PENGGEMAR setem pastinya tidak ketinggalan untuk mengumpul koleksi terbaharu setem bertajuk ‘Bunga-Bunga Liar Siri 3’, selepas hampir tiga dekad sejak edisi terdahulu dikeluarkan pada 1992. Ketua Pemasaran Kumpulannya, Schrene Goh berkata koleksi itu ditawarkan menerusi kedai dalam talian Pos Malaysia di www.eziemall.com dan di semua pejabat pos seluruh negara. Lebih menarik, Pos Malaysia mengetengahkan spesis baharu bunga-bunga liar, memaparkan khazanah alam semula jadi Malaysia.ARTIKEL BERKAITAN: Berita baik buat pengumpul setem, kaki wayang! Pos Malaysia lancar edisi terhad adiwira Marvel "Siri setem ini dengan tiga rekaan lembaran mengandungi 10 setem setiap satu yang mengetengahkan bunga Senduduk, Ara Songsang dan Bunga Kancing Baju. "Sebanyak 750,000 keping setem akan dikeluarkan dalam denominasi 60 sen, RM1.30 dan RM1.50," katanya. Setem khas 'Bunga-Bunga Liar' kembali diperkenalkan selepas tahun 1992. Untuk melengkapi siri itu, Pos Malaysia turut mengeluarkan 20,000 Lembaran Mini (MS) dan dicetak dengan kesan khas “Spot UV” dan potongan terap 'die-cut' untuk menyerlahkan keindahan bunga Simpoh Air. MS ditawarkan pada harga RM5 setiap satu. Kata Goh lagi, sebanyak 27,000 keping Sampul Surat Hari Pertama (FDC) turut dikeluarkan pada harga 50 sen setiap satu. "Set folder lengkap boleh dibeli pada harga RM54.40 yang mengandungi tiga lembaran setem dengan 10 keping setem cetakan timbul, satu MS, satu FDC dengan tiga keping setem dan satu FDC dengan MS serta folder. Folder juga boleh dibeli secara berasingan pada harga RM6 setiap satu (hanya 1,500 folder ditawarkan). Pengumpul setem pastinya tidak ketinggalan untuk mendapatkan koleksi terbaharu ini. "Bagi pengumpul dan peminat setem, siri ini didatangkan dengan tanda pembatalan eksklusif yang mengetengahkan satu lagi bunga liar, Dandelion, sekali gus melengkapi nilai estetika koleksi itu," katanya. Sementara itu, berikutan kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PPKP), Pos Malaysia mengumumkan melanjutkan tempoh pembatalan bagi tiga hari bekerja bermula 9 Julai, bagi memudahkan pelanggan mendapatkan FDC dan tanda pembatalan mereka. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!