suria

Hobi jadi kerjaya... wanita ini ‘diburu’ peminat jam tangan mewah, boleh ‘baca’ niat pelanggan!

Rubama bersama koleksi jam tangan mewahnya.

JARANG kita dengar seorang wanita gila mengumpul jam tangan apatah lagi menjadikan ia sebagai karier kerana biasanya pengumpul aksesori itu biasanya kaum lelaki.

Manakala kaum wanita pula cukup sinonim dengan beg tangan berjenama, malah ada yang sanggup berhabis untuk mendapatkan koleksi jenama mewah.

Ia bukan sahaja pelengkap gaya tetapi lambang status dan kemewahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Cintai seni warisan dan budaya... lelaki ini cetuskan ‘Misi Mencari Melayu’

Berlainan pula dengan usahawan, Rubama Arpan, 36, sejak remaja dia begitu sukakan jam tangan berjenama dan bertitik tolak daripada itulah wanita ini menjadikan minatnya itu sebagai karier.

Jam Tangan 4

Rubama sudah melibatkan diri dalam bidang jam tangan sejak 18 tahun lalu.

Rubama memberitahu dia mula menceburi bidang penjualan jam tangan mewah terpakai dan baharu sejak 18 tahun lalu dan dia satu-satunya wanita Melayu yang membuat perkhidmatan itu.

Sebelum membuka perniagaannya sendiri, anak kelahiran Raub, Pahang, ini memberitahu dia mengutip pengalaman dengan bekerja sebagai jurujual jam tangan di sebuah butik.

Dari situ jelasnya, dia banyak menimba ilmu tentang selok-belok jam tangan, malah berkemahiran mengenal pasti sama ada sesebuah jam tangan itu palsu atau pun tulen.

"Memang sejak dulu saya tidak berminat dengan beg tangan berjenama seperti kebanyakan wanita lain tetapi beli saya jam tangan... memang saya cukup suka.

"Malah sehingga ke hari ini koleksi jam tangan saya lebih banyak berbanding beg berjenama.

Jam tangan 1

Jam tangan mewah adalah pelaburan cukup baik.

"Alhamdulillah kerana minat juga saya berpeluang bekerja dalam bidang itu dan majikan banyak beri tunjuk ajar sehingga saya mampu bergerak sendiri sekarang," katanya kepada mStar.

Rubama memberitahu dia mula memiliki jam terpakai berjenama Rolex pada harga kira-kira RM5,000 dan selepas beberapa tahun memakainya, harga jualannya telah mencecah kepada kira-kira RM20,000.

Bermula daripada transaksi sulung yang membolehkan beliau mengaut keuntungan berlipat kali ganda, telah memberi idea kepadanya untuk lebih serius mengasah bakat mendalami pelbagai jenama jam mewah di pasaran.

“Jam mewah bukan semata-mata jenama Rolex tetapi sebenarnya banyak lagi nama lain yang terkenal seperti Patek Philippe, Piaget dan Richard Mille,” jelasnya.

Selepas lebih 10 tahun bekerja dengan majikannya, Rubama memberitahu dia mengambil keputusan untuk membuka perniagaannya sendiri iaitu Time & Times Luxe Empire sejak tahun lalu.

Bukan mudah sebenarnya hendak mendapatkan kepercayaan pelanggan apatah lagi ada di antara jam tangan yang dijual melibatkan harga mencecah jutaan ringgit tetapi saya sangat menitikberatkan soal profesional dan perkhidmatan.

RUBAMA ARPAN

PENGASAS TIME & TIMES LUXE EMPIRE

Sementara itu, Rubama berkata, disebabkan sudah begitu lama berkecimpung dalam bidang tersebut, namanya sudah tidak asing dalam kalangan jutawan terkenal yang ingin mendapatkan jam tangan mewah daripadanya.

Malah wanita ini sering menjadi tempat rujukan pelanggannya mengenai jam tangan memandangkan mereka sudah memahami cara dia bekerja serta perkhidmatan diberikan memuaskan hati.

"Bukan mudah sebenarnya hendak mendapatkan kepercayaan pelanggan apatah lagi ada di antara jam tangan yang dijual melibatkan harga mencecah jutaan ringgit tetapi saya sangat menitikberatkan soal profesional dan perkhidmatan.

"Pengalaman sebelum ini saya gunakan sebaik-baiknya dan dari situ pelanggan mula percayakan saya dan sentiasa menjadi tempat rujukan berkaitan jam tangan dan membeli daripada saya," katanya.

Pun begitu dedahnya, dia juga pernah menghadapi beberapa peristiwa ditipu pelanggan bergelar 'Datuk' sehingga terpaksa menanggung kerugian yang besar namun menganggap ia sebagai asam garam dalam perniagaan.

Jam Tangan 3

Rubama lebih sukakan jam tangan berbanding aksesori lain.

Malah katanya, dia sudah boleh 'baca' sama ada seseorang pelanggan itu mempunyai niat tidak baik termasuk cuba menipunya.

"Beberapa kali saya pernah kena tipu tetapi apabila sudah terlalu lama dalam bidang ini, saya sudah boleh baca niat seseorang pelanggan dengan hanya melihat gelagatnya.

"Biasanya saya akan jauhkan diri daripada orang begini dan lebih menumpukan kepada pelanggan tetap yang sudah saling mengenali," katanya.

Bercerita lanjut mengenai kariernya itu, Rubama berkata, dia mampu mengingati setiap jenama jam mewah, model, bentuk klasik, kuasa enjin, detik jam dan tahun jam dibuat serta sejarah di sebalik produk berkenaan.

Menurutnya, cerita di sebalik pembuatan jam, apatah lagi jika ia pernah dipakai individu ternama tentu sekali akan meningkatkan nilainya di pasaran.

"Ramai tidak sedar bahawa jam tangan juga sebenarnya adalah pelaburan yang sangat baik kerana nilainya sentiasa meningkat, malahan ia tidak bergantung kepada pasaran semasa," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain