DIA cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan haiwan terbiar yang sedang menunggu masa untuk dimatikan.Usahanya itu tidak hanya tertumpu di Lembah Klang semata-mata, malah dia sanggup merentas negeri serta mengeluarkan belanja yang tinggi semata-mata untuk menjamin haiwan-haiwan jalanan ini daripada pihak berkuasa tempatan. Kasih dan sayang Siti Fauziah Abdul Jabbar, 38, kepada haiwan jalanan ini juga membuatkan dia sanggup menutup kedai pakaian miliknya dan beralih kepada perniagaan dalam talian bagi membolehkan dia meluangkan lebih banyak masa membantu haiwan-haiwan yang dianggap sebagai tidak terbela nasibnya ini.ARTIKEL BERKENAAN : Pengasas Habib pernah bekerja di kantin, lalui banyak liku sebelum menjadi jenama terkenal di MalaysiaARTIKEL BERKENAAN :Obses filem The Lord of the Rings dan watak Frodo Baggins, lelaki ini hidup sebagai hobbit! Bercakap kepada mStar, pemilik Fauziah Paws Care ini berkata, dia mula menyelamatkan haiwan jalanan sejak berusia 17 tahun lagi. “Saya akan kutip kucing yang sakit, anak kucing dan anak anjing di belakang rumah saya, tapi saya tak ada duit nak bawa mereka jumpa doktor haiwan jadi saya rawat mereka sendiri di rumah. “Bila mereka dah sembuh saya akan lepaskan semula dan saya akan bagi makanan lebihan yang ada di rumah pada haiwan jalanan yang tinggal di kawasan perumahan kami masa tu,” ujar wanita India Muslim ini. Fauziah mula menyelamatkan binatang sejak umurnya 17 tahun lagi. Walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran, Fauziah tetap berasa terpanggil untuk membantu haiwan-haiwan yang kurang mendapat perhatian kerajaan serta sesetengah golongan masyarakat ini. Dia mengakui bahawa isu lambakan haiwan terbiar di negara ini kini semakin meruncing.Saranannya bagi mengatasi masalah ini adalah dengan menjalankan program Trap, Neuter and Release (Perangkap, Dikasi dan Dilepaskan). “Sahabat saya di Amerika pernah berkongsi tentang bagaimana Paws (Persatuan Kebajikan Haiwan Paws) di Texas menggunakan kaedah ini kemudian masyarakat setempat akan bantu dengan memberi makanan kepada haiwan-haiwan jalanan. “Di Kanada mereka ada klinik bergerak yang akan menjalankan prosedur kasi dan program untuk adopt anak kucing yang jinak. “Pada tahun 2018, mereka berjaya mengkasi sebanyak 7,330 ekor anak kucing dan anak anjing, usaha-usaha ini secara tidak langsung akan mengurangkan jumlah haiwan jalanan,” jelasnya. Menurut Fauziah, pusat perlindungannya kini menjadi tempat tinggal lebih 200 ekor anjing, 68 ekor kucing dan 46 anak anjing. “Kesemua haiwan-haiwan ini ditempatkan di pusat perlindungan kami seluas 2,500 meter persegi dan terletak di Sungai Buloh, Selangor. “Sebelum ni saya jaga mereka ini dekat rumah tapi jumlah mereka semakin bertambah jadi tak sesuai untuk saya bela di kawasan perumahan. “Tambahan pula saya ada tiga orang anak dan anak kedua saya ada asma,” katanya.Bayaran sewa tapak pusat perlindungan tersebut dibiayai oleh seorang lelaki warganegara Amerika bernama Travis dan isterinya, Isabel, kata Fauziah. Menurut Fauziah, usaha menyelamat yang dilakukannya bagaimanapun tidak hanya tertumpu kepada kucing dan anjing jalanan. “Saya rawat semua binatang yang memerlukan, saya pernah rawat burung, monyet, kura-kura masa hujan lebat, malah saya pernah tolong pindahkan siput dari atas jalan ke kawasan hutan. “Saya juga pernah selamatkan beberapa ekor musang pandan yang ditangkap penduduk dan diserahkan kepada majlis perbandaran,” katanya. Kucing jalanan yang dijamin Fauziah daripada majlis perbandaran. Walaupun dengan usaha keras yang telah dilakukannya, Fauziah mengakui perasaan terkilan itu masih ada terutama sekali apabila dia memikirkan mengenai nasib haiwan lain yang tidak mampu dibantunya disebabkan oleh bebanan kewangan dan kekangan masa yang dihadapinya. Jelasnya, saban hari dia perlu menanggung kos yang sangat tinggi terutama sekali setiap kali dia ingin menjamin anjing-anjing liar yang ditangkap pihak berkuasa tempatan dan sedang menunggu masa untuk dimatikan.Kos bagi menjamin anjing-anjing ini, tambahnya, boleh menjangkau sehingga hampir RM200 untuk setiap ekor. Antara haiwan yang menunggu masa untuk dimatikan yang dijamin Fuziah daripada majlis perbandaran. Selain itu, Fauziah juga terpaksa menanggung kos makanan serta perubatan yang tinggi.“Ada beberapa kes dera mereka kehilangan anggota badan, contohnya seekor anjing di Klang sebelum ni ekornya dipotong dan dia dibiarkan atas jalan. “Kes-kes sebegini memerlukan kos yang sangat tinggi, tapi sumbangan yang kami terima tidak mencukupi, dulu saya ada kedai pakaian yang mana hasil penjualan saya guna untuk tampung perbelanjaan haiwan ini tapi saya terpaksa tutup sebab saya terpaksa menguruskan pusat perlindungan ini sepenuh masa,” katanya. Menurut Fauziah, tindakan masyarakat membiak baka-baka tertentu juga mengakibatkan haiwan jalanan tidak mendapat tempat dalam hati masyarakat. “Mereka yang bela hanya bagi tujuan untuk biak anjing-anjing ini akan buang ibu anjing tersebut apabila dia sudah tidak boleh melahirkan, saya pernah selamatkan seekor anjing jenis Rottweiler yang dibuang di sebuah kilang. “Anjing tersebut buta dan kurus sangat sampai tinggal kulit dengan tulang, dia dah tua dan sudah banyak kali melahirkan anak. “Masyarakat perlu sedar kesan buruk apabila mereka cuba untuk biak baka tertentu sebab ia secara tidak langsung menyebabkan lebih banyak lagi haiwan jalanan kehilangan peluang untuk diambil,” katanya. Anak Fauziah bersama anjing Rottweiler buta yang diselamatkan mereka. Fauziah yang kini menguruskan pusat perlindungan dengan bantuan anaknya mengalu-alukan bantuan serta sumbangan orang ramai. “Sejak akhir-akhir ini kami menerima banyak sangat haiwan dan kami mengalami masalah kekurangan makanan, sangkar dan kami juga ada hutang yang tinggi disebabkan kos rawatan haiwan-haiwan ini. “Cuma buat masa ini kami tidak mampu untuk menggaji pekerja, memang saya dengan anak yang uruskan semuanya, jadi kalau ada sesiapa yang ingin menjadi sukarelawan kami amat berbesar hati. “Pusat perlindungan ini buka setiap hari, mereka boleh hubungi saya di talian 0162811341 sebelum datang," katanya. Orang awam berpeluang mendekati haiwan jalanan di pusat perlindungan ini serta memandikan mereka. Menurut Fauziah mereka juga ada menganjurkan acara memandikan serta bermain bersama-sama dengan haiwan-haiwan ini setiap bulan."Sesiapa yang nak ikut serta ativiti bersosial dengan haiwan-haiwan ini disamping memandikan mereka boleh datang ke pusat kami pada 7 November, dari pukul 11 pagi hingga 4 petang,” katanya. Antara program yang dianjurkan. Fauziah berkata, dia juga menjual sari dan punjabi suit secara dalam talian bagi mengutip dana untuk mengurus pusat perlindungan tersebut. “Nama akaun saya KF Rainbow Collections, saya jual baju, kebiasaannya di TikTok dan Instagram. “Keuntungan hasil jualan akan digunakan untuk pengurusan di pusat perlindungan.” katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI