DRAMA Korea tidak hanya mengangkat kisah cinta yang dramatik tetapi juga berjaya mempopularkan pelbagai makanan dari negara itu. Sebut sahaja kimchi, semua orang tahu dan ia kini mudah didapati di mana sahaja termasuk pasar raya di Malaysia. Malah terdapat pelbagai produk halal dikeluarkan bagi memenuhi permintaan pelanggan.ARTIKEL BERKAITAN: Ketahui 8 perkara pelik yang anda hanya akan temui di Korea Selatan! Makanan dari negara itu sudah menjadi satu budaya seiring dengan populariti drama dan muzik k-Pop yang menjadi trademark negara itu di seluruh dunia. Berikut adalah tujuh makanan yang sering diselitkan dalam adegan-adegan drama Korea; 1. Ramyeon Ramyeon antara makanan yang cukup popular dalam drama Korea seperti My Love From the Star sehinggalah Reply 1988. Mi segera ini adalah pilihan masyarakat Korea jika kesuntukan waktu untuk makan. Seperti di Malaysia, mi segera adalah sesuatu yang biasa dalam kalangan masyarakat dan sebab itu juga kita boleh menerima budaya ramyeon itu dengan mudah. Malah kini terdapat pelbagai restoran yang menjual ramyeon dengan pelbagai cara masakan - paling sedap jika ditambah kimchi dan telur. 2. Corn dog Masih ingat pada drama Start Up? Barangkali ia adalah punca corn dog menjadi popular apabila ia ditampilkan dalam salah satu adegan penting di antara Nam Do-san dan Han Ji-pyeong. Telan air liur dibuatnya apabila melihat gabungan sosej dan keju disatukan dalam adunan tepung sebelum digoreng ranggup. Mujur di Malaysia kini banyak yang mula menjual corn dog dengan pelbagai variasi dan memenuhi citarasa tempatan. 3. Tteokbokki Tteokbokki adalah antara makanan cukup sinonim dengan masyarakat Korea selepas kimchi selain ia sangat popular dalam kalangan masyarakat di sana. Tteokbokki sebenarnya adalah kek beras yang disajikan bersama sos pedas selain campuran sayur-sayuran dan kek ikan. Ia juga seringkali dijadikan makanan pelengkap ketika menikmati ramyeon. 4. Jjajangmyeon Jjajangmyeon juga banyak muncul dalam drama Korea. Jjangmyeon adalah makanan perpaduan Korea-China yang menggunakan mi dan sos kacang hitam. Campuran sayur-sayuran, bawang serta daging melengkapkan rasanya. 5. Sundubu-jjigae Sundubu-jjigae semakin popular selepas ia dipaparkan dalam drama Itaewon Class. Ia adalah sup yang diperbuat daripada isi ikan, lobak, rumpai laut, kimchi dan tauhu lembut. 6. Korean fried chicken Korean fried chicken merupakan ayam goreng tepung yang disajikan dengan beberapa jenis sos. Ayam goreng ini sering menjadi hidangan dalam drama ketika adegan rakan-rakan berbual di rumah atau berkelah. Memandangkan ia cukup popular, kita tak perlu lagi ke Korea untuk menikmati ayam goreng itu kerana terdapat pelbagai restoran di Malaysia turut tampil dengan konsep sama. Memang menjilat jari! 7. Jjapaguri Ingat makanan ini? Menu ini pernah muncul dalam filem popular Korea, Parasite. Jjapaguri sendiri adalah hidangan menggunakan ramen dan ditambahkan dengan steak daging. Makanan yang sekilas mirip dengan mi goreng daging ini juga dikenal sebagai ram-don. Daripada kesemua menu popular ini, mana satu yang paling anda suka? Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!