SEJAK pandemik melanda seluruh dunia, bukan sahaja manusia terkesan dengan penularan Covid-19 malah haiwan seperti kucing dan anjing jalanan turut terkena tempiasnya. Situasi semasa telah menyebabkan banyak haiwan comel ini terbiar tanpa makanan sehingga ada yang mati kerana kelaparan. Menyedari nasib haiwan juga perlu dibela, Pet Lovers Centre (PLC) pada tahun lalu berjaya mengumpul 6,900 kilogram makanan haiwan peliharaan menerusi kempen Pet Food Drive yang diadakan buat kali kelima.ARTIKEL BERKAITAN: Bukan senang nak mandikan kucing, ambil tahu 5 cara bantu tenangkan si bulus anda! Makanan haiwan itu disumbangkan terus kepada empat Kumpulan Kebajikan Haiwan (AWGs). Mengangkat tema 'Animal Shelters Need Relief During Covid-19 Too!' kempen diadakan pada 11 hingga 31 Disember lalu dengan tujuan mengumpul dana bagi membantu kumpulan yang membela nasib haiwan ini ketika pandemik. Bantuan makanan boleh menyelamatkan nyawa haiwan jalanan. "Covid-19 telah memberi kesan besar kepada kerja-kerja kebajikan dilakukan AWGs di seluruh negara. Pihak kami berbesar hati dapat membantu mengumpulkan makanan haiwan. "Paling membanggakan, jumlah makanan yang berjaya dikumpul pada 2020 adalah sekali ganda lebih besar berbanding tahun sebelumnya dan ini adalah hasil keprihatinan rakyat Malaysia," kata Pengarah Urusan PLC Malaysia, Bryan Boo. Kerjasama ini turut melibatkan Paws Animal Welfare Shelter (PAWS) - sebuah pusat perlindungan bagi 500 haiwan di Petaling Jaya, Save A Stray Malaysia (SASM) - organisasi bukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada mendidik orang ramai mengenai haiwan. Selain itu, Homeless and Orphan Pets Exist (HARAPAN) - tempat perlindungan haiwan peliharaan yang berpusat di Johor dengan lebih 3,000 haiwan dan Cat Beach Sanctuary (CBS) - pusat perlindungan kucing yang menempatkan 300 kucing di Pulau Pinang. Organisasi ini banyak memainkan peranan dalam menyelamatkan haiwan yang kurang bernasib baik dan ketika ini mereka memerlukan bantuan dalam bentuk makanan. Sementara itu, Bryan berkata, PLC Malaysia sedar pandemik dan kawalan pergerakan ketika ini memberi kesan kepada AWGs di seluruh negara termasuk dari segi kewangan, stok makanan dan tenaga kerja. Atas sebab itu, kempen itu turut diadakan menerusi dalam talian yang memudahkan masyarakat membuang pembelian sekaligus menyumbang kepada tujuan murni ini. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!