TIDAK ramai golongan muda zaman kini mengetahui betapa hebatnya pahlawan dahulu kala mempertahankan tanahair daripada ancaman kuasa asing. Kemanisan dan keamanan bumi yang merdeka ini, pastinya tidak dirasai jika tiada pengorbanan orang-orang terdahulu. Namun bagi Jerrymie Macklis Jamulis yang juga pelajar tahun akhir Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), beliau menjadikan sejarah dan semangat kepahlawanan suku Murut yang mengalir dalam darahnya sebagai subjek dalam karya seninya.ARTIKEL BERKAITAN: Cukup minat filem animasi, kanak-kanak 10 tahun ini belajar teknik kesan visual khas dalam tempoh dua minggu!ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara payung kitar semula, graduan Amerika jadi perhatian... ada misi nak didik masyarakat jaga alam! Berasal dari Keningau, Sabah, pemuda berusia 24 tahun ini memberitahu, dia menggunakan pendekatan penghayatan muzik dan tarian dalam sebuah karya berjudul 'Mantra Kalawon' yang bermaksud 'Mantera Pahlawan' dalam bahasa Murut. "Ketika menerima tugasan tema projek tahun akhir yang menginginkan perubahan dan keunikan, kami diminta untuk tampil lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan karya iaitu keluar dari kelaziman studio. Ketika itulah saya mula mencari apakah tema yang ingin saya ketengahkan," jelasnya. Tampil dengan projek Dimensi 100: Ruang dan Masa turut mencetuskan ilhamnya untuk menyelami etnik Murut yang kaya dengan pelbagai budaya dan sejarah. Hasil kajian dilakukan untuk projek itu termasuk temuramah bersama keluarga, Macklis memberitahu neneknya mendedahkan rahsia bahawa mendiang moyangnya merupakan salah seorang Komando Semut Murut. Jerrymie bangga sebagai anak kelahiran etnik Murut. "Penduduk Borneo tidak menyukai cara penjajahan Jepun yang kejam terhadap rakyat ketika itu. Akhirnya pada bulan Mei tahun 1945 telah berlaku suatu operasi membabitkan Unit Khas Z dari Australia untuk membantu pihak British mengekang kemaraan tentera Jepun," katanya. Kata Jerrymie, operasi Unit Khas Z telah mengumpulkan pahlawan setiap suku kaum berbeza di mana kedua-dua pihak telah bergabung tenagan di dalam operasi senyap yang dipanggil sebagai Operasi Semut. Pahlawan-pahlawan berstatus Komando ini mempunyai kelebihan hebat di dalam hutan belantara. Merisik dan menyerang hendap musuh dengan cekap tanpa belas kasihan. "Operasi Semut yang bermula di Bario, Sarawak sekitar 25 Mei 1945 berjaya menyekat kemaraan pihak Jepun ketika itu. Melihatkan kejayaan Operasi Semut pertama itu lebih 80 Operasi Semut dilaksanakan di daerah-daerah lain Borneo dan berjaya melumpuhkan kemaraan Jepun,” jelasnya lagi. Komando-komando semut yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang warga peribumi ini dikatakan telah memenggal ratusan kepala dan membunuh lebih 1,846 tentera Jepun pada ketika itu. Moyang saya, mendiang Balang Basi cukup digeruni kerana menghidupkan kembali semangat penentangan terhadap kerajaan Jepun dengan meniupkan semboyan memenggal kepala di penempatannya di Long Pasia, sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan. JERRYMIE MACKLIS JAMILUS "Moyang saya, mendiang Balang Basi cukup digeruni kerana beliau menghidupkan kembali semangat penentangan terhadap kerajaan Jepun dengan meniupkan semboyan memenggal kepala di penempatannya di Long Pasia, sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan,” jelasnya. "Bagaimanapun kisah mereka ini adalah perwira yang tidak didendangkan kerana operasi ini menjadi rahsia selama 30 tahun kerana terikat Akta Rahsia Rasmi Australia ketika itu,” jelasnya lagi. Kaji motif bunga terung lambang kegagahan kaum Murut Semasa proses eksperimen karya seni itu, Jerrymie berkata dia juga memilih untuk mengkaji motif bunga terung yang sering digunakan masyarakat Murut untuk mencacah tatu. Motif bunga terung digunakan banyak suku di kedua wilayah Sabah dan Sarawak kerana banyak suku-suku kaum di sini adalah serumpun, dan merupakan identiti latar belakang masyarakat di situ. Tatu Bunga Terung di bahu telah menjadi simbol seseorang itu adalah pahlawan dan ia dikaitkan dengan azimat dan mempunyai mantera untuk melindungi pemilik tatu tersebut. Bukan itu saja, tatu bunga terung juga dianggap sebagai pelindung kepada si pemakai kerana ia dipercayai mempunyai semangat di dalamnya. Mendiang Moyang, Balang Basi memakai pingat Darjah Keperwiraan Sabah. "Imej Bunga Terung ini ibaratnya seperti sebuah ‘kad pengenalan’ kepada anak-anak muda yang menunjukkan identiti dan asal usul orang Murut bila merantau ke tempat jauh,” ujarnya. Ketika itu Jerrymie melakukan eksperimen mencacah motif ini pada kulit silikon dan gagal menghasilkan imej yang diinginkan. "Saya kecewa, kerana bukan mudah rupanya hendak menghasilkan cacahan tatu apatah lagi tidak mahir menggunakan mesin pencacah tatu, sungguhpun begitu, saya tak putus asa lalu mengekspreskan karya seni saya pada kanvas pula dengan menggabungkan lukisan dengan kaedah tarian. "Pada awalnya saya mengolah lukisan tersebut menggunakan medium arang, cat air dan pastel dengan gaya tarian moden hip-hop seperti breakdance, pada kanvas," ujarnya. Ketika melihat hasil awal karyanya itu juga Jerrymie merasakan sesuatu yang janggal. Lalu dia mengolah semula karyanya menggunakan pendekatan sama tetapi kali ini dia menggelek arang, cat arkrilik pada kanvas sambil tubuhnya bergelek mengikut tarian magunatip, sebuah tarian tradisional yang untuk majlis keraian dan istiadat penting masyarakat Murut. Jerrymie ketika menghasilkan karya Mantra Kalawon yang menyelami budaya etnik kaum Murut. Sambil mengikut rentak irama paluan gong Murut Tahol, perlahan-lahan imej yang terlakar pada kanvas membentuk imej karya menepati kehendaknya. Akhirnya, Jerrymie berjaya menghasilkan sebanyak enam karya bersaiz besar iaitu lima di antaranya berukutan 6x6 kaki persegi dan sebuah karya 6x14 kaki. Kesemua karya tersebut dipamerkan bersama 70 buah karya lain dalam Pameran Virtual Dimensi 100: Ruang dan Masa melalui aplikasi Artsteps. "Melalui proses penghasilan siri karya ‘Mantra Kalawon’ ini saya berjaya menyelami budaya etnik kaum Murut dan mengenali dengan lebih mendalam tentang asal usul saya. "Jika sebelum ini, mungkin saya tidak ambil pusing sangat, tetapi bila dah selami sendiri, barulah saya sedar bahawa kita ini kaya dengan budaya dan sejarah hebat. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta," jelasnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI