suria

Jadikan Matematik lebih mudah, belajar online rasa macam dalam kelas... Cikgu Rodzi kini bergelar YouTubers - “Saya hanya guna telefon lama hasilkan video”

Cikgu Rodzi mahu membantu pelajar memahami matematik dengan lebih mudah menggunakan teknik pengajaran secara virtual.

SEBELUM ini seorang guru Matematik, Mohd Rodzi Mat Ghani pernah tular di Facebook selepas berkongsi formula dan kaedah penyelesaian subjek itu menggunakan formula mudah difahami pelajar.

Perkongsian yang dibuat Mohd Rodzi, 43, menarik perhatian memandangkan ketika itu ramai pelajar belajar dari rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Misi lulus 100 peratus! Guru cabar diri mengajar kelas tercorot post nota matematik di Facebook bimbing pelajar ketika PKP

Sejak itu, guru SK Pauh Jaya, Permatang Pauh Pulau Pinang itu giat berkongsi pelbagai soalan dan penyelesaian Matematik di Facebook miliknya dalam usaha membantu pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran ekoran pandemik yang sedang melanda ketika ini.

Melihat kepada sambutan menggalakkan diterimanya, Mohd Rodzi beralih ke YouTube dengan menubuhkan saluran Cikgu Rodzi dengan harapan dapat mencapai dan membantu lebih banyak pelajar.



Cikgu Rodzi sentiasa mahu membantu pelajar-pelajar memahami Matematik dengan lebih mudah.

"Pada awalnya saya tubuhkan saluran itu untuk menyediakan bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk pelajar saya yang mungkin tidak berkesempatan mengikuti kelas secara Zoom.

"Tapi apabila saya lihat jumlah tontonan beberapa video yang dihasilkan ia amat memberangsangkan malah ramai mula meninggalkan komen untuk saya hasil video dengan tajuk-tajuk lain pula," katanya kepada mStar.

Hanya berbekalkan telefon!

Berkongsi mengenai ideanya untuk menggunakan YouTube, Mohd Rodzi memberitahu dia pada awalnya sekadar ingin mencuba malah mengakui tidak mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi dan media sosial.

Bagaimanapun ceritanya, dia tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai alasan sebaliknya menggunakan gajet sedia ada untuk menghasilkan bahan pengajaran untuk murid-muridnya.

"Hanya berbekalkan telefon, saya rakam topik yang ingin diajar menggunakan aplikasi yang menyediakan papan putih virtual sebelum saya rakam suara dan muat naik di YouTube.

Paling saya seronok dan bersemangat apabila mendapat komen daripada pelajar dan ibu bapa yang mengatakan video yang dihasilkan seperti berada dalam kelas.

MOHD RODZI MAT GHANI

GURU/YOUTUBERS

"Apabila saya tengok ada sambutan, saya rasa seronok dan bersemangat nak hasilkan lebih baik. Alhamdulillah ramai beri komen tentang kualiti video dan apa yang perlu saya perbaiki.

"Saya juga banyak bertanya kepada rakan-rakan yang lebih arif tentang penggunaan aplikasi dan fungsi YouTube bagi memantapkan lagi video dihasilkan," ujarnya.

Tidak hanya di YouTube, Mohd Rodzi berkata, percubaan itu turut menarik minat pelajar-pelajarnya setiap kali mengadakan kelas secara Zoom dengan kehadiran meningkat lebih 60 peratus.

"Pandemik ketika ini memang sukar buat semua orang dan sebagai seorang guru saya tidak mahu berpeluk tubuh dan ingin membantu murid-murid mendapat ilmu seperti mana di dalam kelas.

"Alhamdulillah, percubaan saya mendatangkan hasil dan kehadiran lebih 60 peratus menunjukkan pelajar berminat cuma sebagai guru saya perlu cari alternatif dan kaedah lain untuk menarik perhatian mereka," katanya.



Komen positif daripada pelajar dan ibu bapa membuatkan Cikgu Rodzi terus bersemangat.

Dijemput JPN Pulau Pinang kongsi dengan guru-guru lain

Dalam pada itu, Mohd Rodzi berkata, melihat kepada sambutan itu, dia menjadi lebih bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak video tentang pembelajaran matematik di salurannya itu.

Mohd Rodzi berkata, video yang dihasilkan sedikit sebanyak dapat meringankan dan membantu ibu bapa yang tidak tahu mengajar anak di rumah dan menjadikan videonya sebagai rujukan.

"Paling saya seronok dan bersemangat apabila mendapat komen daripada pelajar dan ibu bapa yang mengatakan video yang dihasilkan seperti berada dalam kelas.

"Alhamdulillah, penerangan diberikan juga ramai beritahu mudah difahami dan ibu bapa juga sudah boleh mengajar anak-anak di rumah dengan berpandukan video saya hasilkan," ujarnya.

Tidak terhenti di situ kata Mohd Rodzi, ada guru-guru lain yang turut menonton video yang saya hasilkan dan menjadikannya sebagai panduan kepada murid-murid mereka.

Berkat usahanya itu juga, Mohd Rodzi berkata, dia turut dijemput oleh Jabatan Pendidikan (JPN) Pulau Pinang untuk memberi taklimat dan berkongsi mengenai saluran YouTube dan kaedah pengajarannya kepada guru-guru lain.



Mohd Rodzi bersama pelajarnya sebelum pandemik.

Saluran YouTube mula jana pendapatan

Ketika ini kata Mohd Rodzi, saluran YouTube miliknya sudah pun mencecah 3,000 pengikut selain mendapat purata tontonan sebanyak 400,000.

Malah pada akhir Januari lalu, Mohd Rodzi memberitahu salurannya itu telah berdaftar sebagai ahli YouTube Partnership Program yang membolehkan ia menjana pendapatan.

"Terkejut juga... kiranya sekarang saya seorang YouTubers! Tetapi, Alhamdulillah usaha saya sedikit sebanyak mendapat pengiktirafan dan dapat menjana pendapatan sampingan.

"Pada saya bukan mudah untuk sebuah saluran yang mengangkat tema pendidikan untuk mendapat perhatian berbanding saluran berbentuk hiburan.

"Insya-Allah dengan pendapatan diterima daripada YouTube dapat saya gunakan untuk menambah baik penerbitan video pada masa akan datang seperti membeli telefon lebih canggih serta peralatan sokongan," katanya yang tidak melihat bayaran sebagai tujuan utama sebaliknya ia bersifat motivasi kepada diri sendiri.

Pengalaman berjinak-jinak sebagai YouTubers juga kata Mohd Rodzi banyak mengajarnya agar tidak membataskan diri dalam mencapai sesuatu perkara.

Malah katanya, peralatan yang canggih bukanlah perkara utama sebaliknya cara menggunakan dan kreativiti adalah paling penting dalam melakukan sesuatu.

"Buat sahaja selagi kita rasa ia betul dan boleh memberikan manfaat kepada orang lain serta tidak melanggar hukum hakam agama.

"Komen negatif saya selalu ambil untuk memperbaiki diri dan paling penting jangan malu untuk tonjolkan diri dalam menyebarkan ilmu kepada orang lain," ujarnya yang turut berkongsi videonya di Facebook dan Telegram.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain