PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia sejak setahun lalu banyak memberi kesan kepada sektor ekonomi termasuk menjejaskan perniagaan kecil dan sederhana. Berikutan itu, semakin ramai pemain industri yang mula tampil dengan pelbagai inisiatif baharu dalam melonjakkan kembali perniagaan mereka selain mengambil kira faktor pandemik ketika ini.ARTIKEL BERKAITAN: Pemanasan global makin tidak terkawal... Anak Malaysia cipta penghawa dingin mesra alam pertama di dunia! Bertitik tolak daripada itu, Mohd Amirol Isa Izani, 34, dan rakan kongsinya, Mohd Noor Hisham Hashim, 40, yang mempunyai perniagaan mencuci kereta tampil dengan sebuah aplikasi dikenali sebagai Hive yang membolehkan pelanggan membuat tempahan mencuci kereta secara dalam talian. Berkongsi lanjut mengenai perkara itu, Mohd Amirol berkata, perkhidmatan mencuci kenderaan sebenarnya mendapat permintaan tinggi namun kekurangan promosi, kemahiran serta pandemik membuatkan banyak premis terpaksa gulung tikar. Mohd Amirul memberitahu pandemik antara sebab memberinya idea untuk menghasilkan Hive. "Sejak pandemik ramai pengusaha car wash yang terkesan dengan pandemik apabila pelanggan juga semakin berkurangan. "Jadi saya terfikir bagaimana hendak membantu pemilik-pemilik perniagaan ini memandangkan saya sendiri mempunyai sebuah pusat mencuci kereta," katanya yang mula membangunkan aplikasi itu sejak setahun lalu. Hive jelasnya adalah sebuah ekosistem basuhan kereta pertama di Malaysia yang menghubungkan pengguna dengan tempat mencuci kereta, pembekal produk basuhan kereta, insurans serta pengiklanan dalam satu platform yang sama. Ia juga katanya sebagai satu program pembangunan usahawan pusat mencuci kereta di mana mereka boleh mendaftarkan perniagaan mereka dalam aplikasi itu bagi memudahkan pelanggan membuat carian. "Tidak hanya menyenaraikan pusat mencuci kereta mereka dalam aplikasi itu, usahawan bakal mendapat pelbagai insentif termasuk pemasaran, promosi serta sokongan perkhidmatan pelanggan yang pada akhirnya akan meningkatkan jualan mereka. Dua sahabat ini bergabung menghasilkan aplikasi tersebut. "Jaminan mendapat pelanggan juga sangat tinggi kerana Hive turut menawarkan pelbagai promosi seperti cucian percuma yang mana kosnya ditanggung oleh kami," jelasnya. Sejak dilancarkan pada awal April, Mohd Amirol memberitahu aplikasi itu sudah pun mengumpulkan 60 pusat cucian kereta yang berdaftar dengan aplikasi itu. Kelebihan kepada pemandu wanita Sementara itu, berkongsi mengenai kelebihan aplikasi itu, Mohd Amirol memberitahu ia sudah tentu mementingkan pelanggan tanpa perlu bersesak-sesak di premis mencuci kereta ketika pandemik. Beritahunya, menerusi aplikasi itu, pengguna bukan sahaja boleh memilih lokasi pusat cucian kereta berdekatan mereka malah boleh menyemak perkhidmatan ditawarkan serta harga dikenakan. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] "Saya melihat aplikasi ini dapat memberi manfaat kepada pemandu wanita yang mungkin takut hendak ke car wash kerana bimbang ditipu serta tidak mendapat maklumat tepat mengenai produk dan perkhidmatan disediakan. Amirul memberitahu dia mengambil masa setahun untuk membangunkan aplikasi itu. "Menerusi Hive, mereka tak perlu bimbang kerana semua maklumat dan informasi yang diperlukan semua disediakan malah mereka boleh membuat tempahan mengikut jenis perkhidmatan yang dimahukan berserta harganya. Malah menerusi Hive, pelanggan juga boleh menikmati pelbagai promosi dan tawaran menarik seperti 1,000 Free Wash di mana-mana pusat cucian berdaftar dalam aplikasi itu dengan memasukkan kod promosi. Selain itu, setiap empat cucian kereta, pelanggan juga akan menikmati satu cucian percuma dan pengguna tidak perlu terikat dengan satu pusat cucian untuk mendapatkan hadiah itu. "Paling penting, bersempena kedatangan Aidilfitri kami akan memberikan duit raya sebanyak RM40 dengan pembelian pakej berharga RM299," katanya. Sebagai mementingkan langkah keselamatan ketika pandemik, Mohd Amirol memberitahu pelanggan tidak perlu membuat sebarang kontak bersama pekerja di pusat cucian malah pembayaran secara cashless dibuat menerusi aplikasi itu. Pelbagai promosi diperkenalkan termasuk Raya Kilat bersempena Aidilfitri. 10,000 pengguna menjelang akhir tahun, rancang buka akademi Sementara itu, Mohd Amirol memberitahu dia mensasarkan aplikasi itu akan mempunyai lebih 300 pusat cucian kereta berdaftar dengan Hive di seluruh Malaysia selain 10,000 pengguna menjelang akhir tahun ini. Manakala bagi perancangan masa depan, pihaknya akan menawarkan lebih banyak perkhidmatan seperti mengambil dan menghantar kereta pelanggan di rumah atau pejabat selain perlindungan insurans sekiranya berlaku sebarang kemalangan. Bagi menaiktarafkan industri pusat mencuci kereta, pihaknya juga bercadang untuk menubuhkan sebuah akademi yang mensasarkan pelajar daripada bidang automatif yang dilatih serta membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang tersebut. "Masalah utama dalam bidang ini adalah pekerja yang sering bertukar dan tiada kemahiran yang betul mencuci kenderaan. Faktor itu juga menyebabkan pelanggan tidak kembali kerana tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan. "Menjadi impian saya untuk tubuhkan sebuah akademi bagi melatih pekerja berkemahiran. Ini sangat penting kerana kini pelanggan bukan sahaja mahu kereta mereka dicuci tetapi pelbagai perkhidmatan lain yang memerlukan kemahiran," ujarnya.Aplikasi Hive boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!