SUDAH menjadi budaya masyarakat Malaysia untuk membeli juadah di bazar Ramadan setiap kali tibanya bulan puasa. Ia bukan sahaja memudahkan tetapi telah menjadi tradisi meskipun hanya membeli sebungkus air. Bagaimanapun yang masih tidak menjadi budaya adalah amalan membawa bekas makanan dan minuman sendiri yang bukan sahaja dapat mengurangkan penggunaan plastik tetapi faktor keselamatan memandangkan pandemik Covid-19 masih belum reda.ARTIKEL BERKAITAN: Tak sampai separuh hari dah lapar? Ketahui 7 makanan sahur buat anda kenyang lebih lama Atas dasar itu, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin menyarankan agar orang ramai membudayakan amalan membawa bekas makanan dan minuman serta beg yang boleh diguna semula setiap kali berkunjung ke bazar Ramadan. Mohd Norlisam berkata, amalan ini amat penting memandangkan kebanyakan makanan dan minuman di bazar Ramadan dijual dengan dibungkus di dalam plastik. “Peningkatan sisa plastik bungkusan makanan di bulan Ramadan dikhuatiri akan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar secara berterusan. Oleh itu, sudah tiba masanya kita mewujudkan budaya baharu iaitu ‘tapau’ juadah berbuka puasa dengan menggunakan bekas yang dibawa sendiri seperti mangkuk tingkat, tupperware serta beg kitar semula. Membawa bekas sendiri dari rumah lebih mudah dan boleh terus dihidangkan. “Jika setiap di antara kita memulakan budaya ini, tidak mustahil ia akan menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan seharian dan seterusnya dapat mengurangkan penggunaan plastik serta sisa yang dijana. Selain itu, makanan yang ditapau dalam bekas makanan sendiri lebih terjamin kebersihannya serta boleh terus dihidang, ” katanya. Tambah Mohd Norlisam, membawa bekas sendiri dan beg kitar semula ke bazar Ramadan juga menyokong salah satu elemen dalam kempen kesedaran 3R (Reduce, Reuse, Recycle) yang merujuk kepada pengurangan sisa yang dijana termasuklah sisa plastik. “Walaupun perubahan yang dilakukan ini nampak kecil tetapi mampu memberi impak yang besar dalam jangka masa panjang termasuklah menyelamatkan alam sekitar daripada dicemari lambakan sisa plastik, ” katanya. Dalam pada itu, SWM Environment tidak ketinggalan membawa mesej kesedaran meraikan bulan Ramadan yang mulia ini dengan norma baharu iaitu elakkan pembaziran makanan. Berdasarkan kepada tahun-tahun sebelum ini, adalah dijangkakan kadar sisa makanan akan meningkat sebanyak 20 peratus apabila bulan Ramadan. “Oleh itu, SWM Environment menyeru masyarakat agar lebih menghargai makanan dengan membeli juadah berbuka mengikut keperluan. Sekiranya ada lebihan makanan, jangan terus dibuang sebaliknya beri kepada pihak yang memerlukan. “Langkah ini bukan saja dapat mengelakkan pembaziran dan menjimatkan wang, malah dapat mengurangkan penjanaan sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan sampah, ” katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!