SELAIN merakam momen indah di beberapa lokasi menarik dan bersejarah, Pulau Pinang juga terkenal dengan pelbagai makanan enak, antaranya nasi kandar. Antara premis nasi kandar yang sering 'diserbu' pengunjung adalah Restoran Hameediyah yang terletak di Lebuh Campbell, George Town. Selepas 114 tahun beroperasi dengan menyaksikan enam generasi menguruskan restoran ini sejak 1907, pemiliknya Ahamed Seeni pakir Abdul Sukkor tersenyum lebar dengan menerima anugerah Malaysia Book of Records (MBR) sebagai 'Restoran Nasi Kandar Tertua'.ARTIKEL BERKAITAN: Kenali durian paduka... Pernah dinobatkan raja buah terbaik di Perak! Ahamed Seeni yang kini menguruskan restoran keluarga menerima sijil penghargaan daripada Ketua Pegawai Operasi MBR, Christopher Wong pada 7 Julai lalu. Mengimbas kembali bermula restoran terkenal ini apabila seorang peniaga rempah Mohamed Thamby Rawther bersama anak-anaknya tiba di Pulau Mutiara dari Tamil Nadu, India pada awal tahun 1900-an. Mereka menyewa sebuah rumah di Lebuh Campbell untuk menjual rempah-rempah, dan kemudian menjual nasi dan kari di bawah pokok berhadapan kedainya. Restoran Hameediyah sentiasa menjadi tumpuan orang ramai. Nama nasi kandar itu sendiri diambil sempena nama makanan itu yang diletakkan dalam sebuah bakul dan dikandar semasa dibawa untuk jualan. Perniagaan berkembang dari masa ke masa, dan restoran ini didirikan di No.164 Lebuh Campbell dan masih beroperasi hingga hari ini. Walaupun ada pengubahsuaian selama bertahun-tahun, ia tetap mempertahankan warna ikonik hijau dan kuning sebagai asasnya. Ahamed Seeni mengekalkan masakan kari mereka dengan rempah-rempah yang dibuatnya sendiri. Mereka tidak menggunakan rempah segera, sebaliknya membeli rempah ratus terbaik kemudian digiling, dicampur dalam pelbagai rempah mengikut resipi turun temurun generasi keluarganya untuk memastikan rasa tetap konsisten dari masa ke masa. Biarpun rendang daging lembu dan ayam kapitan telah menjadi produk terlaris selama beberapa dekad, beberapa tahun kebelakangan ini terdapat makanan kegemaran baharu seperti kari arnab dan ayam Turki, serta rendang udang galah turut menarik selera pelanggan. Pelbagai menu enak yang terdapat di Restoran Hameediyah. "Menerima pengiktirafan ini adalah satu keistimewaan dan penghormatan bagi kami. Menjalankan perniagaan seperti ini memerlukan banyak pengorbanan, tempoh operasi panjang dan kerjasama semua pihak. "Tidak dapat dinafikan sepanjang jalan akan ada masalah dan perselisihan. Tetapi kami tidak pernah memikirkannya kerana tujuan utama kami adalah menyediakan kari terbaik kepada pelanggan," kata Ahamed Seeni selepas menerima sijil. Setakat ini, Ahamed Seeni menjalankan perniagaan bersama dengan adiknya Syed Ibrahim. Anak-anak Syed Ibrahim iaitu Muhamad Riyaaz dan Abdul Sukkoor, generasi ketujuh dinasti nasi kandar, turut terlibat dalam operasi dan kedua-duanya komited untuk memastikan nama Hameediyah berkembang untuk tahun-tahun akan datang. Restoran Hameediyah bakal membukan cawangan kelima di Sungai Ara, Penang bulan ini. Restoran ini turut membuka cawangan mereka di Jalan Baru, Perai juga di Kota Damansara dan Ampang. Dan terbaharu, yang merupakan cawangan kelima akan dibukan bulan ini di Sungai Ara, Pulau Pinang. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!