KETIKA negara melakukan pelbagai pembatasan bagi mengekang penularan Covid-19, pensyarah yang juga seorang tukang ukir, Dr Rosli Zakaria berharap wabak itu akan segera berlalu pergi. Bagaimanapun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Rosli memberitahu banyak memberi tumpuan kepada minatnya terhadap seni ukiran serta menzahirkan kebimbangan dan ketakutan terhadap wabak itu dalam hasil kerjanya. Arca terbaharunya juga dihasilkan sebagai sebahagian daripada projek arca Corona Series yang dapat dilihat peminat seni di laman Facebooknya malah Rosli, 55, memberitahu sedang merancang untuk mengadakan pameran.ARTIKEL BERKAITAN: Rumah kayu penuh khazanah antik... pelita minyak tanah sejak 1864, keratan akhbar di zaman merdeka antara koleksi berharga "Saya optimis bahawa ukiran yang saya hasilkan dapat mendokumentasikan sejarah wabak di Malaysia. Di tengah kegelapan dan kebingungan, seni dapat membawa harapan dan ketenangan," katanya kepada The Star. Dalam pada itu, Rosli memberitahu Corona Series sepenuhnya buatan tangan yang dihasilkan di studio dan rumahnya di Taman Makmur, Masjid Tanah, Melaka. Sebahagian koleksi Corona Series. Setakat ini, dia sudah menghasilkan 10 patung meja, masing-masing berukuran tidak lebih daripada 55 sentimeter. Setiap ukiran berharga RM1,900 dan 60 peratus hasil jualan akan disumbangkan untuk membantu pelajar di Fakulti Seni dan Reka Bentuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) tempat Rosli mengajar. Bercakap mengenai ukiran tersebut, Rosli memberitahu ia diperbuat menggunakan pelbagai jenis kayu seperti meranti, cengal dan jambu. Kerja pembuatannya pula mengambil masa 40 hari untuk disiapkan. Sebelum mengukir, Rosli memberitahu akan membuat lakaran dengan merujuk kepada berita di televisyen setiap hari mengenai wabak itu. Katanya, ukiran itu diilhamkan daripada realiti kehidupan seperti zon merah, pagar kawat berduri, kematian akibat Covid-19, jarak sosial dan topeng muka. Rosli menghasilkan ukiran di studio miliknya. Siri ini mengandungi karya berjudul Corona #Lockdown, Corona #Tabligh, Corona #Day 4 Duduk Rumah, dan Corona #Ramadan. "Bulan Ramadan baru-baru ini dan Hari Raya Aidilfitri akan dikenang lama. Pandemik ini membawa begitu banyak cabaran bagi umat Islam di seluruh dunia, tetapi pelajaran di sini adalah untuk melihat bagaimana orang-orang mengatasi dan terus kuat," katanya. Pengumuman kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedikit sebanyak membuatkan Rosli lega selain tidak sabar untuk kembali mengajar dan menghabiskan masa bersama pelajarnya. "Pandemik ini akan menjadi ujian bagi semua orang selagi vaksin untuk ini belum ditemukan. Suka atau tidak, kita mesti menghadapinya. "Berfikir positif adalah pendekatan terbaik. Sebagai seniman, satu kelebihan yang kita ada ialah menyelesaikan masalah. Saya suka cabaran kerana ia membantu mencetuskan kreativiti saya," kata Rosli. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!