suria

Lakaran ala pro... Jika digilap, karya kanak-kanak 11 tahun ini ada potensi ke pentas fesyen dunia!

Muhammad Dailami Hail menghasilkan rekaannya sendiri menggunakan imaginasi serta belajar melukis melalui Youtube dan Google.

WALAUPUN baharu berusia 11 tahun, kanak-kanak ini memiliki bakat luar biasa dalam menghasilkan lakaran pakaian persis pereka fesyen terkemuka.

Muhammad Dailami Hail Mohd Nurullail cukup meminati bidang rekaan fesyen malah lakaran yang dihasilkan seperti seorang profesional.

ARTIKEL BERKAITAN: Seronok apabila kucing peliharaan faham bahasa kita kan? Lakukan 4 perkara ini untuk latih si bulus

Bercerita mengenai perkara itu, ibu kepada kanak-kanak tersebut, Wan Noorleesa Abdul Latip, 37, berkata, Muhammad Dailami atau Hail cukup menggemari rekaan daripada pereka fesyen terkenal Rizman Ruzaimi, Rizalman dan juga Jovian Mandagie.



Bukan sahaja melukis, Hail juga boleh mewarna dengan kemas dan menjadikan hasil yang cantik.

Cerita Wan Noorleesa, Hail bukan sahaja gemar membuat lakaran tetapi anaknya itu turut memiliki bakat mewarna yang menjadikan setiap lukisannya dihasilkan dengan cantik dan teliti.

"Hasil karya yang dilukis oleh Hail adalah seni atau corak bertemakan kepada fesyen tradisional dan juga pakaian wanita.

"Dia tidak ikuti kelas khas melukis atau secara formal, Hail hanya diberikan pendedahan belajar mengenai lukisan melalui Youtube dan Google," katanya kepada mStar.

Bakat mula terserlah sejak tadika

Wan Noorleesa menjelaskan bakat anak sulung daripada dua beradik itu mula kelihatan ketika seawal usia empat tahun semasa guru di sebuah tadika swasta yang mengajarnya melihat hasil lukisan yang dibuat oleh Hail.



Dahlia Humaira berusia tujuh tahun merupakan adik Hail yang meminati sukan lasak berbeza dengan abangnya.

"Cikgu tadika ada cakap Hail ni memang pandai melukis, cakap pun tak pelat. Daripada situlah saya perasan anak saya minat melukis.

"Di sekolah pun cikgu memang selalu bagi jawatan ketua kelas dan ketua dalam kumpulan. Sekarang ni dia pengawas di sekolah", ujar ibunya.

Bukan sahaja melukis, kata Wan Noorleesa lagi, Hail juga memiliki bakat lain seperti mereka cipta makhluk pelik daripada barangan terpakai dan kertas, semuanyhanya menggunakan imaginasinya sahaja.



Banyak acara dan pertandingan yang telah disertai Hail sejak berusia enam tahun sehingga kini.

Berkongsi hasil projek anaknya itu, Hail pada awalnya hanya melukis lakaran gambar projeknya terlebih dahulu, kemudian menggunakan alatan miliknya serta warna air sebagai kesan khas.

Semasa di rumah, Hail banyak menghasilkan lukisan menggunakan aplikasi yang dimuat turun ke dalam telefon pintar miliknya sendiri.

"Kalau saya ada projek atau design nak kena buat, kadang kala saya minta Hail editkan untuk saya. Hail berbakat juga dalam suntingan audio dan visual yang dia belajar sendiri," ujarnya.



Hail selalu ke kedai alat tulis bagi menambah atau mengganti alatan melukisnya yang telah habis.

Hail juga merupakan aset sekolah, mewakili sekolah dalam pertandingan seni tulisan khat jawi, nyanyian solo, pidato, sajak, tarian, melukis dan mewarna.

Risau orang anggap anak lelaki lembut

Bercerita mengenai sikap Hail, ibunya menjelaskan dia merupakan seorang yang teliti, segak dan bergaya kerana mementingkan penampilan yang kemas serta cerewet dalam pemilihan pakaian dia sendiri.

Sebagai ibu bapa, Wan Noorleesa mengakui pernah berasa bimbang malah suaminya, Mohd Nurullail A. Rahman, 37, kurang bersetuju dengan minat anaknya itu kerana ia bukan kebiasaan untuk budak lelaki sepertinya, namun mula menerima hakikat bakat unik Hail setelah melihat pencapaian demi pencapaian yang diperolehnya.

Walaupun bakat yang dimiliki Hail agak berlainan dari kanak-kanak lelaki lain tetapi dia tidak pernah dianggap berbeza atau dipinggirkan oleh rakan-rakan sebayanya, keluarga mahupun masyarakat sekeliling.



Pencapaian Hail membuahkan hasil yang setimpal dengan usahanya.

"Dulu saya rajin post hasil lukisan dia di Facebook, risau juga orang anggap dia lembut tetapi saya bersyukur kawan-kawan semua puji bakat, jadi Hail tak rasa 'down'. Daripada posting tu juga cikgu-cikgu sekolah nampak bakat Hail.

Oleh kerana minatnya terhadap seni, guru di sekolah akan membawa Hail setiap kali ada acara melihat karya dan persembahan nyanyian dan lukisan yang dianjurkan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Menyertai banyak pertandingan

Bulan Kemerdekaan merupakan saat paling sibuk bagi ibu Hail kerana pada ketika itu banyak pertandingan dianjurkan di luar dan dalam sekolah yang disertai Hail.

"Kalau ada pertandingan mewakili sekolah, cikgu akan bawa dia sebagai wakil. Saya selalu ikut dengan memandu sendiri ke tempat pertandingan tersebut untuk lihat anak saya bertanding," tambah Wan Noorleesa.



Berkongsi hasil projek, dia pada awalnya hanya melukis lakaran gambar projeknya terlebih dahulu, kemudian menggunakan alatan miliknya serta warna air sebagai kesan khas.

Kejayaan demi kejayaan hasil usaha dan minat Hail semakin ketara apabila dia berjaya mendapat tempat dalam pertandingan antaranya adalah Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak Kategori 7 hingga 9 Tahun.

Tidak terhad kepada seni lukisan sahaja, Hail juga berbakat dalam nyanyian di mana beliau pernah mewakili sekolah dalam sebuah pertandingan Bakat Cilik sempena Tahun Baru Cina pada 2020 dengan membawa lagu "Dondang Sayang".



Bakat dalam nyanyian Hail juga tidak kurang sama baik dengan bakatnya yang lain.

Lumrah sesebuah pertandingan ada kalah dan menang, Hail juga pernah kalah dalam pertandingan tetapi ibunya sentiasa memberikan kata-kata semangat dengan memujuk anaknya agar tidak mudah patah semangat.

"Satu perkara saya terapkan pada Hail, kalau dia masuk sesebuah pertandingan dan dia menang, saya akan memberinya hadiah. Saya bawa dia ke kedai alat tulis untuk dia beli alatan melukis yang dia suka," ujarnya.

Namun kata Wan Noorleesa, meskipun menyokong minat anaknya itu, pendidikan Hail tetap menjadi keutamaan dan akan memastikan Hail menyiapkan kerja sekolah terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti lain termasuk melukis.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Si cilik, fesyen, melukis, bakat, figura, hobi

Artikel Lain