suria

Penghantaran barangan platfrom e-dagang bakal berubah, AirAsia dapat lesen penerbangan dron dari CAAM

Ketua Penguatkuasaan Keselamatan AirAsia Group, Kapten Ling Liong Tien (depan, kanan) bersama pasukan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) AirAsia.

AIRASIA mengumumkan sudah memperolehi Sijil Kelulusan (COA) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menjalankan latihan penerbangan dron.

Latihan dalam kelas akan dijalankan di AirAsia Academy di KL Sentral dan latihan praktikal dilakukan di padang YMCA Kuala Lumpur, bersebelahan KL Sentral.

ARTIKEL BERKAITAN: Beli syarikat RM1, seragam hijau kru kabin antara fakta menarik sempena ulang tahun ke-20 AirAsia

Ketua Penguatkuasaan Keselamatan AirAsia Group, Kapten Ling Liong Tien berkata idea di sebalik latihan juruterbang dron (RPTO) ini adalah untuk menyediakan sokongan industri melalui latihan juruterbang dron yang berkualiti dengan memanfaatkan latar belakang industri penerbangan yang kukuh dan kepakaran mereka selama dua dekad.

Jelasnya, Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) kini telah menjadi elemen penting dalam pelbagai industri untuk memacu keberkesanan dan kecekapan kos.

“Kami komited untuk membangunkan asas yang kukuh, disokong oleh sistem pengurusan keselamatan sedia ada, pengurusan sumber kru dan program latihan modal insan bersama-sama modul latihan juruterbang dron di dalam dan di luar kelas,” katanya.

D1D29026-E76E-4FE1-AB69-A66270AF13FE

Dron mempunyai keupayaan unik untuk benar-benar mengubah dan mengembangkan perkhidmatan penghantaran.

Latihan ini kata Ling dijangka menyokong projek perintis menggunakan dron automatik pada masa akan datang bagi penghantaran barangan daripada platform e-dagang airasia.

Presiden AirAsia Group (Digital), Aireen Omar berkata: "Inovasi adalah DNA kami dan kami tidak sabar untuk melancarkan Akademi Dron AirAsia melalui cabang teknologi pembelajaran digital kami, AirAsia Academy di samping terus menyokong industri digital di Malaysia melalui rangkaian luas program latihan berasaskan teknologi yang inovatif.

“Keupayaan transformasi perniagaan adalah sebahagian daripada budaya kami dan walaupun ada yang kehilangan pekerjaan mereka dalam industri penerbangan, kami menawarkan peluang kedua untuk mereka membina kerjaya baharu bersama kami dalam sektor e-dagang.

“Sebagai pemacu industri, kami bersedia untuk menyahut cabaran inovatif baharu ini dan menjadikan gelombang Revolusi Industri 4.0 satu kelebihan bagi kami dengan memastikan orang ramai bersedia untuk bekerja dalam era digital baharu ini," jelasnya.

Tambahnya dron mempunyai keupayaan unik untuk benar-benar mengubah dan mengembangkan perkhidmatan penghantaran, daripada e-dagang kepada pertanian contohnya dengan mengedarkan baja dan benih, serta pengangkutan ubat-ubatan dan bekalan ke kawasan luar bandar yang terpencil.

Kelas latihan juruterbang dron komersial ini akan bermula dari 24 Januari dan calon yang berminat tidak memerlukan pengalaman penerbangan atau penerbangan terdahulu dan boleh mendaftar untuk salah satu kursus berikut melalui laman web AirAsia Academy.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain