suria

Bukan membazir tapi biar tahan lama... 5 barang rumah ini seelok-eloknya beli yang mahal

Terdapat beberapa barang di dalam rumah yang selayaknya dibeli dengan harga mahal.

KUNJUNGAN ke kedai perabot dan kelengkapan rumah memang boleh membuatkan sesiapa sahaja rambang mata!

Namun kebiasaannya barangan yang dijual melebihi bajet dan akibatnya kita mungkin membeli sesuatu benda seperti sofa mengikut kemampuan walaupun ia bukan pilihan terbaik.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Jangan guna tisu bersihkan kotoran pada 5 barang ini

Pun begitu, bagi pereka hiasan dalaman, Patrick Ediger, terdapat beberapa barang kelengkapan rumah yang selayaknya dibeli dengan harga mahal setanding dengan kualitinya agar tahan lebih lama.

1. Permaidani

Patrick memberitahu ramai mengabaikan lantai rumah dan penggunaan permaidani mampu mengubah keseluruhan hiasan dalaman kediaman seseorang.

"Tiada cara lebih baik dalam memberi jiwa dan menghidupkan suasana rumah dengan sebuah permaidani vintaj yang cantik," katanya.

Oleh itu katanya, jangan berkira dengan membeli permaidani yang berkualiti kerana ia mampu bertahan lama jika dijaga dengan baik dan boleh menjadi warisan dari generasi ke generasi.

2. Langsir

Ramai memilih langsir pasang siap yang kebanyakannya tidak dapat bertahan lama dan Patrick menjelaskan melabur wang menempah langsir yang berkualiti sangat berbaloi.

Jelasnya selain ia dapat menghalang sinaran matahari, langsir juga boleh menambah nilai pada rumah.

3. Tilam

Jangan perjudikan tidur malam yang enak dengan tilam yang tidak selesa dan membuatkan kulit anda gatal dan sakit belakang, apatah lagi setiap orang menghabiskan satu pertiga kehidupannya di tempat tidur.

Tilam memang mahal tetapi ia juga adalah pelaburan bukan sahaja untuk tidur yang nyenyak tetapi demi kesihatan.

4. Sofa

Sofa tidak hanya menjadi tempat duduk ketika menonton televisyen atau berbual-bual, tetapi jika anda pilih sofa yang tepat, ia mampu bertahan selama bertahun-tahun.

Jadi jangan rasa bersalah jika membeli sofa yang mahal!

5. Perabot antik

Perabot antik menjadi kegilaan ketika ini dan jelas Patrick, ia bukan satu pembaziran sebaliknya pelaburan bijak yang dapat memberi keuntungan lebih besar pada masa hadapan.

Apatah lagi sesuatu perabot itu mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Jadi jangan rasa bersalah jika berkenan dengan sesuatu perabot antik, beli saja!

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain