suria

Cegah tekanan sepanjang ‘total lockdown’, ayuh lakukan 5 perkara ini

‘Total lockdown’ sehingga 14 Jun ini boleh memberi tekanan namun ada cara mengatasinya.

BERMULA hari ini (Selasa) seluruh negara diletakkan dibawah 'total lockdown' Fasa Pertama sehingga 14 Jun 2021 dalam usaha mengurangkan kes penularan Covid-19 yang semakin mengganas sejak kebelakangan ini.

Pengumuman itu sudah pasti memperlihatkan rakyat kembali duduk di rumah memandangkan hampir keseluruhan sektor ekonomi dan sosial ditutup sepanjang tempoh itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 2 minggu ‘total lockdown’ mulai 1 Jun

Meskipun keputusan kerajaan itu disambut baik oleh rakyat Malaysia namun ia sudah pastinya akan memberi kesan emosi apabila semua perlu duduk di rumah.

Tekanan bukan sahaja mengganggu emosi tetapi boleh memberi kesan kepada fizikal serta menimbulkan rasa resah dan kecewa apabila kita tidak dapat melakukan aktiviti seperti biasa.

Kesannya cukup membimbangkan - apabila tubuh melepaskan hormon kortisol dan adrenalin, ia boleh menegangkan otot serta meningkatkan tekanan darah dan degupan jantung.

Jadi dalam tempoh 'total lockdown' ini, penting untuk kita melatih diri menguruskan tekanan dalam menghadapi situasi sukar ketika ini.

Berikut adalah lima perkara yang boleh dilakukan bagi memastikan seseorang tidak berasa tertekan dalam tempoh ini.

1. Bersenam

Meskipun kerajaan mengumumkan 'total lockdown', namun aktiviti sukan dan rekreasi iaitu joging yang dilakukan secara individu di kawasan terbuka tanpa bersentuhan fizikal masih dibenarkan.

Senaman dapat membantu menghilangkan tekanan dengan meningkatkan endorfin iaitu hormon yang dihasilkan otak untuk mengurangkan rasa sakit dan tekanan.

2. Tidur yang cukup

Hampir 21 peratus orang dewasa mengakui berasa lebih tertekan jika tidak mendapat tidur yang cukup meskipun golongan ini memerlukan tidur selama lapan jam sehari.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Tetapi apabila berada dalam keadaan tertekan, seseorang menjadi lebih sukar tidur. Ambil tempoh 'total lockdown' ini untuk mendapatkan rehat secukupnya.

Ini termasuklah mengamalkan rutin tetap untuk tidur agar sepanjang tempoh itu kita lebih berdisiplin dan merasai nikmat jika mengikut jadual harian.

Apabila mendapat tidur yang cukup, secara automatik kita akan rasa lebih segar dan bersemangat melakukan aktiviti harian yang lain meskipun perlu berada di rumah.

3. Diet sihat

Tempoh 'total lockdown' ini bukanlah alasan untuk kita tidak menjaga pemakanan sebaliknya inilah masanya untuk mengamalkan pemakanan sihat.

Sekiranya kita tidak menjaga pemakanan dan lebih banyak mengambil makanan ringan yang tidak berkhasiat, ia turut menyumbang kepada ketidakstabilan emosi termasuk tekanan.

Pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin C dapat membantu menurunkan tekanan darah serta kadar korsitol.

Manakala karbohidrat kompleks yang terdapat pada sayur-sayuran dapat meningkatkan penghasilan serotonin yang menjaga hormon gembira manusia.

Ini termasuk makanan yang mengandungi magnesium, omega-3 dapat mengurangkan peningkatan hormon tekanan manusia.

4. Berhubung dengan dunia luar

Ketika berasa tertekan kerana terpaksa duduk di rumah, kita perlu berhubungan dengan dunia luar - iaitu dengan berbual atau membuat sidang video bersama keluarga atau teman.

Kajian mendapati, orang yang kurang bersosial lebih mudah berasa tertekan selain mudah mengalami masalah degupan jantung tak stabil, tekanan darah melonjak dan kadar hormon tidak menentu.

Jangan jadikan 'total lockdown' ini sebagai satu halangan untuk terus berhubung dengan dunia luar.

5. Kurangkan kafein

Minuman seperti kopi yang mempunyai kafein memang dapat membuatkan seseorang bertenaga sepajang hari namun pengambilan berlebihan pula dapat meningkatkan tekanan, insomnia dan degupan jantung yang tidak teratur.

Jadi bagi mengelakkan perkara itu berlaku, kurangkan pengambilan kafein dan gantikan dengan minuman lebih berkhasiat seperti jus buah, teh hijau serta air putih yang lebih memberi manfaat kepada kesihatan mental sepanjang tempoh 'total lockdown' ini.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain