suria

Makin ramai gilakan reborn doll, bela anak patung macam anak sendiri... ketahui apa difikir golongan ini

Reborn doll yang kelihatan realistik dan comel.

HANGAT diperkatakan mengenai pereka fesyen terkenal Indonesia, Ivan Gunawan yang membela dua anak patung sebagai anaknya sendiri yang diberi nama Marvel dan Miracle.

Bukan hanya Ivan, beberapa lagi selebriti di negara itu turut mula membela anak patung dan tindakan itu menjadikan ia trend dalam kalangan peminat.

ARTIKEL BERKAITAN: Betul ke kucing mengiau di tengah malam sebab nampak hantu? Ini penjelasannya

Dalam sebuah kajian dilakukan AF Robertson pada 2004 berjudul Life Like Dolls, beberapa wanita yang mengumpul anak patung porselin menganggap boneka mereka hidup selain mempunyai perasaan dan emosi khususnya dalam bentuk bayi yang dikenali sebagai 'reborn doll'.

Ahli psikologi menyifatkan golongan yang menganggap reborn doll sebagai bernyawa kebiasaannya menggunakan anak patung sebagai objek bagi menghadapi kehilangan dalam hidup mereka.

Jadikan-Anak-Patung-Seperti-Anak-Sendiri

Ivan membela dua anak patung sebagai anaknya sendiri.

Reborn doll biasanya dibuat menggunakan tangan dengan penuh teliti bagi memastikan patung itu kelihatan realistik seperti manusia.

Asalnya ia mula popular sekitar 1990-an namun permintaannya mula berkurang sehinggalah beberapa tahun lalu ia kembali popular dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengumpul anak patung.

Namun persoalannya, sejak bila anak patung mula menjadi 'kawan' manusia?

Perlu diketahui, anak patung sudah mula menjadi sebahagian permainan manusia sejak beribu tahun yang lalu. Malah pada 2004, sebuah anak patung berusia 4,000 tahun ditemukan ketika proses menggali tapak arkeologi di Pulau Mediteranian Pantelleria.

Selain itu, anak patung dari zaman Mesir kuno yang diperbuat daripada linen dan berisi papirus juga ditemukan yang kini dipamerkan di Muzium British.

image-20160205-11975-1frc768

Patung Barbie antara menjadi kegilaan.

Sejarah Yunani kuno sekitar 100 Masihi yang lalu menunjukkan bahawa anak patung dijadikan sebagai permainan oleh kanak-kanak perempuan.

Manakala patung zaman Rome kuno pula diperbuat daripada tanah liat, kayu dan gading gajah. Anak patung dari zaman ini banyak ditemui di tanah perkuburan kanak-kanak.

Selama beribu-ribu tahun, permainan anak patung merentasi benua dan status sosial. Sejajar dengan perubahan masa, pembuatan anak patung juga mula berubah dan menggunakan bahan seperti porselin, vinil, plastik dan sebagainya.

"Saya berpendapat anak patung telah menjadi tradisi dalam mencerminkan nilai-nilai budaya," kata Patricia Hogan seorang kurator di The Strong National Museum of Play di New York.

Patricia memberitahu pada akhir abad ke-18 dan 19, anak patung mula menjadi alat pembelajaran kanak-kanak perempuan untuk belajar menjahit dan mendandan rambut.

Tidak hanya itu, kanak-kanak ketika zaman itu juga banyak melakukan interaksi sosial dengan anak patung mereka seperti melakukan pesta minum teh selain mengebumikan boneka yang telah rosak.

Creppy doll

Terdapat juga pelbagai kisah menyeramkan di sebalik anak patung.

Pada abad ke-20, patung Barbie pula menjadi popular bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak tetapi golongan dewasa kerana ramai tertarik dengan keunikan dan busananya yang cantik.

Pada zaman ini juga, anak patung bukan lagi sinonim sebagai permainan kanak-kanak perempuan tetapi masyarakat mula menerima kanak-kanak lelaki bermain dengan boneka.

Bagaimanapun, di sebalik itu, ada juga mengaitkan patung dengan perkara mistik malah ahli psikologi Frank McAndrew menerusi kajiannya mendapati ramai menganggap hobi mengumpul anak patung sebagai mengerikan.

"Ramai melihat anak patung sebagai manusia meskipun sedar bahawa ia hanyalah boneka tidak bernyawa. Ini disebabkan otak manusia membaca wajah boneka dengan cara berbeza.

"Ia bukan manusia tapi nampak sepertinya, jadi kita tidak tahu bagaimana mahu kategorikannya dan menyebabkan orang akan berfikir yang bukan-bukan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain