POTRET hari perkahwinan bukan sekadar untuk tatapan semata-mata, namun ia akan membawa nilai sentimental yang cukup bermakna buat selama-lamanya. Namun, ada pengantin yang berhadapan detik malang apabila foto di hari bahagia mereka tidak seindah yang diharapkan. Kadang-kala, kesalahan itu juga berpunca daripada diri mereka sendiri. Menurut jurufoto perkahwinan, Hafiz Shahruddin, ada lima kesalahan yang sering dilakukan oleh pengantin sehingga mencacatkan foto hari bahagia mereka. Kata Hafiz, kegagalan untuk senyum antara masalah utama yang dihadapi oleh pengantin ketika sesi photoshoot. 1) Gagal untuk senyum Kedengaran enteng, namun ini salah satu kesalahan utama yang sering dilakukan oleh pasangan pengantin setiap kali jurufoto membidik lensa kamera mereka. Dah namanya pun hari bahagia, sudah semestinya pengantin perlu memberikan senyuman paling manis agar ekspresi itu boleh diabadikan dalam potret hari bahagia mereka. 2) Gagal berkomunikasi dengan pasangan Apabila bercerita mengenai foto kahwin, ia melibatkan dua pihak iaitu suami dan juga isteri. Kata Hafiz, ada dalam kalangan pengantin yang gagal berkomunikasi dengan pasangan mereka sewaktu sesi photoshoot. Jika salah satu pihak gagal memberi kerjasama, maka hasil gambarnya juga pasti tidak memuaskan. 3) Gagal buang perasaan malu Bukan perkara mudah untuk posing dan beraksi di hadapan lensa. Ada pengantin yang gemuruh apabila segala tindak tanduk mereka di atas pelamin sedang diperhatikan oleh tetamu majlis. Buang rasa gemuruh, berikan aksi spontan terbaik agar potret perkahwinan kelihatan menyerlah dan penuh berseri. Foto: Hafiz Sharuddin. Mereka juga tidak terbiasa bersentuhan antara satu sama lain kerana baru sahaja dinikahkan, jadi ia juga menjadi satu cabaran buat jurufoto. Kegagalan membuang rasa malu pastinya akan menyebabkan gambar yang dirakam tidak menarik. Kata Hafiz, jika masalah ini berlaku, dia biasanya akan mempelbagaikan angle gambar termasuklah aksi yang tidak memerlukan pengantin memandang kamera. Jadi, hilanglah sikit rasa segan tu .4) Kayu Biasalah, pengantin bukan model. Malah, pastinya cukup asing untuk sebilangan pengantin beraksi mesra di hadapan lensa kamera. Ada pengantin gagal memberikan lentur badan yang diinginkan jurufoto, sekaligus menyebabkan mereka kelihatan keras seperti kayu. Pengantin boleh mempelbagaikan gaya agar gambar perkahwinan mereka kelihatan lebih 'hidup' dan menarik. Foto: Syazana Shukur. Untuk pengantin perempuan misalnya, mereka boleh beraksi sambil memegang bunga tangan. Jadi tidaklah mereka kelihatan statik dan kaku dalam setiap foto. 5) Pelamin Selain diri pengantin itu sendiri, penting juga untuk pengantin menentukan set pelamin terbaik untuk hari persandingan mereka. Menurut Hafiz, ada pengantin yang memilih pelamin dengan sistem pencahayaan yang salah. "Selalu sangat letak lampu lip lap berwarna-warni. Itu pun salah satu point spoil mood jurufoto. "Dah la warna-warni, ada pula tiang seri depan pelamin. Ia menyukarkan jurufoto. Jadi pengantin perlu susun atur tempat yang sesuai untuk pelamin mereka," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!