suria

Cukup minat filem animasi, kanak-kanak 10 tahun ini belajar teknik kesan visual khas dalam tempoh dua minggu!

Arif Aamil Hamka menghasilkan sendiri video dengan kesan khas dengan hanya mempelajari daripada YouTube.

ARIF Aamil Hamka mungkin baru berusia 10 tahun tetapi kanak-kanak ini dikurniakan bakat luar biasa yang menjadikan dirinya berbeza dengan rakan sebaya lain.

Mana tidaknya, Hamka berkebolehan dalam menghasilkan kesan khas video (VFX) dan 'stop-motion' menerusi video yang dihasilkan sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Bosan di rumah? Jom cuba 5 games popular App Store ini

Paling penting, Hamka tidak mendapat pendedahan formal mengenai teknik itu sebaliknya hanya mempelajarinya menerusi video tutorial di YouTube.

Dia juga sering menjadi 'penonton' setia ketika bapanya, Arif Rafhan Othman yang juga seorang artis visual melakukan kerja di rumah. Lebih kagum lagi, Hamka berjaya mempelajari tentang selok-belok VFX, stop-motion serta suntingan hanya dalam tempoh dua minggu!

Hamka Editing

Hamka mahir menggunakan Adobe Premier Pro dan Adobe After Effects hanya dalam tempoh kurang daripada dua bulan.

Kagum dengan teknik kesan khas dalam filem

Bercakap kepada mStar, kanak-kanak itu memberitahu minatnya itu timbul disebabkan kegemarannya menonton filem Superhero seperti Antman dan Superman sejak kecil.

"Saya kagum dengan kesan khas yang dipaparkan dalam filem-filem berkenaan dan perlahan-lahan saya cuba memahami bagaimana ia dilakukan dengan membuat kajian sendiri selain menonton video tutorial di YouTube.

"Saya juga banyak bertanya kepada bapa tentang kesan khas dan pembikinan video dan suntingan," katanya.

Berkongsi mengenai video pertama dihasilkannya, Hamka memberitahu pada awalnya dia hanya menghasilkan video silap mata dengan menggunakan kesan khas menghilangkan barang.

Namun selepas itu, dia mula berjinak-jinak dengan perisian seperti Adobe Premier Pro dan Adobe After Effects serta menghasilkan beberapa video seperti The Flash vs. Reverse Flash, Doctor Strange dan Ant Man.

Saya mahu menjadi seorang pengarah dan bercita-cita menghasilkan filem animasi suatu hari nanti.

ARIF AAMIL HAMKA

Mengenai projek terbaharunya, Hamka menghasilkan video sempena Hari Kemerdekaan ke-64 baru-baru ini, yang mana dia menyunting video sambutan Hari Kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 1957 dengan memasukkan dirinya dalam video berkenaan.

Kata Hamka, sebelum menghasilkan video itu, dia menghasilkan 'storyboard' dan menyediakan 'green screen' untuk merakamkan dirinya dalam pelbagai sudut sebelum melakukan kerja-kerja suntingan.

"Video sambutan hari kemerdekaan itu adalah projek sekolah dan saya ingin hasilkan sesuatu yang berbeza dan mendapat idea untuk menggunakan kesan khas bagi memasukkan diri saya dalam video asal sambutan kemerdekaan pertama pada 1957.

"Bapa pun ada tolong buat 'storyboard' dan selebihnya saya buat sendiri sehingga siap," kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Sudah dedahkan anak-anak sejak kecil

Dalam pada itu, Arif Rafhan, 44, berkata, dia tidak terkejut dengan minat dan kemahiran anak lelakinya itu memandangkan dia telah didedahkan dengan pelbagai perkara berkaitan seni dan kreatif.

Hamka Green Screen

Hamka merakamkan video hanya menggunakan telefon pintar miliknya.

Sejak anak-anaknya kecil, Arif Rafhan memberitahu dia dan isteri, Suhana Mohamed Daud, 42, sentiasa menyediakan pensil dan kertas untuk mereka melukis dalam menzahirkan kreativiti mereka.

"Bukan sahaja melukis tetapi kami turut dedahkan mereka terhadap filem, animasi, muzik dan Alhamdulillah kesemua anak ada minat dan kemahiran tersendiri.

"Seperti Hamka dia lebih kepada pembikinan filem dan animasi, manakala kakaknya gemarkan teknik stop-motion.

"Sebagai bapa saya hanya dedahkan mereka dengan pelbagai perkara kerana arwah bapa saya yang juga bekas pensyarah bidang seni halus juga melakukan perkara sama kepada kami adik-beradik," jelasnya.

Tambahnya, apa dilakukan itu juga sebagai salah satu persiapan dalam melengkapkan diri anak-anaknya apatah lagi teknologi zaman kini cepat berubah.

Hamka dan adik beradik

Hamka bersama kakak Maya Elisha (kiri) dan adiknya, Arif Ezra Avicenna.

"Saya buka ruang dan beri tunjuk jalan dan sokongan... kemahiran dan minda kanak-kanak zaman sekarang lebih dahsyat dan cekap berbanding zaman dahulu.

"Pada masa hadapan saya yakin kemahiran ini dapat membuka pelbagai peluang dan sekiranya kita tidak dedahkan sekarang, teknologi sentiasa berubah dan mungkin kita akan ketinggalan," katanya yang mempunyai dua lagi cahaya mata iaitu Maya Elisha, 13 dan Arif Ezra Avicenna, 5 tahun.

Sebagai menyokong usaha anaknya itu, Arif Rafhan memberitahu isterinya turut membantu membuka akaun media sosial untuk Hamka bagi memuat naik hasil kerjanya di Instagram dan YouTube.

Sementara itu, Hamka berkata, minatnya itu bukan sahaja memberi keseronokan kepadanya tetapi mahu menjadikan ia sebagai karier apabila dewasa kelak.

"Saya mahu menjadi seorang pengarah dan bercita-cita menghasilkan filem animasi suatu hari nanti," katanya penuh yakin.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain