuliharaan alam semulajadi.

10 pemenang ini menerima RM15,000 setiap seorang sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka untuk memberikan kehidupan yang baik buat masyarakat serta alam sekitar secara keseluruhan.

Dalam pada itu, wakil Reef Check Malaysia ketika menyampaikan ucapan berkata pihaknya sentiasa komited untuk memulihara terumbu karang yang merupakan khazanah bernilai negara.

"Walaupun apa yang kami lakukan ini bukanlah untuk merangkul anugerah atau meraih kemasyhuran namun kami harus akui, menerusi anugerah SGHA ini, ia berjaya menyuntik semangat untuk kami terus gigih menjalankan tanggungjawab," ujarnya.

Wakil Reef Check Malaysia memberikan ucapan penerimaan selepas mengambil anugerah.

Silatul Rahim yang teguh memperjuangkan hak kesamarataan komuniti buta serta cacat penglihatan berkata, mereka tidak mahu dilihat sebagai seseorang yang pincang.

"Saya buta sejak kanak-kanak, kehidupan kami sentiasa dalam kegelapan, sedangkan cuaca terik di luar. Walaupun begitu, kami enggan membiarkan perkara ini menjadi batu penghalang dalam kehidupan kami.

"Kami juga mahu berkhidmat kepada negara seperti yang lain, jangan hanya kerana kekurangan ini, kami disisihkan," kata Silatul Rahim.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Star Media Group (SMG), Chan Seng Fatt menerusi ucapannya berkata, pemenang SGHA ini boleh dilihat sebagai wira kerana keberanian, kemurahan hati dan kecekalan mereka yang membuatkan ramai terinspirasi.

"Ini membuktikan kepada kita bahawa wira yang hebat bukan hanya diabadikan dalam buku sejarah atau cerita rakyat, mereka turut wujud dalam kalangan kita pada hari ini, sentiasa berjasa tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group, Chan Seng Fatt memberikan ucapan pembukaan.

“Mereka ini mengerah keringat di sebalik tabir, mentransformasikan kehidupan masyarakat dengan setiap bakti dicurahkan mereka. Kini tiba gilirannya untuk kita meraikan pencapaian dan sumbangan mereka yang tidak terkira banyaknya.

“Dunia sekarang semakin sejahtera untuk didiami hasil kerja keras mereka tanpa jemu, inilah nilai manusiawi yang sebenar.

"Oleh itu, jutaan terima kasih ingin diucapkan kepada setiap seorang daripada mereka, anda berhak menerima sorotan penghargaan ini," ujar Chan.

Selain itu, ketua panel juri selama sedekad untuk SGHA iaitu Tan Sri Lee Lam Thye berkata anugerah yang disampaikan ini adalah lebih daripada sekadar trofi.

"Ia mempunyai tujuan lebih mendalam iaitu untuk menginspirasikan yang lain supaya turut sama berbakti kepada masyarakat dan alam semula jadi, sekali gus memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Persembahan yang menceriakan oleh IDEAS Autism Centre.

"Apabila wira-wira ini dijulang, ia diharap dapat bergema dalam komuniti kita, mendorong semua untuk menabur jasa demi kemaslahatan masyarakat, bersama berganding bahu tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

“Suka sekali lagi untuk saya sebutkan tema SGHA pada tahun ini iaitu The Power of One, The Strength of Many. Sebagai sebuah negara, kita boleh bersatu bagi mencapai satu tujuan untuk kebaikan semua," kata Lee.

Majlis anugerah turut dimeriahkan lagi dengan persembahan muzikal oleh kanak-kanak istimewa daripada IDEAS Autism Centre.

Turut mencuri tumpuan adalah deklamasi sajak oleh Muhammad Dharwisy 'Ukaysyah Muhammad Azam Syah bertajuk Terima Kasih Pewira Kami.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain