suria

Pernah makan hanya sekali sehari, bekas Miss Malaysia Petite 2017 wujudkan ‘food bank’ bantu golongan terkesan ketika pandemik

Shubasini Revichandren yang juga Miss Malaysia Petite Spokeperson 2017 mewujudkan food bank di Taman Kinrara, Puchong.

PERNAH merasai hidup dalam keadaan sederhana dan makan sehari sekali telah menggerakkan hati bekas juara Miss Malaysia Petite Spokeperson (MMPS) 2017 untuk menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Sejak sebulan lalu, Shubasini Revichandren dan suami, Raj mewujudkan sebuah 'food bank' dengan pelbagai keperluan asas dan makanan seperti biskut, gula, beras, Milo, susu dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia tunjuk inspirasi luar biasa! Sanggup berjuang habis-habisan demi masyarakat... terima kasih Wira BERSAMA!

Shubasini memberitahu suaminya membina sebuah rak yang diletakkan di kaki lima sebuah pusat dobi layan diri di Taman Kinrara, Puchong bagi memudahkan sesiapa sahaja yang memerlukan mengambil makanan tersebut.

"Saya datang daripada sebuah keluarga sederhana dan pernah makan hanya sekali sehari. Jadi saya cukup faham bagaimana rasanya hidup serba kekurangan.

"Sumbangan kecil ketika pandemik ini dilakukan bagi membolehkan golongan kurang bernasib baik sekurang-kurangnya mendapat bekalan makanan untuk mereka teruskan hidup," katanya kepada mStar.



Usahanya mendapat perhatian orang ramai dan rakan-rakan yang turut menyumbang makanan dan barang keperluan.

Shubasini memberitahu, dia bersyukur tindakannya dan suami menyediakan bekalan makanan percuma itu mendapat sambutan cukup baik dan ia menjadi bukti ramai masih terkesan dengan pandemik ketika ini.

Malah katanya, dia akan memastikan semua stok makanan di rak tersebut sentiasa mencukupi dan akan menambah bekalan setiap dua hari sekali.

"Setiap hari pekerja dobi di situ akan menghubungi saya memberitahu ramai golongan tidak bernasib baik datang dan mengambil barang keperluan di rak tersebut.

"Saya juga cukup tersentuh dan gembira apabila pekerja di dobi tersebut memberitahu ada juga rakyat Malaysia yang datang bukan untuk mengambil makanan tetapi menambah bekalan yang ada.

"Ini juga harapan saya ketika mengambil keputusan membuka 'food bank' ini, agar dapat mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk membantu golongan memerlukan," katanya.

Saya juga cukup tersentuh dan gembira apabila pekerja di dobi tersebut memberitahu ada juga rakyat Malaysia yang datang bukan untuk mengambil makanan tetapi menambah bekalan yang ada.



SHUBASINI REVICHANDREN

MISS MALAYSIA PETITE SPOKEPERSON 2017

Tidak hanya membantu dari segi bekalan makanan, Shubasini turut meninggalkan nombor telefon peribadinya di rak tersebut bagi membolehkan sesiapa sahaja menghubunginya sekiranya berada dalam kesempitan dan memerlukan bantuannya.

Malah, Shubasini memberitahu dia dan suami mengambil inisiatif berkunjung ke rumah golongan memerlukan bagi menghulurkan bantuan selain mendengar masalah dihadapi mereka.

"Sekiranya ada sesiapa yang mempunyai masalah untuk membeli makanan, membayar bil perubatan atau membeli kelengkapan persekolahan untuk anak-anak, jangan malu untuk hubungi saya.

"Baru-baru ini juga kami ada membantu empat keluarga membeli pelbagai persediaan persekolahan anak-anak mereka dan tiada perasaan lain selain gembira dapat tengok mereka tersenyum," ujarnya.

Ditanya mengenai dana digunakan untuk membantu, Shubasini yang kini seorang usahawan memberitahu ia semua adalah wang peribadinya dan suami.



Shubasini ketika memenangi Miss Malaysia Petite Spokeperson 2017.

"Syukur saya ada rezeki lebih hasil daripada perniagaan yang saya jalankan. Rezeki itu saya salurkan untuk membantu golongan memerlukan," katanya.

Lebih mengharukan kata Shubasini, kerja sukarelawan yang dilakukan bersama suami semakin berkembang apabila ia mula mendapat perhatian masyarakat berbilang kaum yang ingin menyertai misinya.

Malah baru-baru ini, dia mendapat panggilan daripada seorang wanita berbangsa Cina yang ingin menghulurkan bantuan bagi membolehkan lebih ramai mendapat manfaat.

"Bayangkan kami saling tidak mengenali tetapi wanita ini menghubungi saya bertanya bagaimana dia boleh menghulurkan bantuan.

"Saya memang cukup tersentuh kerana ini bukti kita sebagai rakyat Malaysia sangat prihatin terhadap satu sama lain," jelasnya.

Dalam masa terdekat kata Shubasini, dia bercadang untuk mewujudkan beberapa lagi 'food bank' di kawasan lain dan berharap lebih ramai mendapat manfaat daripadanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain