suria

Asyik bertekak je... tahukah anda 5 perkara positif ini boleh berlaku selepas pasangan bergaduh

Pertengkaran antara pasangan sebenarnya mampu mengeratkan hubungan dengan lebih dekat.

KONFLIK dan pergaduhan dianggap sebagai sesuatu yang tidak menyenangkan kerana ia cenderung kepada perkara negatif, malahan setiap pasangan berkahwin terutamanya memilih untuk mengelakkan pertengkaran dalam hubungan mereka.

Bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa proses konflik sebenarnya memudahkan perbualan dan mengetahui perspektif pasangan masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Si dia merayu kembali ke sisinya? Nanti dulu, fikir 5 perkara ini dahulu

Pun begitu, penting untuk diingati bahawa konflik dan pergaduhan boleh menjadi sangat bermanfaat dalam sesuatu hubungan.

Menurut laman Psychology Today, berdebat dengan orang yang paling rapat dengan anda boleh memberikan tenaga dan motivasi, dari segi nilai teras kepada matlamat.

Selain itu, hujah juga memberi anda peluang untuk memikirkan dan menyuarakan perasaan tentang hubungan itu.

Anda mungkin tertanya-tanya, apakah perkara baik yang sebenarnya dapat diperolehi daripada pertengkaran dengan pasangan, termasuklah;

1. Berkomunikasi mengenai keinginan masing-masing

Bertengkar adalah keadaan normal kerana anda boleh meluahkan kekecewaan dan keinginan kepada pasangan. Seperti yang dilaporkan laman Bustle, bertengkar tidak selalunya disebabkan perkara yang buruk, ada juga pergaduhan tercetus kerana faktor cinta dan belas kasihan yang menebal.

Kemarahan adalah emosi semula jadi dan ia memberitahu bahawa ada sesuatu yang tidak selesa dalam hubungan anda, dan itu perlu dibincangkan.

2. Mengetahui masalah

Semakin banyak bercakap, anda akan lebih memahami apa yang sebenarnya berlaku, malahan ia juga membantu untuk mencari cara bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Tetapi perlu ambil perhatian, apabila anda mula memahami alasan masing-masing, lebih mudah untuk mencari penyelesaian.

3. Bersikap matang

Bertengkar sebenarnya membantu anda dan pasangan lebih matang sebagai individu dan dalam perhubungan.

Kematangan itu lahir apabila anda mengambil maklumat daripada hujah dan menggunakannya secara konstruktif untuk memperbaiki hubungan.

4. Meningkatkan keintiman

Dipetik dari Times of India, rata-rata pakar mengatakan bertengkar boleh meningkatkan keintiman pasangan dalam perhubungan.

Kebiasaannya, meminta maaf adalah jalan yang terbaik, malah boleh mengeratkan hubungan anda dan pasangan.

5. Bina kepercayaan

Bertengkar membantu mendedahkan rahsia tersembunyi, sebaliknya jika dalam perhubungan tidak ada pertengkaran, terdapat banyak rahsia terselit sehinggakan pasangan boleh meragui antara satu sama lain.

Bagaimanapun, adalah penting bahawa hujah tidak berat sebelah, kedua-duanya perlu mendengar pendapat masing-masing untuk mengelakkan salah faham.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

bergaduh, hubungan, salah faham

Artikel Lain