PERNAH anda terfikir membeli barang atau memesan makanan dan ia dihantar menggunakan dron? Ia tidak mustahil kerana Teleport, cabang logistik AirAsia Digital mengumumkan kerjasama dengan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), selaku Sekretariat Utama Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS), untuk melancarkan Sandbox Penghantaran Melalui Dron di kawasan bandar dan menguji daya maju jangka panjang perkhidmatan penghantaran melalui dron di lokasi sama.ARTIKEL BERKAITAN:Udara segar dijual RM450 sebotol, cuci lubang hidung salah satu syarat penggunaan... anda mahu beli? Projek perintis untuk perkhidmatan penghantaran pesanan dari platform e-dagang syarikat itu termasuk AirAsia Shop menggunakan dron automatik akan dilaksanakan melalui pendekatan bertahap selama enam bulan di tapak ujian Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) ketiga di Cyberjaya. Perkhidmatan ini masih dalam peringkat ujian oleh dua pengendali dron tempatan VStream Revolution Sdn Bhd dan Meraque Services Sdn Bhd. Fasa pertama projek di Cyberjaya ini bertujuan untuk menilai keupayaan, pengalaman, proses kelulusan, kesediaan dron dan pengembangan perkhidmatan oleh pengendali dron. Perkhidmatan ini dijangka dilancarkan setelah fasa percubaan berjaya dan mungkin diperluaskan di luar persekitaran Sandbox. (Di hadapan dari kiri) Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia; Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains Teknologi & Inovasi (MOSTI); Menteri Sains Teknologi & Inovasi, Khairy Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzuleira Abu Bakar dan Pete Chareonwongsak, Ketua Pegawai Eksekutif Teleport. (Di belakang dari kiri) Aireen Omar, Presiden AirAsia Digital; Dato’ Norhalim Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia dan Kapten Chester Voo Chee Soon, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Sebagai pusat penyelarasan dan pemudahcara penyelesaian nasional, NTIS menyediakan langkah kritikal dengan memberi kelonggaran kepada proses terpilih atau keseluruhan dan/atau keperluan kawal selia untuk mempercepat pembangunan penyelesaian inovatif daripada peringkat penyelidikan dan pembangunan kepada peringkat yang sedia untuk dikomersialkan. Dalam merealisasikan projek ini, NTIS telah bekerjasama rapat dengan satu-satunya pengawal selia teknikal di Malaysia iaitu pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memastikan aspek keselamatan bagi perkhidmatan kenderaan udara tanpa pemandu di kawasan bandar memenuhi keperluan dan peraturan seperti yang ditetapkan oleh CAAM. Ini juga untuk memastikan keselamatan awam kekal menjadi keutamaan tertinggi selain memudahkan kemajuan teknologi. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya bersedia untuk menjadi peneraju utama dalam industri teknologi dron (DroneTech), yang dijangka menjana AS$127 bilion menjelang 2025. "Saiz pasaran global khusus untuk penghantaran pesanan melalui dron berjumlah AS$642.4 juta pada tahun 2019, dan diunjurkan untuk mencapai AS$7.388 bilion pada tahun 2027. "Perkhidmatan penghantaran melalui dron juga dapat diperluas dan ditingkatkan dalam pelbagai sektor selain e-dagang, seperti penhantaran bekalan penting atau perubatan ke kawasan luar bandar, terpencil, atau yang terjejas oleh bencana alam," katanya. Dzuleira Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC dan Pete Chareonwongsak, Ketua Pegawai Eksekutif Teleport bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) disaksikan oleh Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Ketua Setiausaha MOSTI dan Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia. NTIS turut mengalu-alukan penglibatan syarikat permulaan dalam teknologi dron untuk mengembangkan perkhidmatan mereka dengan menghubungkan mereka dengan pengawal selia, syarikat telekomunikasi dan pemain ekosistem lain. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia berkata, pihaknya sentiasa berinovasi sejak ia ditubuhkan 20 tahun lalu dan penerokaan perkhidmatan penghantaran melalui dron di kawasan bandar adalah usaha jangka panjang memperkukuhkan jenama syarikat. Ini katanya adalah satu penyelesaian logistik inovatif yang akhirnya akan meningkatkan kecekapan dan kecemerlangan operasi serta menjadikan perkhidmatan penghantaran di kawasan bandar lebih pantas. “Apa yang paling penting, inovasi ini akan membolehkan kami mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan berteknologi tinggi untuk rakyat Malaysia. "Kemampuan untuk mengubah peranan adalah sebahagian daripada budaya kami dan walaupun ada yang kehilangan pekerjaan dalam sektor penerbangan, kami dapat menawarkan peluang kedua kepada mereka untuk membina kerjaya baharu dengan kami melalui sektor e-dagang. "Sebagai peneraju inovasi, kami bersedia untuk menghadapi cabaran inovatif baharu dan gelombang Revolusi Industri 4.0 untuk kelebihan kami. Kami hanya melihat ke hadapan dan tidak sabar untuk menghantar pesanan anda melalui dron AirAsia di masa akan datang," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!