suria

Pembalakan bagus untuk populasi harimau, WWF-Malaysia perjelas hutan tidak terganggu habitat paling sesuai buat Raja Rimba

Harimau memerlukan kawasan habitat yang luas untuk kelangsungan hidup mereka.

KENYATAAN Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah yang mengatakan aktiviti pembalakan sebenarnya "bagus untuk populasi harimau" menimbulkan pelbagai perbalahan dalam kalangan masyarakat.

Abdul Khalim ketika ditemui pemberita menjelaskan kesan pembalakan akan menyebabkan tumbuhnya tumbuhan baharu yang menggalakkan kehadiran spesis haiwan yang menjadi makanan kepada harimau.

ARTIKEL BERKAITAN: Digelar ‘ibu segala ular’ wanita ini tak pernah peduli, kini miliki pet shop reptilia sendiri!

Perkara itu menurutnya berdasarkan fakta kajian oleh pakar yang mendapati kawasan-kawasan selepas pembalakan sebenarnya bagus untuk populasi harimau.

Abdul Khalim berkata demikian sebagai mengulas mengenai dakwaan aktiviti pembalakan yang berleluasa boleh menyebabkan kepupusan haiwan liar itu.

Membidas kenyataan itu, WWF-Malaysia menjelaskan hutan yang bersih dan tidak terganggu adalah habitat paling sesuai untuk harimau selain kawasan dalam bentuk perlindungan hidupan liar dan taman negara pula sememangnya diperlukan.

Tiger 2

Dianggarkan bahawa kawasan perayauan untuk harimau jantan adalah 300km persegi dan betina 100km persegi.

Bagaimanapun, WWF-Malaysia menjelaskan tidak banyak negara yang mampu untuk memberi tumpuan secara eksklusif untuk tujuan pemuliharaan harimau dan spesies lain.

Dalam pada itu, WWF-Malaysia menjelaskan harimau memerlukan kawasan habitat yang luas untuk kelangsungan hidup mereka kerana ia mempunyai julat rumah yang besar dan bersifat teritorial.

Dianggarkan kawasan perayauan untuk harimau jantan adalah 300km persegi, manakala betina pula 100km persegi.

"Aktiviti pembalakan dan penebangan hutan mengakibatkan kehilangan habitat adalah ancaman terbesar kepada populasi harimau liar. Ancaman lain adalah pemburuan haram untuk aktiviti sindiket perdagangan hidupan liar antarabangsa," jelas WWF-Malaysia.

Atas sebab itu jelas WWF-Malaysia, kerja-kerja pemuliharaan harimau perlu terdiri daripada beberapa komponen yang kesemuanya direka untuk mengurangkan ancaman terhadap harimau dan hidupan liar lain yang hidup dalam landskap sama.

malayan-tiger

Harimau semakin terancam.

Sementara itu, WWF-Malaysia menjelaskan sebenarnya satu kajian bertajuk Kepentingan Pembalakan Hutan Terpilih Untuk Pemuliharaan Harimau Panthera Tigris: Anggaran Kepadatan Penduduk di Semenanjung Malaysia oleh D. Mark Rayan dan Shariff Wan Mohamad telah diterbitkan untuk mendapatkan maklumat tentang kepadatan harimau khususnya di hutan balak terpilih.

Kajian itu memfokuskan kepada pembalakan terpilih iaitu amalan perhutanan yang hanya menebang sebilangan pokok terpilih setiap tahun dalam petak hutan dan bukannya keseluruhan selaras dengan amalan Pengurusan Hutan Leastari (SFM).

"Kajian 2009 mendapati anggaran kepadatan 2.59 harimau dewasa setiap 100 km persegi. Ini menunjukkan bahawa hutan yang ditebang secara terpilih, seperti Hutan Simpan Gunung Basor, berpotensi untuk menampung kepadatan harimau yang tinggi.

"Kajian itu menyimpulkan bahawa penyelidikan lanjut amat diperlukan untuk memahami ekologi harimau dan mangsanya di hutan yang dibalak secara terpilih.

"Ini adalah untuk memastikan garis panduan pengurusan mesra harimau boleh disyorkan untuk Pengurusan Hutan Lestari (SFM) dan oleh itu, menyumbang secara signifikan kepada pemuliharaan harimau di Malaysia," kata WWF-Malaysia dalam satu kenyataan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain