BERJIMAT-cermat tidak asing lagi dalam kalangan penduduk tempatan hingga ada antara kita yang sanggup menabung demi membeli barang kegemaran. Ada yang mengikuti kaedah thrifting seperti tawar-menawar, walaupun produk yang diingini sudah ditawarkan harga termurah. ARTIKEL BERKAITAN: Berfesyen sambil tutup perut buncit! Ini 5 pilihan baju yang boleh dicuba oleh wanita Tidak hairanlah, amalan itu digemari semua lapisan masyarakat semata-mata untuk berjimat hingga timbul persaingan ekoran ramai yang memilih barangan murah. Ia seolah-olah treasure hunting dalam mencari produk berguna yang unik tetapi murah, namun perlu diketahui, perkara ini memerlukan pemikiran pantas dan jangan panik ketika berbelanja seperti enam tip dibawah, termasuklah; 1. Kaji lokasi Kebiasaannya, seseorang yang berjimat cermat akan mencari lokasi pilihan dengan tawaran murah atau istimewa kepada barangan jualan terlebih dahulu. Ini kerana, ia dapat mengelakkan anda membuang masa apabila berada di pusat beli-belah tanpa membuat persiapan awal seperti mencari tempat tujuan. 2. Kualiti barang Umum diketahui, dalam melakukan penjimatan ada sahaja barangan terpakai seperti baju, alat perkakasan sama ada kereta, dapur dan pelbagai lagi. Namun, tidak salah untuk kita periksa kualiti barangan itu terlebih dahulu walaupun murah, tetapi perlu dipertimbangkan jika masih boleh digunakan ataupun tidak. 3. Tawar harga Keunikan thrifting adalah kita boleh tawar-menawar dengan pembeli selain penjimatan berlaku dua kali ganda apabila anda mendapatkan harga paling murah. Caranya, periksa dahulu keadaan barangan yang ingin dibeli dan jika memiliki kecacatan seperti baju terkeluar benang atau rosak sedikit - jadikan ia sebagai alasan untuk mendapatkan harga yang lebih murah. 4. Pakai pakaian selesa Memakai baju yang selesa ketika keluar berbelanja juga perlu diambil kira, lebih-lebih lagi apabila anda sudah mempunyai catatan awal persediaan senarai lokasi tujuan. Seseorang yang keluar membeli-belah lebih sesuai memakai pakaian selesa atau simple, kerana mungkin anda akan kelihatan seperti berbelanja di pasar dengan membawa banyak barangan. 5. Bersihkan barangan Walaupun anda sudah mendapat pelbagai barangan yang diinginkan hasil dari penjimatan, namun jangan lupa untuk membersihkannya terlebih dahulu. Sama sahaja seperti pakaian baharu yang telah dibeli, rendam dahulu semalaman dalam cecair antiseptik untuk mengeluarkan kotoran barulah dapat dicuci seperti biasa menggunakan sabun pencuci baju. 6. Berjimat dalam talian Adakalanya, ramai antara kita yang malas keluar untuk berjimat dan mencari produk atau barangan keperluan yang lebih murah dengan alasan tidak suka berlama-lama, beratur, jalan sesak dan pelbagai alasan lagi. Sedangkan anda sebenarnya boleh melakukan semuanya dari rumah ketika duduk dengan melayari pelbagai laman sesawang atau media sosial untuk mencari barangan yang diperlukan selain mendapatkan info produk harga murah dan berpatutan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI