suria

Debat maya aplikasi Zoom dimensi baharu teknologi digital... warnai new norm PKP

Pertandingan Debat dianjurkan secara atas talian.

PENJARAKKAN sosial bukanlah satu halangan kepada penganjuran pertandingan debat yang lazimnya diadakan secara fizikal.

Dalam meneruskan norma baharu ini, ia tidak menjadi penghalang untuk melaksanakan sebarang program akademik.

Biarpun sudah banyak kebenaran untuk menjalankan aktiviti secara langsung, namun demi terus menjaga keselamatan dan kesedaran betapa bahayanya penularan wabak ini, ada inisiatif lain yang boleh dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Aidilfitri tertutup! Masing-masing beraya jauh dari keluarga... jangan sedih panggilan videokan ada!

Mengambil situasi semasa, Mohd Syukri Mohd Kamal yang merupakan alumni debat di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan Pahang tampil dengan idea Pertandingan Debat Maya yang dianjurkan oleh Multimedia Universiti (MMU) 12 Julai lalu.

Jelas Mohd Syukri yang juga salah seorang alumni debat di MMU, idea yang dikongsi bersama dengan empat orang mahasiswa MMU dan Bahagian HEP MMU menjadi realiti dengan penglibatan 20 sekolah menengah seluruh negara.



Mohd Syukri merupakan hakim dan penasihat Pertandingan Debat Maya MMU.

Jimat kos

"Kami memilih aplikasi Zoom sepanjang pertandingan ini dan saya selaku ketua hakim dan penasihat program ini amat berpuas hati dengan kelancaran sepanjang program ini berlangsung.

"Jelasnya program ini tentu dapat menjimatkan pelbagai kos kerana ia melibatkan ramai pelajar.

"Saya yakin di peringkat sekolah atau universiti mampu melaksanakannya dengan adanya teknologi digital yang boleh diguna pakai ini.



Pertandingan debat disiarkan secara langsung di media sosial.

"Jangan jadikan norma baharu ini untuk kita mengetepikan program-program penting seperti ini," jelasnya kepada mStar.

Mohd Syukri yang juga merupakan Ketua Bahagian Pemasaran dan Jualan di sebuah syarikat komunikasi negara memberitahu, program debat ini merupakan langkah pertama yang dianjurkan MMU.

Teknologi digital

Pengaplikasian teknologi digital menjadi inisiatif baharu dalam pelaksanaan Pertandingan Debat Maya MMU 2020 seterusnya membawa norma baharu dan mencipta dimensi baharu dalam penganjuran pertandingan debat secara dalam talian.

"Pertandingan ini menampilkan kepetahan pelajar berhujah dan mempertahankan idea mereka melalui aplikasi Zoom dan dapat ditonton secara langsung menerusi Facebook dan YouTube Live di platform @DebatMayaMMU.

"Matlamat utama pertandingan ini adalah untuk membudayakan pengucapan awam selain memupuk keupayaan berfikir secara kritis pelajar-pelajar tentang isu-isu semasa melalui perbincangan perbahasaan, kajian dan menganalisa fakta sahih dan benar.

"Selain itu, pertandingan ini turut memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang merupakan antara elemen utama penilaian dan penghakiman debat," jelasnya.



Barisan hakim bagi peringkat akhir bersama HEP.



Mohd Syukri juga adalah orang yang bertanggungjawab mengubal syarat dan menyediakan usul DMMU2020. Isu-isu semasa seperti isu pemandu mabuk, jenayah buli siber dan pasca covid19 adalah antara topik perdebatan sepanjang DMMU2020 berlangsung. DMMU2020 memberi peluang kepada pencinta debat daripada kalangan alumni debat MMU untuk menyumbang semula kepada universiti tercinta.

Pertandingan tersebut telah dirasmikan oleh Dr. Abdullah Sallehhuddin Abdullah Salim, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar Multimedia Universiti.

Selain itu penganjuran DMMU2020 turut mempromosikan Multimedia Universiti sebagai universiti swasta pertama di Malaysia dalam mengetengahkan kecanggihan teknologi digital.

Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (SMAPL), Negeri Sembilan muncul juara sulung Pertandingan Akhir Debat Maya MMU 2020 dengan mengalahkan Maktab Rendah Sains Mara Kuantan (MRSMKU), Pahang. SMAP Labu turut mengondol Pendebat Terbaik Pusingan Akhir melalui pendebatnya Muqri Hakim Bin Mustazha.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Debat, Zoom, Covid-19, MMU

Artikel Lain