suria

Masih ‘single’ lagi? Mungkin jodoh ada di depan mata... kebanyakan pasangan kekasih bermula sebagai kawan

Hubungan percintaan yang bermula dengan persahabatan merupakan kaedah yang lazim dan lebih disukai ramai.

SETIAP orang mempunyai kisah bagaimana mula menjalinkan hubungan dengan pasangan mereka. Ada yang bertemu di kedai kopi, ada yang berkenalan ketika duduk bersebelahan di dalam LRT dan ada juga yang bertemu melalui aplikasi atas talian.

Tetapi tahukah anda, sebenarnya banyak pasangan kekasih yang bermula sebagai rakan terlebih dahulu sebelum membawa hubungan mereka ke peringkat seterusnya?

ARTIKEL BERKAITAN: Ketahui 4 tanda pasangan anda ada masalah menguruskan kewangan

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sahaja tak boleh berenggang, ada 5 petanda anda terlalu bergantung pada pasangan!

Satu kajian yang diterbitkan menerusi jurnal Social Psychological and Personality Science pada Julai lalu mendedahkan lebih dua pertiga pasangan bermula sebagai rakan.



Lebih dua pertiga pasangan mengakui mereka bermula sebagai kawan.

Profesor psikologi di University of Victoria, Kanada, Danu Anthony Stinson dan rakan penyelidiknya meneliti pengalaman hampir 1,900 pelajar universiti dan orang dewasa mengenai hubungan percintaan mereka bersama pasangan.

Sebanyak 68 peratus responden mengakui bahawa hubungan percintaan mereka bermula dengan persahabatan

Menurut penyelidik, hasil kajian ini menunjukkan bahawa hubungan percintaan yang bermula dengan persahabatan merupakan kaedah yang lazim dan lebih disukai ramai.

“Hubungan adalah sangat penting dalam kehidupan seseorang. Orang ramai mahu memilih pasangan yang baik. Mereka mahukan pasangan yang mampu memberi sokongan terhadap kesejahteraan, cita-cita mereka dan semua perkara seperti ini.

"Pakar psikologi sosial mahu menolong mereka melakukan itu. Kami mahu memahami bagaimana cara untuk melakukannya. Jadi, saya rasa kita harus mula mempelajari cara memulakan perhubungan seperti ini yang sudah lama kita abaikan,” kata Stinson.



Kebanyakan pasangan mengakui tiada niat untuk menjalin hubungan percintaan dengan rakan masing-masing.

Kebanyakan pelajar universiti yang diajukan soalan ini berkata mereka berkawan selama satu hingga dua tahun terlebih dahulu sebelum menjadi menjadi pasangan.

Sebilangan besar mengatakan bahawa mereka tiada niat untuk menjalinkan hubungan percintaan dengan pasangan masing-masing ketika berkawan.

Hampir separuh mengatakan mereka lebih suka menjalin hubungan percintaan dengan cara ini.

"Ikatan persahabatan antara pasangan adalah asas kepada hubungan percintaan yang baik.

"Jika dua rakan telah mewujudkan beberapa ciri persahabatan yang baik sebelum mereka bercinta, maka ia berpotensi menjadikannya sebuah hubungan yang kukuh untuk jangka masa panjang," kata Stinson.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain