SELAIN pokok keladi yang menjadi kegilaan pada masa kini, hobi berkebun dan menyelenggara pokok bonsai tidak pernah dilupakan. Tumbuhan dalaman ini telah lama menjadi tanaman yang diminati ramai atas beberapa sebab.ARTIKEL BERKAITAN: Baru tahu... rupa-rupanya cecair antiseptik boleh guna untuk 4 perkara ini! Selain mempunyai nilai estetik, meletakkan bonsai di dalam rumah juga dikatakan mampu membantu memberi manfaat kesihatan dan psikologi. Bonsai juga mudah dijaga dan tidak memerlukan penjagaan tambahan, seperti hanya memerlukan sedikit air dan tidak memerlukan banyak pencahayaan matahari. Mangat Singh Thakur, 80, dari Rohini, Delhi, sudah melebihi usia 40 tahun ketika dia berjinak-jinak dengan tanaman ini dan ketika itu bonsai mula diperkenalkan di India pada akhir 70-an. Mangat memiliki lebih 550 jenis tanaman bonsai di rumahnya. Menurut pesara bank ini, ia juga mempunyai kaitan dengan usaha Nikunj dan Jyoti Parekh, yang mengasaskan Bonsai Study Group of The Indo-Japanese Association. Beberapa tahun kemudian, katanya, Dr Leila Dhanda pula mempopularkan bentuk seni tanaman ini di ibu negara dengan menubuhkan Persatuan Bonsai India. "Dan saya bernasib baik kerana bertemu dengan sekumpulan wanita yang gemar menaman pokok hiasan di kebun belakang rumah yang selalu saya kunjungi," katanya. Di sebalik minatnya itu, Mangat mengakui pekerjaan dan tanggungjawabnya terhadap keluarga membuatkan dia sibuk sehingga tahun 2001. Kemudian, selepas bergelar pesara, dia akhirnya boleh mendedikasikan kehidupannya untuk tanaman ini dengan lebih baik dengan memelihara sebanyak 550 pokok bonsai di atas bumbung rumah teres miliknya di Rohini. Bonsai adalah pilihan baik untuk mereka yang mahukan tumbuhan kecil, mudah dijaga dan dijadikan penyeri kediaman. “Kira-kira 35 tahun lalu saya menanam bonsai pertama saya yang mana saya masih memilikinya sehingga hari ini," katanya. Sejak 2019, dia juga sering berkongsi video tutorial terperinci tentang penanaman dan penyelenggaraan tumbuhan eksotik itu melalui saluran YouTubenya yang mempunyai hampir 9,000 pengikut. Sejak penularan wabak Covid-19 pada 2020, Mangat juga mula melakukan kelas dalam talian untuk berkongsi ilmu tentang teknik penanaman dan penjagaan bonsai. Sesi itu berharga Rs5,000 (RM279) bagi setiap peserta untuk satu kumpulan selama 15 hari dan sepanjang tempoh itu mereka hanya menumpukan pada konsep teori untuk 10 hari pertama. Berikut antara petua untuk penjagaan bonsai menurut Mangat menerusi perkongsian di The Better India: a. Tak perlu banyak air Perlu diingat bahawa anda perlu menyiram air dalam kuantiti sedikit sahaja supaya ia tidak bertakung di dalam pasu atau bekas. Anda perlu mengetahui keadaan cuaca untuk menentukan jumlah penyiraman bagi setiap bonsai. Akar bonsai kecil dan jika terdapat genangan air dalam pasu, akarnya mula rosak b. Elakkan beri sebarang jenis baja kimia; disyorkan menggunakan baja organik dalam bonsai c. Berhati-hati dengan perosak dan penyakit Apabila dijaga dengan baik, risiko jangkitan pokok adalah minimum. Oleh itu, pastikan pokok anda ditanam dengan campuran tanah yang betul. d. Guna wayar Teknik pendawaian adalah paling disyorkan untuk membentuk batang bonsai, tetapi ia sedikit rumit.Namun teknik ini tidak akan menyebabkan kerosakan pada pokok tetapi tetap perlu diperiksa secara berkala. e. Pilih tempat terbaikSetiap spesies memerlukan lokasi tertentu, kerana sesetengahnya lebih 'suka' cahaya matahari dan ada yang lebih suka bayangan separuh. f. Selepas pindahkan pasu, tak perlu membaja kira-kira sebulan Kemudian, anda boleh menyembur pada akar dan daun dengan baja berbentuk cecair pada waktu petang. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI