KUCING dikenali sebagai haiwan yang mampu merawat dirinya sendiri namun sebagai pemilik anda juga perlu memperhatikan perubahan pada si bulus kesayangan anda. Ini kerana terdapat beberapa masalah kesihatan yang boleh dikatakan biasa berlaku pada kucing dan ia tidak boleh dipandang ringan.ARTIKEL BERKAITAN: Awas jika si bulus gerakkan telinga... Ketahui 4 maksud di sebaliknya! Apa masalah kesihatan yang sering dialami oleh kucing? 1. Muntah Muntah adalah masalah kesihatan paling biasa terjadi pada seekor kucing. Penyebabnya juga pelbagai seperti makanan beracun, jangkitan kuman serta petanda ia mengalami masalah pundi kencing atau penghadaman. Sekiranya kucing anda muntah dan melelehkan air liur serta bernafas laju, segeralah bawanya berjumpa doktor. Lebih baik jika ambil sedikit sampel muntahnya kerana ia boleh memberi jawapan mengapa ia muntah. 2. Pundi kencing Penyakit berkaitan pundi kencing atau Feline Lower Urinary Tract Diseases (FLUTD) juga antara perkara biasa dalam kalangan kucing. Ia biasanya berlaku pada kucing yang mempunyai lebihan berat badan serta sering makan makanan kering. Tekanan disebabkan sering terkurung di dalam rumah boleh meningkatkan risiko FLUTD dan gejala jelas kucing minum lebih banyak, sukar membuang air kecil, air kencing berdarah dan menangis ketika membuang air kecil. 3. Kutu Kutu juga adalah masalah biasa dalam kalangan kucing namun ia boleh ditangani dengan mudah. Cara mengenal kucing yang mengalami masalah kutu adalah ia sering menggaru, menjilat serta mengalami jangkitan pada kulitnya. Mesikpun ia boleh dirawat namun sekiranya ia dibiarkan si bulus berisiko mengalami masalah anemia. Jadi pastikan masalah kutu pada kucing segera dicegah. 4. Cacing pita Cacing pita hidup di dalam usus kecil kucing dan boleh membesar sehingga 60 sentimeter. Gejalanya tidak ketara namun kucing mungkin akan mengalami muntah serta mengalami penurunan berat badan. Cara paling mudah untuk mengetahui sama ada kucing anda mempunyai cacing pita adalah dengan melihat najisnya dan memeriksa bahagian duburnya. Biasanya, cacing pita akan keluar ketika ia sedang tidur. Jika anda melihat ada benda aneh berbentuk seperti beras atau biji bijan, kemungkinan ia adalah cacing pita. 5. Cirit birit Banyak perkara boleh menyebabkan kucing anda cirit birit termasuk kehadiran parasit, makan makanan basi, elergi, jangkitan kuman, penyakit hati, kanser dan sebagainya. Najisnya juga berbentuk cecair dan bergantung kepada penyebabnya, masalah cirit birit pada kucing boleh berlaku selama seminggu atau berbulan-bulan. Jika kucing mengalami cirit birit, berikan ia minum untuk mencegah dehidrasi dan segera membawanya berjumpa doktor. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!