suria

Tanpa mengira status, Youtube lubuk rezeki... janji ada bakat, kreatif!

Sesiapa sahaja boleh menggunakan platform Youtube untuk berkongsi idea atau hasil kerja masing-masing.

KEHIDUPAN normal baharu ditambah pula situasi sosial dan ekonomi global yang tidak menentu menyaksikan manusia menjadi semakin kreatif dalam menjana pendapatan melalui pelbagai platform media sosial, seperti Facebook (FB), Instagram dan Youtube.

Tidak dinafikan YouTube antara laman web yang paling popular dan mudah untuk menjana wang kerana sesiapa sahaja dibenarkan untuk memuat naik, menonton, menilai, berkongsi dan memberi komen kepada pelbagai genre kandungan video yang dihasilkan.

Hanya dengan cara menzahirkan bakat dan mempersembahkan kreativiti dalam laman web itu dan kata kuncinya - viral (tular), ia mampu menjana wang atau 'menggemukkan dompet' sesiapa sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Mesra dipanggil Encik Google... ia ibarat teman baik, tapi ada 5 helah kalau nak cari info tepat!

Hakikatnya, tiada peraturan khusus dalam mencipta dan memuat naik kandungan video ke platform media sosial ini yang bakal ditonton segenap lapisan masyarakat dari seluruh dunia.

Bagi pelakon, penerbit, pengacara dan usahawan terkenal, Datuk Rosyam Nor, 53, atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, peralihan dunia hiburan daripada televisyen ke media sosial seperti YouTube perlu diterima kerana ia mampu menjadi platform terbaik bagi artis dan masyarakat marhean mempersembahkan bakat mereka, sekali gus dapat memastikan mereka memperoleh pendapatan berterusan.

“Kita tidak boleh lari daripada perubahan ini. Bersedia atau tidak, artis Malaysia kena buat (hadapi). Jika tidak, mereka akan ketinggalan malah, ia boleh menjejaskan pendapatan, ” katanya kepada Bernama.



Rosyam mengakui semua orang perlu melalui fasa perubahan.

Rosyam yang juga Penerbit dan Pengarah Urusan syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd mengakui bahawa selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), belum ada pengambaraan filem atau drama yang betul-betul dibuat selepas PKP dan ini sudah tentu menjejaskan pendapatan golongan artis.

“Kalau dulu, artis terpaksa menunggu tawaran dan peluang untuk berlakon dari pihak stesen televisyen, penerbit filem atau drama, tetapi hari ini, jika mereka fikir ada bakat dan idea, mereka berhak membuat program sendiri. Hanya gunakan telefon bimbit, ” katanya yang pernah merangkul Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21 pada 2008.

Anjakan sebegini, menurut Rosyam memberi peluang kepada artis untuk menterjemahkan apa jua kandungan atau program yang sesuai dengan kepandaian, jiwa dan kreativiti mereka.

Selain itu, ia juga dapat mencabar diri sendiri untuk melihat sama ada hasil karya mereka itu mendapat sambutan atau pun tidak.

Televisyen bukan lagi medium pilihan

Rosyam juga tidak menafikan peranan stesen televisyen semakin hilang taringnya dan akan kurang popular pada masa akan datang, kerana peralihan zaman yang menyaksikan generasi muda memilih menonton melalui telefon bimbit.

“Stesen televisyen juga mungkin akan mengalami fasa yang sama seperti apa yang berlaku dalam industri surat khabar, ” katanya sambil mengakui bahawa rata-rata stesen televisyen sudah melakukan persiapan termasuk memuat naik program pilihan mereka ke platform Youtube.

Dalam pada itu, Rosyam berpendapat trend pembelian iklan di televisyen yang semakin menurun turut menyumbang peralihan ke laman Youtube atau media sosial yang lain.

“Ini berlaku kerana pengiklanan di laman YouTube atau FB lebih murah dan kerap di paparkan. Malah, iklan di Youtube disasarkan tepat pada pelanggannya kerana mempunyai data bagi setiap penggunaan atau layaran laman.



Platform YouTube boleh memberi pendapatan lumayan kepada pengguna.

“Data tidak menipu kerana ia berdasarkan kepada kekerapan pengguna Internet membuat layaran dalam mencari apa yang mereka suka. Jadi, setiap layaran ini akan menjadi track record kepada penyimpan data, yang kemudiannya dijual kepada pengiklan, ” katanya.

Jana pendapatan berterusan

Turut senada dengan anjakan dalam dunia seni dan hiburan ialah Pengarah Urusan Les’Copaque Production Burhanuddin Md Razi yang menyifatkan peralihan pemilihan platform tontonan kepada Internet bukanlah sesuatu yang aneh memandangkan televisyen bukan lagi menjadi utama masyarakat untuk mendapatkan content siaran.

Pengasas bersama syarikat penerbitan filem animasi pecah panggung siri Upin dan Ipin itu berkata, kehadiran platform YouTube mungkin menjadi penyelesaian terbaik buat penggiat seni memasarkan produk mereka waktu ini.

“Sebelum PKP, kebanyakan studio animasi di Malaysia banyak bergantung pada stesen televisyen untuk menjana pendapatan. Bagaimanapun, situasi berubah pada 2018 apabila kebanyakan stesen televisyen mula ‘goyang’.

“Jadi, mereka tak nak lagi membeli animasi tempatan kerana dikatakan mahal, sekurang-kurangnya RM25,000 hingga RM40,000 untuk setengah jam siaran program berbanding hanya sekitar RM15,000 untuk animasi luar negara yang dijual oleh pemegang lesen, ” jelas Burhanuddin.

Justeru, apabila YouTube mula membayar kepada pengkarya-pengkaryanya pada 2018, medium ini terus menjadi platform pilihan dalam menyiarkan karya produksi mereka, katanya.

“YouTube akan beri bayaran bagi rancangan yang ramai orang tengok. Macam Upin Ipin, viewer mencapai 4 bilion manakala subscribers (langganan) pula mencecah 4 juta penonton di seluruh dunia.

“Walaupun tidak ada siaran di televisyen, produksi animasi ini masih dapat menjana pendapatan bagi menampung operasi mereka, ” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Youtube, Jana, Pendapatan, Rosyam Nor

Artikel Lain